Untuk Yang Bergelar Guru : Usah ‘Scapegoating’ Anak Didik Anda !

Entah bagaimana, idea untuk menulis blog post ini datang mencurah-curah setelah membaca salah satu status Facebook sahabat saya Cikpuan Ramlah Abdul Talip. Status tersebut dikongsikan sempena Hari Guru yang bakal menjelang tidak sampai sebulan dari sekarang.

Pesanan untuk para guru berdasarkan artikel ‘Reset Minda Guru’ oleh Prof. Dr. Muhaya. Artikel berkenaan boleh diperolehi di sini :

http://www.cikguhailmi.com/2015/05/reset-minda-guru-oleh-prof-dr-muhaya.html

Artikel ini pula hanyalah suatu nilai tambah kepada status berkenaan semata-mata, berdasarkan pengalaman yang ditambah dengan pembacaan.

Saya tidak tahu apakah amalan ‘scapegoating’ masih wujud di sekolah-sekolah atau mana-mana institusi pembelajaran pada zaman sekarang. Yang pasti amalan ini  adalah suatu tindakan yang amat tidak profesional dan mencemar profesionalisme bidang perguruan.

Sebelum meneruskan, mari kita lihat apa dia ‘scapegoating’ :

‘Scapegoating’ adalah suatu kata kerja yang terbit dari kata nama ‘scapegoat’.

Untuk memahami sesuatu kata kerja, kita perlu faham makna di sebalik kata nama ia berasal.

 

scapegoat

( Sumber : http://flashcardmonkey.com/scapegoat/)

Scapegoat : Seseorang yang dipersalahkan atas kesalahan yang tidak dilakukannya.

Istilah ‘scapegoat’ mempunyai asal-usul berdasarkan upacara Yom Kippur (  Sejenis upacara khusus bagi orang-orang Yahudi ). Dalam upacara tersebut, dosa-dosa para penduduk dipindahkan ke kepala seekor kambing korban oleh seorang Rabai. Kambing itu kemudiannya diusir ke hutan, membawa lari dosa-dosa ( termasuk sial malang jugakah ? ) para penduduk terlibat.

( Sumber : http://outofthefog.website/top-100-trait-blog/2015/11/4/favoritism )

‘Scapegoat’ dalam bahasa lain :

 

 

ScapegoatMeaningInOtherLanguages

 

Dalam Bahasa Melayu, istilah ‘kambing hitam’ sebenarnya tidak memadai untuk sampai ke makna ‘scapegoat’ itu sendiri, mengikut realiti istilah ‘anak sial’ lebih tepat.

Scapegoating : Tindakan mempersalahkan/melayan dengan buruk seseorang individu dalam satu-satu kumpulan.

( Sumber : http://outofthefog.website/top-100-trait-blog/2015/11/4/favoritism )

Setelah kita faham definisi ‘scapegoating’, mari kita lihat satu contoh mudah bagaimanakah ia berlaku di sekolah atau mana-mana institusi pendidikan/latihan :

Kelas X merupakan kelas yang terkenal dengan pelajar-pelajar yang enggan mendengar kata guru dan sering menimbulkan masalah. Cikgu Y ditugaskan untuk mengajar sekaligus menjadi guru kelas untuk  kelas berkenaan, dan dia amat tidak suka dengan tugasannya itu. Dia memikirkan cara untuk mengawal suasana di kelas berkenaan. Menurut fikirannya, cara terbaik untuk mengawal suasana di Kelas X adalah dengan mewujudkan suasana takut di kalangan pelajar kelas tersebut. Cikgu Y pun mencari satu atau beberapa pelajar yang menjadi sasarannya, sementelah pula dia amat mahir dalam membaca latar belakang keluarga dan perwatakan pelajar berdasarkan kemahiran yang dipelajarinya. Setelah berjaya mencari mangsanya, Cikgu Y pun memulakan strateginya. Apabila Kelas X menjadi tidak terkawal, pelajar yang menjadi mangsanya akan dimarahi seteruk-teruknya jika kebetulan terkantoi berbuat salah, bahkan dicari-cari salahnya jika tidak ada bukti. Si mangsa akan dilayan dengan buruk, jika berbuat jahat diaibkan di hadapan rakan-rakan yang lain, jika berbuat perkara yang baik ada-ada sahaja tindakan untuk menafikan kebaikan yang dilakukan pelajar berkenaan. Demi untuk mengambil hati Cikgu Y, para pelajar yang lain menyalahkan dan memencilkan si mangsa kerana menjadi sebab Cikgu Y marah-marah dalam kelas. Seisi pelajar kelas X mahu Cikgu Y tahu, yang mereka juga tidak sukakan pelajar berkenaan.

