Cirque Peak – Suatu Pengenalan Awal ( Kemas Kini )

CirquePeak&KingGeorgePeak3a

Di Mana Cirque Peak ? – Gambar ( A ) menunjukkan lokasi Cirque Peak yang boleh disaksikan dari Puncak Low. Gambar (B) adalah imej satelit yang memperlihatkan di mana lokasi Cirque Peak dari udara.

( Kredit : Gambar (A)- Zam Affiq Zam, Gambar (B) – Koleksi Peribadi Dr. Ravi Mandalam )

 

Pengenalan/Mukadimah

Artikel ini telah ditulis semula setelah perbincangan berkenaan lokasi sebenar Cirque Peak melalui ruang bual Whatsapp yang berlangsung antara penulis dan Dr. Ravi Mandalam ( salah seorang dari penulis buku East Kinabalu, A Guide To The Eastern Part Of Mount Kinabalu ) pada bulan Februari yang lalu. Perbualan itu menyusul selepas mendapat maklum balas tentang artikel ini dari beberapa ahli dalam grup Facebook Beautiful Mount Kinabalu. Selepas perbincangan tersebut berlangsung, penulis menyimpulkan bahawa artikel ini perlu ditulis semula untuk mengelakkan para pembaca dari berterusan mendapat maklumat yang salah.

Terungkainya Misteri Nama Sebuah Puncak

Sejujurnya, selama hampir 19 tahun penulis mencari-cari nama puncak seperti yang kelihatan pada gambar di bawah.

EastAndNorthRidgeKinabalu.png

( Kredit : Justin Paul Tamin )

Walaupun rupanya begitu unik kerana seakan berkembar dua dan amat mudah untuk dilihat dari atas Puncak Low, namun popularitinya tidak meluas sepertimana Puncak Low, Puncak Selatan, Puncak St. John, Puncak Donkey Ears dan yang lainnya. Justeru, namanya kekal misteri. Puas penulis menggelintar di Google sejak tahun 2015, kalau-kalau penulis berjaya menemukan namanya. Tetapi masih gagal. Nama untuk puncak yang satu ini tidak berjaya penulis temui, sehinggalah pada tahun ini apabila penulis berpeluang untuk membaca sebuah buku bertajuk Kinabalu karangan Anthony Van Der Ent.

kinabalubooks

Gambar yang diambil ketika berada di Pusat Sumber Taman-Taman Sabah di KK Times Square, Kota Kinabalu. Buku yang dimaksudkan Penulis terletak di kiri atas.

Dalam buku tersebut setiap puncak ditandai dengan jelas. Tetapi puncak unik ini tidak jelas penandaannya. Satu bahagian jelas bernama Puncak King George. Pada bahagian yang lain tidak mempunyai nama. Cuma ada satu tempat yang dinamakan dengan nama Cirque.

EasterntoNorthRidgeKinabalu

Dari buku Kinabalu oleh Anthony Van Der Ent : Puncak itu pastinya berada pada kawasan dalam bulatan. Satu bahagian sudah bernama tapi apakah nama untuk satu lagi bahagian puncak ?

Mungkinkah Cirque Peak namanya ?

SabahParksList

Cirque Peak dalam senarai yang dikeluarkan oleh pihak Taman-Taman Sabah.

Amat, amat sedikit maklumat yang penulis perolehi untuk puncak ini ketika menggelintar semula maklumat berkaitan di internet. Hasil carian di Google banyak dipenuhi maklumat tentang satu lagi puncak yang sama namanya tetapi terletak di benua Amerika Utara !

CirquePeakKinabaluBookCover

Cirque Peak, dari arah kawasan Puncak Utara/North Peak- Gambar Kulit Belakang Buku Kinabalu

Cirque Peak dari Gunung Kinabalu disebut dengan jelas dan sahih hanya dalam dua sumber hasil carian. Pertama, dalam laman web rasmi Taman-Taman Sabah sebagai puncak yang ke 21 dalam senarai puncak gunung yang terdapat di Gunung Kinabalu. Dan ia jelas ditulis sebagai Cirque Peak. Kedua, dalam tulisan Steve Long, salah seorang dari ahli kumpulan ekspedisi menakluki Low’s Gully berasal dari United Kingdom. Tulisan tersebut telah diterbitkan dalam jurnal American Alpine Journal terbitan American Alpine Club pada tahun 2000 dan telah dibukukan dalam buku The Mountaineers Book. Selain itu, tiada lagi maklumat lain yang boleh penulis perolehi tentang Cirque Peak.

