Tag Archives: Low’s Gully

Belajar Dari Kejadian Alam 3

lowsgully4

Kredit : Mysnady Mudin

Memandang ke arahnya sahaja sudah cukup untuk menghadirkan rasa seram dan ngeri di sanubari…

Bayangkan suatu jurang yang dalam dan gelap betul-betul bersebelahan dengan puncak yang paling tinggi dan hanya dipisahkan dengan tali keselamatan/safety railing.

Kengerian yang hadir dan juga kepercayaan kaum Kadazan-Dusun tentang jurang ini menyebabkan ia diselubungi aura misteri. Lantas mendapat gelaran The Place Of The Dead, Borneo’s Death Valley dan mungkin banyak lagi gelaran yang belum terlintas di hati dan fikiran kita.

Namun tiada gambaran yang lebih sadis dan menyeramkan daripada persepsi Major Charles Enriquez tentang tempat ini

“ A horrible abyss, a veritable devil’s cauldron of incredible depth…”

Semuanya seakan-akan memberi konotasi negatif yang seterusnya menjauhkan kita dari mendekati dan menerokainya.

Namun tidak semua yang mahu menerima bulat-bulat konotasi negatif yang diberikan kepada jurang ini. Ada yang mahu datang kepadanya untuk mencabar kemampuan diri mahupun menerokai, lantas menyaksikan sendiri apa yang ada di sana. Ada yang berjaya sepenuhnya dan ada yang berjaya separuh jalan.

lowsgully5

Easy Valley: Salah sebuah kawasan yang terdapat di jurang ini. Gambar diambil secara panoramik oleh salah seorang anggota pasukan NOBAT ( North Borneo Adventure Team ) pada tahun 2015, beberapa bulan sebelum tragedi gempa bumi pada 5 Jun 2015.

Yang pasti, berdasarkan pengalaman orang-orang yang terpilih, di jurang ini tersembunyi keindahan luar biasa yang menjadi rezeki mereka. Keindahan yang membuat mereka jatuh hati dan ada yang ingin datang lagi walau diduga pelbagai cubaan. Keindahan yang memperbetulkan persepsi negatif yang hadir lantaran kengerian yang dirasakan. Bagi yang dapat melihat dengan hati, tentunya ini juga suatu corak simbol dan makna yang juga hadir dalam perjalanan hidup manusia, untuk dijadikan iktibar dan panduan yang memotivasikan diri.

lowsgully6

Cauldron’s Gap : Salah satu titik permulaan untuk para peneroka yang memulakan perjalanan ke jurang bawah sana.

Kredit : Pasukan NOBAT 2015

Dalam perjalanan hidup kita, kita tidak lari dari bertemu dengan manusia yang berperwatakan aneh-aneh dan janggal di mata kita. Adakalanya mereka ini dijauhi sebelum sempat kita berkenalan lebih lanjut dengan mereka, hanya kerana mendengar pelbagai khabar dan cerita-cerita yang belum pasti kesahihannya. Kerana manusia itu sendiri cenderung untuk memusuhi apa yang mereka kurang tahu. Bukankah ada kata-kata bijaksana yang mengatakan bahawa, ‘ Tak kenal maka tak cinta’ ? Dan ada yang mengatakan ‘Selidiki dahulu untuk memahami, agar dapat difahami.’? Mungkin ada sisi baik yang menyebabkan kita dapat mengubah persepsi negatif tersebut tetapi kita tidak mengetahuinya melainkan melalui proses perkenalan dan komunikasi. Mungkin seseorang yang kita berusaha jauhi itu sebenarnya seseorang yang dihantar Illahi untuk membantu kita memahami siapa diri kita lantas berusaha menjadi manusia yang lebih baik. Dan membencinya seolah-olah membenci diri kita sendiri…

lowsgully7

lowsgullyeasyvalley

Kecantikan Di Luar Duga : Dua gambar Easy Valley dari perspektif berbeza.

Kredit : Pasukan NOBAT 2015

Sesungguhnya kita boleh belajar sesuatu dari kejadian alam yang kita saksikan dan menggunakan mesejnya sebagai sesuatu yang bermanfaat dalam hidup kita …

Nota Hujung : Tidak puas lagi melihat keindahan yang luar biasa ini ? Gambar-gambar lain berkenaan Low’s Gully boleh diperolehi di laman web Jimmy Chin, jurugambar yang telah mengikuti misi pasukan The North Face memanjat dinding batu di Low’s Gully.

http://blog.jimmychin.com/2009/05/borneo-big-wall-pics/
http://blog.jimmychin.com/more-borneo-big-wall-pics/

Gambar-gambar lain boleh dilihat dalam blog post berkenaan misi pasukan canyoneers dari Belgium pada tahun 2003 :

https://heningituindahblog.wordpress.com/2017/02/05/flemishcanyoneerslowsgully/

Imbas Kembali : Misi Tim ‘Canyoning’ Belgium Menawan Low’s Gully 2003

lowsgully

Kredit : Teddy Raul

“A horrible abyss, a veritable devil’s cauldron of incredible depth”.

