Tag Archives: Profesionalisme

Gambar Pilihan Minggu Ini 10

 

sunrisekinabalu2

Kredit : Refflisia Putih

Advertisements

Untuk Yang Bergelar Guru : Usah ‘Scapegoating’ Anak Didik Anda !

Entah bagaimana, idea untuk menulis blog post ini datang mencurah-curah setelah membaca salah satu status Facebook sahabat saya Cikpuan Ramlah Abdul Talip. Status tersebut dikongsikan sempena Hari Guru yang bakal menjelang tidak sampai sebulan dari sekarang.

Pesanan untuk para guru berdasarkan artikel ‘Reset Minda Guru’ oleh Prof. Dr. Muhaya. Artikel berkenaan boleh diperolehi di sini :

http://www.cikguhailmi.com/2015/05/reset-minda-guru-oleh-prof-dr-muhaya.html

Artikel ini pula hanyalah suatu nilai tambah kepada status berkenaan semata-mata, berdasarkan pengalaman yang ditambah dengan pembacaan.

Saya tidak tahu apakah amalan ‘scapegoating’ masih wujud di sekolah-sekolah atau mana-mana institusi pembelajaran pada zaman sekarang. Yang pasti amalan ini  adalah suatu tindakan yang amat tidak profesional dan mencemar profesionalisme bidang perguruan.

Sebelum meneruskan, mari kita lihat apa dia ‘scapegoating’ :

‘Scapegoating’ adalah suatu kata kerja yang terbit dari kata nama ‘scapegoat’.

Untuk memahami sesuatu kata kerja, kita perlu faham makna di sebalik kata nama ia berasal.

 

scapegoat

( Sumber : http://flashcardmonkey.com/scapegoat/)

Scapegoat : Seseorang yang dipersalahkan atas kesalahan yang tidak dilakukannya.

Istilah ‘scapegoat’ mempunyai asal-usul berdasarkan upacara Yom Kippur (  Sejenis upacara khusus bagi orang-orang Yahudi ). Dalam upacara tersebut, dosa-dosa para penduduk dipindahkan ke kepala seekor kambing korban oleh seorang Rabai. Kambing itu kemudiannya diusir ke hutan, membawa lari dosa-dosa ( termasuk sial malang jugakah ? ) para penduduk terlibat.

( Sumber : http://outofthefog.website/top-100-trait-blog/2015/11/4/favoritism )

‘Scapegoat’ dalam bahasa lain :

 

 

ScapegoatMeaningInOtherLanguages

 

Dalam Bahasa Melayu, istilah ‘kambing hitam’ sebenarnya tidak memadai untuk sampai ke makna ‘scapegoat’ itu sendiri, mengikut realiti istilah ‘anak sial’ lebih tepat.

Scapegoating : Tindakan mempersalahkan/melayan dengan buruk seseorang individu dalam satu-satu kumpulan.

( Sumber : http://outofthefog.website/top-100-trait-blog/2015/11/4/favoritism )

Setelah kita faham definisi ‘scapegoating’, mari kita lihat satu contoh mudah bagaimanakah ia berlaku di sekolah atau mana-mana institusi pendidikan/latihan :

Kelas X merupakan kelas yang terkenal dengan pelajar-pelajar yang enggan mendengar kata guru dan sering menimbulkan masalah. Cikgu Y ditugaskan untuk mengajar sekaligus menjadi guru kelas untuk  kelas berkenaan, dan dia amat tidak suka dengan tugasannya itu. Dia memikirkan cara untuk mengawal suasana di kelas berkenaan. Menurut fikirannya, cara terbaik untuk mengawal suasana di Kelas X adalah dengan mewujudkan suasana takut di kalangan pelajar kelas tersebut. Cikgu Y pun mencari satu atau beberapa pelajar yang menjadi sasarannya, sementelah pula dia amat mahir dalam membaca latar belakang keluarga dan perwatakan pelajar berdasarkan kemahiran yang dipelajarinya. Setelah berjaya mencari mangsanya, Cikgu Y pun memulakan strateginya. Apabila Kelas X menjadi tidak terkawal, pelajar yang menjadi mangsanya akan dimarahi seteruk-teruknya jika kebetulan terkantoi berbuat salah, bahkan dicari-cari salahnya jika tidak ada bukti. Si mangsa akan dilayan dengan buruk, jika berbuat jahat diaibkan di hadapan rakan-rakan yang lain, jika berbuat perkara yang baik ada-ada sahaja tindakan untuk menafikan kebaikan yang dilakukan pelajar berkenaan. Demi untuk mengambil hati Cikgu Y, para pelajar yang lain menyalahkan dan memencilkan si mangsa kerana menjadi sebab Cikgu Y marah-marah dalam kelas. Seisi pelajar kelas X mahu Cikgu Y tahu, yang mereka juga tidak sukakan pelajar berkenaan.

