Kitar Semula ‘Water Tumbler’ Lama Sebagai Bekas Menyimpan Tudung

PetuaSimpanTudungIntro

Fikir dahulu sebelum buang…

Sungguhpun water tumbler lama yang telah bocor tidak lagi boleh menyimpan bekal air minuman, tetapi ia masih bermanfaat untuk kegunaan yang lain. Dalam artikel kali ini penulis akan menunjukkan bagaimana sebuah water tumbler yang telah bocor digunakan sebagai bekas menyimpan tudung extra yang sudah digosok untuk dibawa ke aktiviti outdoor atau backpacking yang memerlukan kita untuk bermalam di kawasan aktiviti.

Pic1

 

Dalam artikel ini, penulis akan menggunakan water tumbler biasa dan sehelai tudung Turki jenis tahan renyuk dan low maintainance. Anda boleh menggunakan water tumbler yang bersaiz lebih besar atau tudung jenis lain yang anda fikirkan munasabah untuk dibawa ke aktiviti outdoor atau backpacking.

Pic4

Langkah-langkah penyimpanan adalah seperti berikut :

 

  1. Gosok tudung yang hendak dibawa. Bentukkan tudung mengikut saiz muka yang dikehendaki dan pin dengan kerongsang siap-siap. Kemudian lipat tudung dengan cermat secara memanjang, hingga lebar lipatan itu lebih kecil dari panjang water tumbler.

Pic2

2. Gulung tudung dengan berhati-hati agar tidak renyuk. Gulung dengan saiz sedikit kecil dari water tumbler.

 

Pic3

3. Masukkan tudung yang sudah digulung ke dalam water tumbler tadi.

Pic5

4. Tutupkan water tumbler tadi. Sekarang tudung anda sudah sedia untuk dibawa dalam beg backpack anda.

Pic6

Semoga bermanfaat !

Advertisements

Quo Vadis, Blog Suara JiwaHalus ?

balancingrock1A

 

Gambar Hiasan : Mencari Keseimbangan…

( Kredit : ‘Balancing The Rocks At Mesilau River 1′ oleh Refflisia Putih )

Di saat penulis menulis catatan ini, menulis (termasuk aktiviti ghostwriting) sudah tidak lagi menjadi profesion penulis.

Suatu keputusan yang begitu sukar, tetapi perlu diambil jua lantaran menyedari sungguh, ada yang lebih penting dari itu.

Setelah menginsafi keadaan kesihatan yang sedia ada lalu bertindak mengubah diet kepada yang lebih sihat serta membuat aktiviti self-administered acupressure sejak berapa lama, penulis mula menyedari bahawa tiada maknanya meneruskan kegiatan cari makan dengan cara begini.

Sementelah lagi, kegiatan ini begitu menguras qi atau kekuatan dalaman penulis hingga hampir timpas, dan suasana sekeliling pun sudah tidak lagi kondusif untuk penulis terus menulis. Penulis perlu beralih arah kepada alternatif baharu agar kehidupan jauh lebih bermakna.

Jadi, ke mana akhirnya blog Suara JiwaHalus berikutan keputusan ini ?

Blog Suara JiwaHalus akan terus wujud atas banyak sebab. Salah satunya, kerana menulis blog adalah hobi dan terapi. Cuma, ada perubahan-perubahan kecil mahupun besar yang bakal mengambil tempat secara perlahan-lahan kelak.

Imanimex-Melukis Sambil Berdakwah

imanimex

Mungkin ada di kalangan para pengunjung laman blog Suara JiwaHalus yang terperasan adanya sebuah lukisan kartun dengan mesej dalam Bahasa Inggeris pada sidebar sebelah kanan. Dan tertera perkataan unik Imanimex sebagai kredit sumbernya.

Perkataan yang unik ini merupakan nama sebuah laman Facebook yang mempromosikan perkhidmatan melukis komik dakwah ala komik Jepun. Minat pada lukisan komik di laman Facebook Imanimex bermula apabila salah seorang kenalan Facebook penulis telah meletakkan salah satu lukisan komik ini pada status dindingnya. Gambar-gambar yang comel diiringi mesej yang menyentuh hati. Sejak itu, lukisan-lukisan dari laman Imanimex seringkali muncul di laman blog Suara JiwaHalus dalam slot Gambar Pilihan Minggu Ini.

Untuk tulisan siaran kali ini, kita akan sama-sama mengenali Siti Nur Syuhada Binti Mohd As’ri, pelukis grafik digital berusia 25 tahun yang berada di sebalik tabir kewujudan laman Imanimex. Untuk itu, mari kita ikuti ringkasan soal jawab hasil temuramah santai lewat aplikasi perbualan maya antara beliau dan penulis.

imanimexscreenshot

Laman Facebook Imanimex

S : Sejak bila minat melukis dan mula melukis ??