Kata-kata itu diucapkan oleh Major Charles Enriquez, ketika jurang ini berada di ruang pandangan saat berada di puncak Gunung Kinabalu pada tahun 1925.

Horrible abyss ? Devil’s cauldron ? Benarkah demikian ?

Sungguhpun nampak menyeramkan hingga diberi tanggapan sedemikian rupa, namun jurang ini tetap menggamit rasa ingin datang kepadanya. Tetapi tidak ramai yang ingin mendatangi.

Ramai yang mencuba tetapi berjaya separuh jalan atau gagal.

Tak hairan timbul tanggapan yang negatif terhadap jurang ini.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa dasar Low’s Gully ( yang sebenar-benarnya ) telah berjaya ditawan oleh sekumpulan tim canyoneers dari Belgium pada tahun 2003 ( selain misi British-Malaysia pada 1998 ), setelah beberapa percubaan sebelumnya bertemu kegagalan atau berjaya tetapi belum benar-benar bertemu dengan dasar Low’s Gully.

Bukan calang-calang canyoneers dan abseilers yang sanggup ke bawah sana. Low’s Gully, dalam dunia abseilers/canyoneers, adalah setaraf Gunung Everest bagi seorang pendaki gunung. Terdapat berbelas-belas tingkat air terjun yang setiap satu tingkatnya boleh mencapai ketinggian sehingga 50-60 meter. Apabila hujan turun walau sedikit, banjir kilat dan aliran air yang mungkin sekuat Niagara akan berlaku menyebabkan misi abseiling/canyoning ke dasar Low’s Gully begitu berbahaya. Bahaya tersebut diakui sendiri oleh Paul Symons-ketua pasukan canyoning tersebut yang juga seorang lagenda dalam dunia canyoning. Symons pernah terperangkap dalam misi sama tiga tahun sebelumnya akibat cuaca buruk. Symons dan pasukannya ( ketika itu diketuai oleh Paul ‘Chip’ Rafferty dari UK ) tersangkak di kawasan Battleship Cave sebelum keluar sehelai sepinggang diselamatkan melalui bantuan helikopter.

Belajar dari kegagalan misi tersebut dan kegagalan misi-misi lain yang berlaku sebelumnya, misi kali ini dirancang dengan penuh teliti. Aspek cuaca dan faktor-faktor lain dikaji sebaik-baiknya. Misi dijalankan dalam bulan paling kering dan tahun paling kering dalam dekad awal millenium ini. Misi kali membawa bersama para canyoneers terbaik dari daerah Flanders, Belgium. Selain Paul Symons sebagai ketua/sweeper, yang melengkapkan misi kali ini adalah : Karl Willems, Oswald Pauwels, David Nijssen, Frans Reinhart, Mark Racquet, Rudi Debbaut, Kurt Garrez, Maarten Simons, Raf Van Stayen.

Dalam misi tahun 2003 ini, pasukan yang agak besar ini dibahagikan kepada dua pasukan. Satu pasukan diketuai oleh Karl Willems dan satu pasukan lagi diketuai sendiri oleh Paul Symons. Pasukan Karl Willems akan mendaki Gunung Kinabalu dari laluan Timpohon ke Laban Rata. Dan dari Laban Rata, mereka bertolak ke Commando Cauldron dan terus turun ke Low’s Gully. Pasukan yang diketuai Paul Symons pula memulakan perjalanan dari Kampung Melangkap Kapa yang terletak dalam daerah Kota Belud, untuk mencari laluan pintu keluar dari Low’s Gully ke Melangkap Kapa. Bacaan GPS bagi laluan tersebut direkodkan dan disimpan di dalam botol. Botol tersebut diletakkan di kawasan laluan keluar dari Low’s Gully untuk dikutip oleh pasukan Karl Willems. Selepas misi itu selesai, pasukan Paul Symons akan menyusuli pasukan Karl Willems. Jika sesuatu berlaku kepada pasukan Karl Willems, Paul Symons dan rakan-rakan sepasukan perlu menyelamatkan mereka.

easyvalleynobat2015

Gambar Hiasan Bermaklumat : Pemandangan kawasan Easy Valley dari Lone Tree.