Bergantung kepada situasi kes, mangsa ‘scapegoating’ dipilih berdasarkan etnik tertentu, agama tertentu, pencapaian akademik, keadaan fizikal dan sebab-sebab lain yang eksklusif bagi guru berkenaan.

‘Scapegoating’ adalah sejenis pencacatan mahupun pembunuhan karekter. Justeru, itu adalah suatu tindakan yang menyalahi hak asasi manusia. Dan apa jua jenis pencacatan mahupun pembunuhan karekter mendatangkan kesan yang amat buruk kepada dalaman mangsanya. Bahkan kesan itu bisa berlarutan sepanjang hayat mangsa.

Jika berlaku kepada seorang pelajar, pelajar tersebut akan hilang rasa percaya diri serta berdendam kesumat. Pelajar ini menyalahkan dirinya secara total atas cara dirinya dilayan. Dia akan berasa dirinya tidak mempunyai nilai apapun, berasa dirinya jelek, bodoh, tidak boleh diharap atau berfikir bahawa dirinya dilahirkan semata-mata untuk menyusahkan orang lain. Di alam dewasa kelak, pelajar tersebut bergelut dengan masalah kemarahan meluap-luap, berputus asa, dan menyimpan dendam kesumat dalam perhubungan, pekerjaan dan persahabatan.

Sebahagian dari pelajar yang menjadi mangsa ‘scapegoating’ akan berusaha belajar hingga tidak lagi menyedari potensi dan anugerah bakat mereka yang sebenar, semata-mata untuk membuktikan diri mereka layak mendapat perhatian dan kasih sayang. Sebahagian yang lain pula terlibat dalam perlakuan delinkuen. Mereka seringkali terjebak dalam gejala sosial, aktiviti jenayah malah menyertai kumpulan ajaran sesat atau pengganas !

Selain itu…

 

  • Guru telah dibayar untuk tugas wajibnya. Berkatkah gaji yang diterima setiap bulan bila guru tergamak ‘scapegoating ‘ pelajarnya sendiri ?
  • Ilmu yang diberi kepada pelajar yang kena ‘scapegoating’ menjadi tidak berkat. Bila tidak berkat, ilmu itu hilang manfaatnya kerana tidak dapat diamalkan olehnya.
  • Pergi ke sekolah adalah perkara wajib untuk kanak-kanak dan remaja menengah rendah di Malaysia. Sudahlah wajib, mereka tidak boleh memilih guru pula. Mereka perlu menerima sahaja guru yang mengajar subjek itu. Yang mendapat guru yang baik dan penyayang, bertuahlah nasib badan. Kasihanilah mereka yang belum berpeluang membuat pilihan sendiri.
  • Guru yang mengamalkan perbuatan tersebut akan kehilangan seseorang yang berpotensi menghadiahkan pahala serta doa-doa yang baik dan meneruskan penyampaian/pemanfaatan ilmunya setelah dia tiada lagi di dunia. Bukankah itu satu kerugian yang amat, amat besar ?

 

Justeru, untuk pembaca yang masih bergelar guru : Usah ‘Scapegoating’ Anak Didik Anda !