Bergantung kepada situasi kes, mangsa ‘scapegoating’ dipilih berdasarkan etnik tertentu, agama tertentu, pencapaian akademik, keadaan fizikal dan sebab-sebab lain yang eksklusif bagi guru berkenaan.

‘Scapegoating’ adalah sejenis pencacatan mahupun pembunuhan karekter. Justeru, itu adalah suatu tindakan yang menyalahi hak asasi manusia. Dan apa jua jenis pencacatan mahupun pembunuhan karekter mendatangkan kesan yang amat buruk kepada dalaman mangsanya. Bahkan kesan itu bisa berlarutan sepanjang hayat mangsa.

Jika berlaku kepada seorang pelajar, pelajar tersebut akan hilang rasa percaya diri serta berdendam kesumat. Pelajar ini menyalahkan dirinya secara total atas cara dirinya dilayan. Dia akan berasa dirinya tidak mempunyai nilai apapun, berasa dirinya jelek, bodoh, tidak boleh diharap atau berfikir bahawa dirinya dilahirkan semata-mata untuk menyusahkan orang lain. Di alam dewasa kelak, pelajar tersebut bergelut dengan masalah kemarahan meluap-luap, berputus asa, dan menyimpan dendam kesumat dalam perhubungan, pekerjaan dan persahabatan.

Sebahagian dari pelajar yang menjadi mangsa ‘scapegoating’ akan berusaha belajar hingga tidak lagi menyedari potensi dan anugerah bakat mereka yang sebenar, semata-mata untuk membuktikan diri mereka layak mendapat perhatian dan kasih sayang. Sebahagian yang lain pula terlibat dalam perlakuan delinkuen. Mereka seringkali terjebak dalam gejala sosial, aktiviti jenayah malah menyertai kumpulan ajaran sesat atau pengganas !

Selain itu…

 

  • Guru telah dibayar untuk tugas wajibnya. Berkatkah gaji yang diterima setiap bulan bila guru tergamak ‘scapegoating ‘ pelajarnya sendiri ?
  • Ilmu yang diberi kepada pelajar yang kena ‘scapegoating’ menjadi tidak berkat. Bila tidak berkat, ilmu itu hilang manfaatnya kerana tidak dapat diamalkan olehnya.
  • Pergi ke sekolah adalah perkara wajib untuk kanak-kanak dan remaja menengah rendah di Malaysia. Sudahlah wajib, mereka tidak boleh memilih guru pula. Mereka perlu menerima sahaja guru yang mengajar subjek itu. Yang mendapat guru yang baik dan penyayang, bertuahlah nasib badan. Kasihanilah mereka yang belum berpeluang membuat pilihan sendiri.
  • Guru yang mengamalkan perbuatan tersebut akan kehilangan seseorang yang berpotensi menghadiahkan pahala serta doa-doa yang baik dan meneruskan penyampaian/pemanfaatan ilmunya setelah dia tiada lagi di dunia. Bukankah itu satu kerugian yang amat, amat besar ?

 

Justeru, untuk pembaca yang masih bergelar guru : Usah ‘Scapegoating’ Anak Didik Anda !

 

Bacaan luas :

https://www.psychologytoday.com/blog/traversing-the-inner-terrain/201101/the-scapegoat-identity

https://www.psychologytoday.com/blog/the-creativity-cure/201402/false-accusations-scapegoats-and-the-power-words