( Gambar Kredit : Pasukan NOBAT2015 )

Seperti misi-misi terdahulu, perjalanan turun ke Low’s Gully dimulakan dari Commando Cauldron menuju ke Easy Valley. Dari Easy Valley, mereka meneruskan perjalanan ke Lone Tree. Dari Lone Tree, mereka membuka laluan baharu yang dikenali sebagai ‘Flemish Shortcut’. Laluan baharu ini bermula di sebuah batu besar yang dinamakan ‘House Boulder’( 3290m ), bersebelahan Lone Tree. Dari House Boulder, mereka menuju ke arah barat hingga ke kawasan belukar kecil di ketinggian 3160m, sebelum memulakan pergerakan turun secara arah mencancang bermula dari sebuah kawasan air terjun yang kecil berhampiran belukar tersebut.

lonetreenobat2015

Gambar Hiasan Bermaklumat : Kawasan Lone Tree

( Gambar Kredit : Pasukan NOBAT 2015 )

Pergerakan canyoning ini dibantu dengan sokongan tali yang ditambat pada pokok atau ditambat pada batu-dengan bantuan bolt dan alat sokongan lain yang dipasang secara menggerudi ke dalam batu. Mereka hanya membawa tali 8mm sepanjang 60m setiap seorang ! Hal tersebut tidak pernah dilakukan oleh mana-mana misi yang terdahulu. Justeru, tali perlu ditanggalkan dari tambatan sebaik sahaja selesai satu-satu aktiviti abseiling di setiap check point.

houseboulder

Gambar Hiasan Bermaklumat : House Boulder

( Gambar Kredit : Justin Paul Tamin )

Jika misi-misi yang terdahulu ( selain misi British-Malaysia 1998 ) tersangkak di Battleship Cave atau New’s Pool, mereka berjaya melangkah jauh hingga ke air terjun Marmita Trampa. Dari New’s Pool, aktiviti abseiling di kawasan curam dan berair sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Terdapat dua air terjun yang tingginya melebihi 35 meter. Air terjun Robert’s Fall setinggi 50m dan The Cathedral dengan ketinggian 60m ! Selepas cabaran The Cathedral, anak sungai Panataran menanti di hadapan selepas berenang di beberapa kolam air bertingkat.

Dari anak sungai Panataran, mereka berjalan kaki dalam denai hutan menuju ke Kampung Melangkap Kapa.

lowsgullyflemishshortcut

Laluan denai yang dilalui oleh tim canyoning dari Belgium. Dilukis semula berdasarkan laluan askar British yang sesat pada tahun 1994 serta peta topografi yang dilukis oleh Paul Symons dan Raf Van Stayen

lowsgully3

Kredit : mount-kinabalu-borneo.com

Setakat ini, pasukan canyoning dari Belgium ini masih merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya menawan Low’s Gully hingga ke anak Panataran dengan teknik canyoning tanpa menggunakan atau meninggalkan rantaian tali panjang di belakang. Namun kejayaan mereka kurang diketahui oleh dunia kerana misi ini tidak mendapat publisiti yang meluas dari media antarabangsa. Sebuah kertas kerja/laporan projek telah ditulis oleh David Nijssen berkenaan misi ini. Pada masa ini, David Nijssen merupakan seorang pensyarah/penyelidik biologi persekitaran berpangkat profesor di salah sebuah universiti di Bochum, Jerman. Untuk yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kertas kerja tersebut boleh didapati di :

http://homepage.ruhr-uni-bochum.de/david.nijssen/pdfs/LowsGully.pdf

Berdasarkan gambar-gambar yang terdapat dalam kertas kerja berkenaan serta artikel blog di blog mount-kinabalu-borneo.com, Low’s Gully sebenarnya sebuah kawasan penuh misteri yang luar biasa cantiknya. Jauh menyimpang dari apa yang diperkatakan oleh Major Charles Enriquez ketika melihat ke arahnya lebih seratus tahun lalu. Bahkan membenarkan kata-kata Yahya Bin Khalid yang dipetik dari pepatah Arab, ” Manusia memusuhi apa yang dia tidak tahu.”

Nota : Artikel ini pernah disiarkan secara online di laman Facebook Beautiful Mount Kinabalu pada 6 Januari lepas dan disiarkan semula di blog ini sebagai usaha penyelarasan semula hakcipta.