Namun, sekurang-kurangnya misteri nama puncak itu telah terungkai…

Hasrat untuk menulis tentang Cirque Peak bermunculan apabila penulis mula membuat bacaan lanjutan untuk artikel blog tentang Gunung Kinabalu dan kewujudan litupan ais kemuncak purba serta perkaitannya dengan Sundaland/Benua Sunda.

Saat memesrai kembali topik proses hakisan dan luluhawa oleh glasier dalam subjek Geografi Fizikal serta Asas Geologi, perkataan cirque asyik bermunculan. Kebetulan ciri-ciri untuk sebuah cirque atau kori ada pada tempat yang dilabel sebagai Cirque dalam buku Kinabalu. Mungkinkah di sini asal-muasal nama Cirque Peak ? Mungkin sudah sampaikah waktunya nama puncak ini perlu diketahui umum dengan meluas ?

CirquePeakFromNorthPeakB.jpg

Cirque Peak dari Kawasan North Peak

( Kredit :Arkitrekker )

Asal-Muasal Nama Puncak ?

Sewaktu penulis berbincang dengan Dr. Ravi Mandalam pada Februari yang lepas, penulis mendapat maklumat bahawa Cirque Peak mendapat namanya disebabkan kori yang terletak bersebelahan dengannya.

Selain corrie dan cwm, cirque adalah satu lagi istilah geografi fizikal dan geologi di dalam Bahasa Inggeris untuk kori. Cirque adalah istilah yang dipinjamkan dari Bahasa Perancis.

Kori terbentuk apabila glasier menghakis secara ragutan di dasar bongkah ais pada cerun gunung. Hakisan ragutan tersebut membentuk lekukan atau lembah yang berbentuk seakan-akan panggung amphiteater.

Bagaimana proses pembentukan sebuah kori berlaku dapat dilihat di laman web ini :

http://www.landforms.eu/cairngorms/corrie%20formation.htm

Siapakah yang menamakan puncak tersebut dengan nama Cirque Peak dan bilakah ia dinamakan ?

Persoalan tersebut akan terjawab apabila sumber rujukan yang sahih ditemui suatu masa nanti…

Post-skrip :

Setakat ini maklumat tentang sejarah pendakian ke puncak ini belum dapat diperolehi. Steve Long, dalam artikelnya mencadangkan bahawa pendakian ke Cirque Peak mempunyai potensi untuk dilakukan, dengan langkah pendakian dimulakan dari kawasan Lone Tree dan sesudah itu meredah kawasan hutan gunung yang ada. Kemudian pendakian diteruskan dengan kaedah pendakian teknikal di mana pemasangan bolt (untuk mencangkukkan safety harness) diperlukan untuk 200 meter pertama di permukaan batuan yang curam.

http://publications.americanalpineclub.org/articles/12200039200/Asia-Malaysian-Borneo-Sabah-Mt-Kinabalu-Lows-Gully-East-Face-Attempt )

Addendum ( 30 April 2018 )

Map

Misteri nama selama lebih 20 tahun akhirnya benar-benar terjawab sepuasnya dengan penemuan sebuah peta dari era penghujung tahun 1980an. Jelas terpampang nama Cirque Peak pada kawasan yang telah dibulatkan. Peta ini diperolehi dari majalah Iridescent Sabah.

MapFromDrRaviMandalam2

Satu lagi peta yang jelas menunjukkan lokasi dan nama Cirque Peak. Dari koleksi Dr. Ravi Mandalam.

Gunung Kinabalu : Suatu Ketika, Di Sebuah Benua Bernama Sunda/Sundaland…

AkiNabaluftMeowAfter

Gambar Hiasan : Gunung Kinabalu dari Polumpung Campsite, Melangkap dalam daerah Kota Belud. Low’s Gully kelihatan seolah-olah sebuah kawah besar di sini. Suatu ketika dahulu, Low’s Gully telah menampung litupan ais yang begitu banyak di dalamnya. Batu-batu di sungai ini, mungkin berasal dari sana dan telah dibawa oleh pergerakan ais yang mencair setelah Zaman Ais berakhir.

Kredit :Aki Nabalu Ft Meow’ oleh Allex Harris

Dalam jurnal Glaciation of Mount Kinabalu oleh P.H Stauffer yang diterbitkan oleh Geological Society Of Malaysia pada tahun 1968, Gunung Kinabalu telah diakui sebagai puncak yang tertinggi di kawasan Sunda. Dalam wacana ilmiah oleh Dhani Irwanto dan beberapa pengkaji lainnya, kawasan Sunda ini juga dikenali sebagai Sundaland atau Benua Sunda.