J : Oh, minat melukis ni ( bermula ) dari kecil, bermula dengan serius bila sudah ( meningkat ) remaja.

S : Siapakah dan apakah yang mempengaruhi Cikpuan untuk terlibat dalam melukis kartun ?

J : Hmm. Sebenarnya tiada siapapun yang mempengaruhi diri untuk melukis melainkan kerana menonton Kartun Anime (kartun animasi Jepun). Kartun Anime yg saya tonton (dan menjadi sumber inspirasi pada) masa tu adalah Gensomaden Saiyuki. Lama-kelamaan, minat (pun) datang bersama dengan kesedaran tentang berdakwah melalui kartun.

positive

Salah satu hasil kerja yang disiarkan di laman Imanimex

 

S : Ada mengikuti mana-mana latihan atau kursus formal yang berkaitan di mana-mana institusi pengajian atau latihan kemahiran ? Misalnya kursus Photoshop, Illustrator di mana-mana…

J : Tiada. Semuanya saya pelajari sendiri sebab saya pemalu untuk meminta bantuan dari orang. Dan saya tidak selesa berada di khalayak ramai walaupun dalam kelas.

S : Perisian apakah yang pernah Cikpuan cuba untuk kerja melukis ? Jika banyak, yang mana satukah yang paling disukai ? Kenapa suka ?

J : Buat sementara ni, saya hanya menggunakan Sai Paint Tool. Sebab saya selesa menggunakannya.

S : Apakah Cikpuan pernah menggunakan perisian lain sebelum ini ?

J : Photoshop, tapi melukis menggunakan Photoshop tidak sebaik melukis dengan perisian yang ada sekarang.

 

chatscreenshot

Sesi temuramah dibuat menerusi aplikasi sembang maya. Suasana temuramah yang begitu santai membuatkan penulis banyak melakukan proses penyuntingan dalam gaya bahasa rasmi agar lebih mudah difahami.

S : Jika anda diberi peluang untuk cuba melukis menggunakan perisian percuma dan sumber terbuka seperti Krita, adakah anda sudi mencuba ?

J : Hmm. Mungkin akan cuba, tetapi sekiranya tak selesa, saya akan berbalik semula kepada perisian lama yg biasa saya gunakan.

S : Apakah Cikpuan melukis menggunakan mouse atau tablet ?

J: Saya menggunakan tablet.

S : Apa tips yang boleh Cikpuan kongsikan dengan para pembaca blog ? Khusus untuk mereka yang suka melukis secara digital…

J : Belajar melukis anatomi dengan membuat lakaran kasar, supaya lukisan nampak lebih seimbang. Selain dari itu, banyakkan rujukan dan jangan terikat dengan satu gaya lukisan sahaja.

Saya Lihat Lelaki Ini Masih Lagi Menulis Guna Mesin Taip Dan Karyanya Laku

Nota : ” Forward jika cerita ini bermanfaat.”, itu pesan Tuan Zamri Mohammad dalam salah satu email yang sampai ke kotak email penulis. Agak lambat penulis respon.

Sejujurnya, membaca cerita ini sebenarnya seolah-olah mencurah garam ke atas luka yang masih terkuak kerana ia berkaitan dengan dunia yang telah penulis tinggalkan. Tuan Zamri Mohammad sebenarnya salah seorang mentor penulisan yang penulis masih segani walaupun setelah berpisah dengan dunia kesusasteraan. Namun catatan pendek ini tetap penulis kongsikan di blog Suara Jiwahalus kerana memori mesin taip yang masih tetap manis segar. Perjalanan dunia penulisan penulis blog ini sungguh, bermula dengan mengetik-getik mesin taip.

Oleh : Zamri Mohammad

SUDAH-SUDAHLAH hanya mahu baca puisi bawah pokok.”

Itu kata-kata yang dikongsikan kepada saya dua minggu lalu bersama-sama penjelasan daripada pengkarya itu sekali. Kata-kata beliau dapat saya rangkumkan dengan dua perkataan, pemasaran sastera.

Beliau penat mendengar luahan teman-teman yang berkata lapar dengan bakat dan kurang khalayak.

Itu cerita di tempat lain. Hari ini di tempat berbeza, saya melihat praktikaliti.

Di hadapan The Arts House at The Old Parliament, Mereka berdua tekun menaip menggunakan mesin taip.

Tap, tap, tap, ting

Bunyi ini merupakan memori kepada yang pernah menggunakan mesin taip. Kepada generasi baharu, mereka leka dan melihat aktiviti menulis menggunakan mesin taip sesuatu yang mengujakan.

