Tag Archives: Puncak Low

Luah, Dedah Dan Bongkar !

nailofar10

Tinggal kenangan… Gambar kandid yang diambil sewaktu salah satu acara sastera peringkat negeri pada tahun 2011.

Sudah sekian lama saya ingin menulis coretan ini, untuk kawan-kawan ‘Class Of 96’ yang mengetahui tentang saya sebagai penulis dan wujudnya novel pertama saya- dan bersuka gembira dengan pencapaian itu. Walaupun berat, saya tumpahkan jua semua yang saya pendam dan peram, berterus-terang tentang realiti sebenar lagi terkini saya di medan penulisan kreatif. Mudah-mudahan kaki kita kembali berpijak di bumi nyata dan minda kita membina kembali persepsi berdasarkan kebenaran realiti.

Biar pahit asalkan benar.

Seiring dengan arus gerak masa, saya kian menyedari bahawa dunia sastera- cuma satu bahagian daripada dunia penulisan kreatif yang luas itu sendiri- bukanlah untuk saya. Sejak arwah ayah kembali ke rahmatullah pada tahun 2012, hati saya jadi tawar dan terasa begitu berat untuk bergiat lagi di situ. Ada a whole creativity block yang tiba-tiba merintangi, dan menjadi lebih tinggi dari Puncak Kinabalu seiring dengan pergerakan masa. Pengalaman saya tidak jauh beza dengan pengalaman peribadi seorang penulis Sastera dari Kedah bernama Che Soo Ismail sewaktu pemergian arwah ayah beliau, atau mungkin sebenarnya lebih teruk dari itu ?

Semakin masa berjalan, estim kendiri saya makin merudum. Penulis muda yang senegeri-sebatch dengan saya makin memahat nama dengan penuh gah, terutamanya Ruhaini Matdarin & Co, sedangkan saya bagai terperangkap hidup-hidup dalam runtuhan gempa tanpa diselamatkan sesiapa.

Sejujurnya saya mengalami personal burnout paling teruk sepanjang hidup saya !

Menyedari hal itu, satu keputusan diambil. Saya bersara dari menulis secara rasmi pada hujung tahun 2014. Tiada lagi cerpen dan sajak tersiar di majalah seperti dahulu. Cukuplah novel Mencabik Mendung Di Langit Kelabu menjadi buah tangan yang memuaskan hati dan selera kelompok elitis. Titik.

Dalam tempoh persaraan saya mengintai ruang-ruang lain untuk mencapai kejayaan, juga untuk mencari wang kos sara hidup. Namun, pada 1 Muharram 1437H, saya mengambil keputusan untuk kembali menulis. Kerana pena ini tidak bisa berhenti dari menulis…

Cukuplah sampai di situ dahulu. Tunggu !

1998marchabokeh4web

Berjejak di atas Puncak Low. Puncak Low merupakan puncak tertinggi dan antara yang paling popular di Gunung Kinabalu. Gunung Kinabalu hanya ada satu sahaja di atas muka bumi ini, tetapi masih ada lebih kurang 20 puncak di situ sedang menunggu untuk didaki. Sebegitulah ibaratnya ruang rezeki dan kejayaan dalam hidup kita. Dunia penulisan hanyalah satu dari sekian banyak ruang yang telah disediakan Allah Taala untuk umat manusia dan ia sendiri berpecah kepada banyak cabang. Meskipun bidang penulisan kreatif sastera ternyata bukanlah lubuk emas mahupun medan untuk saya menggapai kejayaan serupa ini, tidak bermakna peluang saya untuk berjaya dalam hidup tertutup sudah.