 

Bacaan luas :

https://www.psychologytoday.com/blog/traversing-the-inner-terrain/201101/the-scapegoat-identity

https://www.psychologytoday.com/blog/the-creativity-cure/201402/false-accusations-scapegoats-and-the-power-words

 

 

 

Suatu Pertemuan Dan Profesionalisme Yang Telah Hilang…

notepad-926046_1280

Sesiapapun, asal sahaja dia sudah terlibat dalam ruang lingkup profesional, sebenarnya dan tidak sepatutnya menggunakan kisah masa lalu yang pahit sebagai alasan untuk mewajarkan layanan buruknya kepada subordinat/orang bawahannya- terutama mereka yang tergolong paling sensitif atau ‘The Whistleblower‘. Tak kisahlah di mana-mana sekalipun.

Itu kesimpulan yang saya dapat buat seusai pertemuan semula di dunia maya dengan seorang bekas guru saya sewaktu di SMK Kuhara dahulu. Persoalan itu saya timbulkan pada bekas guru saya ini, lantaran sejarah dan reputasinya sebagai guru cemerlang sekolah yang begitu professional.

” Tidak patut ! Profesional bermakna tidak terpengaruh dengan emosi atau rasa prejudis.”, jawapan bekas guru saya ini masih setelus dan setegas di zamannya mengajar saya dahulu.

Seingat saya, bekas guru saya ini tidak pernah mewujudkan watak anak emas mahupun ‘scapegoat’ dalam kelas. Semua dilayan sama sahaja tanpa mengira agama atau etnik. Setiap perlanggaran kesalahan diberikan ‘hard and cold love‘ tanpa melampaui batas kemanusiaan. Beliau begitu optimis dengan pelajar-pelajar yang terlanjur membuat kesilapan, masih percaya mereka ada masa depan sekalipun pada masa itu mereka terlihat rebah oleh sentuhan kecundang. Tiada satupun lafaz berputus harap pernah didengari dari mulut beliau.

Kesannya terlihat tidak sesegera masaknya mi maggi. Adakalanya berbelas tahun baharu terlihat kesan penangan kasih seorang guru. Anak-anak didiknya bertebaran ke serata ceruk rantau mengikut alun gerak takdir masing-masing. Mencurah jasa untuk agama, nusa dan bangsa. Itulah penangan seorang guru yang bercakap serupa bikin.

Kembali pada persoalan kelakuan tidak professional…

Di mana-mana sahaja pada akhir zaman ini, dunia barat mahupun timur, perlakuan ‘scapegoating‘, ‘gaslighting‘, ‘triangulation‘, ‘divide and conquer‘, ‘double standard’  sering berlaku dalam ruang lingkup yang kita harapkan adanya dasar profesionalisme. Bahkan ada yang tergamak melakukan beberapa jenis pembunuhan karekter. Antaranya, mengaibkan pihak yang disasarkan di hadapan khalayak bila mana privasi adalah keperluan hak asasi manusia yang perlu ditunaikan. Tidak dilupakan penyalahgunaan kemahiran psikologi untuk mendedahkan kelemahan orang lain di depan khalayak demi kepentingan politik dalaman sesuatu ruang lingkup. Yang menjadi mangsa adalah golongan yang sensitif dan pemendam rasa. Mereka ini dianugerahkan Allah Ta’ala dengan kepekaan terhadap persekitaran, hingga mampu mengenal tingkah laku yang menyalahi nilai-nilai kemanusiaan. Yang berani di kalangan mereka digelar ‘The Whistleblower‘, berani bersuara mendepani kekuasaan tirani. Namun mereka, sepertinya Hang Nadim atau Laksamana Bentan, seringkali dicantas dengan kejamnya atas nama mengekalkan status quo. Perbuatan yang tidak beretika ini semakin menjadi-jadi seiring gerak masa.

” Awak mungkin tidak mampu untuk menghalang orang lain untuk berkelakuan seumpama itu tetapi awak boleh sering buat tak endah dengan mereka dan tidak membiarkan tindak-tanduk mereka dari mempengaruhi awak dan mood awak. Seumpama begini, kita mungkin tidak dapat menghalang hujan dari turun tetapi kita boleh keluar rumah dengan memakai payung.”, nasihat bekas guru saya itu menjadi penghujung kepada persoalan ini. Bermadah-madah pula beliau, seolah-olah Karam Singh Walia yang pernah mengacarakan segmen Aduan Rakyat di Buletin Utama TV3 suatu ketika dahulu. Dan kesimpulan di awal tadi pun terlahir secara super spontan.