Wajah mereka serius. Saya berdiri di hadapan mereka dan membaca iklan, ‘Kirimkan puisi pada harga sepuluh dolar.”

Mereka menulis puisi dan mengirimkan kepada orang yang dituju.

Saya jeling-jeling, ramaikah yang mahu?

Sejumlah kertas pesanan yang membukit berada di sisi penulis puisi. Patutlah beliau serius menyiapkan tempahan puisi.

Si penerima puisi bukan sahaja berjaya dililit kemas hati dengan susunan perkataan. Malah, jari jemari pula menyentuh permukaan kertas yang sudah tidak rata kesan hentakan besi huruf dari mesin taip.

Agak-agaknya apa berlaku kepada penulis puisi ini.

Ini bayangan saya sahaja jika berada di meja itu. Kalaulah berlaku peristiwa di bawah.

Tidak perlu menunggu pentas dan mikrofon orang lain. Cipta pentas sendiri dan kemudian jadikan itu punca mendapat jemputan seterusnya.

Selepas itu, para pelanggan perkataan dididik secara halus menjadi pencinta sastera.Kemudian buka kelas bagaimana menulis puisi.

Kemudian, adakan satu perkumpulan tahunan bersama para pelanggan dan penerima. Jadikan acara tidak eksklusif kepada baca puisi semata-mata, bangunkan pemasaran sastera melalui ilustrasi, buku bukan fiksyen, poster, grafiti, poster kanvas, cetak t-shirt.

Jika mahu bikin khat sebaris puisi pun, silakan.

Seterusnya, ajak teman-teman lain cari rezeki daripada perkataan-perkataan yang digabungkan bersama bakat mereka.

Meskipun begitu, bisnes perkataan tetap berjalan seperti biasa. Tetapi benda-benda lain bergerak sama. Ini proses tambah lagi pelanggan dan peminat baharu.

Tap, tap, tap, ting

Sambil itu bangunkan pengalaman baharu bernama papan kata, senarai perkataan yang sudah siap disusun untuk pelanggan pilih gabungan perkataan yang membina maksud untuk hasilkan puisi baharu.

Bayar lagi sepuluh dolar.

Apa macam, liar betul bayangan saya ke atas mereka. Sampai jam tujuh malam pun saya tidak tegur beliau. Serius sahaja!

“Sudah-sudahlah hanya mahu baca puisi bawah pokok.

“Tap, tap, tap, ting

Ini foto mereka penulis yang kreatif.

unnamed

Jangan Buang Beg Plastik Ini !

plasticbagswziplock

Kita barangkali, mendapati minuman kita berada dalam beg plastik sebegini ketika kita membeli minuman sejuk dari kiosk atau trak minuman sewaktu berada di karnival, pasar malam, tamu mahupun pekan sari.

Dan biasanya, beg plastik ini akan dibuang begitu sahaja sesudah habis minuman.

Untuk kali ini, fikir dahulu sebelum buang.

Mengapa ?

Kerana beg plastik ini sebenarnya masih boleh dikitar semula !

Disebabkan ia mempunyai penutup ‘zip-lock‘, beg plastik ini boleh berfungsi sebagai pelindung kalis air yang boleh membawa peralatan mini elektrik & gajet ke aktiviti melancong, berkhemah, hiking dan lain-lain. Lebih-lebih lagi aktiviti berkhemah dan hiking yang memerlukan kita berdepan dengan cabaran tempat berair dan ketidaktentuan cuaca.

Gambar di bawah menunjukkan bagaimana ia berfungsi sebagai pelindung kalis air bagi peralatan dan gajet kecil kita :

pendrivesb4after

Pemacu Pena, Dongles Atau Pembaca Kad Memori

headlightsheadcover

Lampu Suluh ( Headlamp ) Dan Anak Tudung

hphoneusbcharger

Telefon Bimbit, Kabel USB Dan Pengecas

Mudah-mudahan ini merupakan suatu tips berguna yang boleh membantu kita menyelamatkan bumi ini dari diancam pencemaran akibat lambakan sisa pepejal sekaligus menjimatkan belanja.

Mesej Yang Mungkin Tersirat Di Sebalik Logo Klasik SMK Kuhara…

101120163558

Majoriti rakan-rakan Class Of 96 pasti tidak pernah lupa pada tanda nama ini.

Banyak kenangan yang akan kembali menjenguk-jenguk sebaik sahaja tanda nama ini kembali berada dalam ruang pandangan. Manis dan pahit. Ada yang ditempuhi dan diraikan bersama rakan-rakan, ada pula yang disimpan sendiri-sendiri.

Dan semua kenangan itu terasa berpadu, indah dan bermakna bila kita melihat perkembangan diri kita sendiri serta rakan-rakan di alam matang ini.

Syukurlah begitu banyak yang positif berbanding yang sebaliknya.

Banyak tahun telah berlalu dan logo SMK Kuhara telah bertukar rupa. Namun logo klasik tetap kekal menggetarkan dada. Entah mengapa.

Sejak tahun lepas, fikiran ini tidak pernah lepas dari terfikirkan mesej-mesej tersirat pada logo klasik SMK Kuhara dan kaitannya dengan perkembangan positif dalam hidup kita. Sewaktu mempelajari kemahiran perekaan logo dahulu, diri ini didedahkan dengan pelbagai jenis logo dan pembongkaran mesej-mesej tersirat dalam logo-logo korporat terpilih. Dari logo FedEx sampailah logo-logo lainnya. Namun, tiada yang lebih menarik, indah dan mengharukan dari menyingkap rahsia-rahsia yang mungkin tersembunyi di sebalik logo bekas sekolah sendiri.

Biarlah saya kongsikan apa yang mungkin tersingkap di sebalik logo yang begitu ‘legend’ ini.

logosmkkt

Semasa masih bergelar pelajar, saya berasa agak pelik mengapa logo SMK Kuhara mempunyai pokok kelapa. Mengapa tidak pokok yang lain ? Namun selepas keluar dari sekolah dan menyelami sendiri sejarah Tawau serta peranan pokok kelapa dalam kehidupan seharian, baru saya faham mengapa.

Pokok kelapa itu sedalam makna pokok pinang bagi Pulau Pinang atau pokok melaka bagi negeri Melaka. Atau sebenarnya lebih dari itu. Pokok kelapa bukan hanya salah satu komoditi yang ditanam di Ladang Kuhara dan menjadi eksport utama Tawau pada zaman dahulu, tapi juga mempunyai kepelbagaian makna yang dapat dikaitkan secara harmoni dengan motto ‘Jasa Dan Bakti’.

Pokok kelapa adalah pokok yang banyak memberi manfaat kepada penanamnya- bahkan sampai menjadi perangkap kilat semulajadi ketika perangkap kilat moden belum lagi dicipta. Barangkali pereka logo ini menjadikan pokok kelapa sebagai simbol pelajar-pelajar SMK Kuhara yang banyak memberi manfaat apabila keluar ke tengah masyarakat sesudah menamatkan persekolahan.

Satu lagi dapatan yang paling menarik adalah mesej yang mungkin tersirat di sebalik pemisahan perisai logo kepada dua bahagian berbeza – kawasan kuning dan putih. Bahagian kuning yang mengandungi buku, tinta, pena dan lilin adalah bahagian ilmu pengetahuan. Kuning adalah warna kegembiraan dan keseronokan. Menimba ilmu pengetahuan sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bukannya sesuatu yang memberikan tekanan melampau hingga dikuasai penyakit-penyakit mental.

Manakala bahagian yang putih mencadangkan bahagian akhlak dan sahsiah.

Mengapa ? Kerana warna putih dikaitkan dengan kesucian dan kebersihan. Kesucian dan kebersihan hati. Hati yang ikhlas suci lebih mudah menerima ilmu pengetahuan berbanding hati yang kotor. Dan itu dikuatkan lagi dengan keberadaan pokok kelapa yang mencadangkan mesej dari Hadis Nabi bahawa orang yang paling baik adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Secara seluruh, perisai logo dan objek-objek di dalamnya mencadangkan mesej bahawa pelajar-pelajar SMK Kuhara dididik dan dibimbing untuk membantu negara mencapai kecemerlangan dan keagungan nusa bangsa. Hal itu boleh dicapai dengan gabungan kehebatan akhlak dan sahsiah serta ketinggian ilmu pengetahuan. Dan para pelajar SMK Kuhara menerima mesej tersebut di fikiran bawah sedar mereka.

Di hujung penyingkapan, diri ini mengagumi anugerah bakat kebijaksanaan yang dikurniakan Illahi kepada pencipta logo ini. Mesej-mesej yang terkandung di dalamnya menyerap masuk ke dalam minda bawah sedar para pelajarnya tanpa mengira pelajar cemerlang atau sebaliknya. Dan akhirnya menjadi sesuatu yang membentuk perjalanan mereka di alam dewasa. Pelajar-pelajar yang nakal-nakal mungkin kurang atau tidak mendengar pesan guru, tetapi mereka akhirnya terbimbing ke jalan yang positif. Bila bertemu semula, mereka hidup dalam kejayaan yang membuat mulut kita terlopong.

Sungguh, saya ingin bertemu dengan pereka logo ini yang saya anggap genius lalu berguru dengannya.