Menurut Wikipedia, Sundaland atau Benua Sunda itu adalah…

” Sundaland (also called the Sundaic region) is a biogeographical region of Southeastern Asia corresponding to a larger landmass that was exposed throughout the last 2.6 million years during periods when sea levels were lower. It includes the Malay Peninsula on the Asian mainland, as well as the large islands of Borneo, Java, and Sumatra and their surrounding islands.

Dari laman web yang sama, dan dipetik dari artikel Response of Western Pacific Marginal Seas to Glacial Cycles: Paleoceanographic and Sedimentological Features oleh Wang Pinxian, takrifan persempadanan Pentas Sunda sekaligus kawasan benua Sunda/Sundaland :

“The extent of the Sunda Shelf is approximately equal to the 120 meter isobath. In addition to the Malay Peninsula and the islands of Borneo, Java, and Sumatra, it includes the Java Sea, the Gulf of Thailand, and portions of the South China Sea.”

Sundaland atau Benua Sunda telahpun lenyap pada masa kini akibat kenaikan paras air laut selepas berakhirnya Zaman Ais dan meninggalkan hanya wujud Kepulauan Melayu/Alam Nusantara di Asia Tenggara.

Map_of_Sunda_and_Sahul

Lokasi Benua Sunda/Sundaland.

Kredit : Wikimedia Commons

Justeru Gunung Kinabalu bukan sekadar gunung yang tertinggi di Benua Sunda/Sundaland suatu masa dahulu, tetapi juga sebuah gunung yang diliputi ais dan bersalji !

 

Diliputi Ais Dan Bersalji

Sewaktu Benua Sunda/Sundaland masih wujud pada Zaman Ais atau Pleistocene -sekitar 2.6 juta-10,000 tahun yang lalu, Gunung Kinabalu masih mempunyai litupan ais kemuncak atau ice cap. Litupan ais kemuncak tersebut dikatakan melitupi kawasan seluas 5 km persegi.

Kewujudan litupan ais kemuncak di Gunung Kinabalu pada zaman tersebut dapat dibuktikan dengan kewujudan glasier atau ‘sungai ais’ purba. Sebagai salah satu agen hakisan dan luluhawa, glasier meninggalkan kesan-kesan pandangan darat geografi fizikal yang unik dan dapat dikenalpasti walaupun litupan ais kemuncak sudah tidak lagi wujud di satu-satu kawasan sejak sekian lama.

MountKinabaluMap

 

Peta Lakaran Yang Menunjukkan Bukti-bukti Kewujudan Litupan Ais Kemuncak Purba di Gunung Kinabalu.
Ditekap semula dari peta asal pada laman blog Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Kuching

Kesan-kesan tersebut boleh dilihat di sekitar kawasan Gua Paka, kawasan berbatu selepas Panalaban sehingga ke Puncak, Low’s Gully, bahkan menjangkau sehingga ke Kundasang dan Dataran Tinggi Pinosuk.

Menurut Koopman dan Strauffer (1966), kawasan di sekitar ketinggian 3,350 meter dan ke atas mengandungi puncak-puncak gunung yang berbentuk seperti tanduk, piramid atau kon. Dan bentuk-bentuk seperti itu terjadi akibat proses pemendapan dan hakisan glasier purba yang berlaku di kawasan kemuncak sepanjang Zaman Ais. Puncak-puncak tersebut sebahagiannya bukan hanya berbentuk sedemikian, malah mempunyai pepenjuru atau permukaan yang tidak sekata yang dikenalpasti sebagai nunatak.

NunatakKori

 

Nunatak adalah puncak gunung bebas litupan ais yang terjojol keluar di atas litupan ais kemuncak, seakan-akan pulau batu yang dikelilingi lautan ais. Ia biasa terdapat di kawasan kutub atau kawasan pergunungan yang mempunyai litupan ais kemuncak. Puncak Low, Puncak St. John dan Puncak Donkey Ears telah dikenalpasti sebagai contoh nunatak yang wujud di Gunung Kinabalu.

Selain puncak berbentuk tanduk, piramid atau kon serta nunatak, terdapat kori di sekitar kawasan puncak Gunung Kinabalu. Salah satu kori yang menonjol di Gunung Kinabalu adalah puncak yang dikenali sebagai Cirque Peak. Ia terletak di antara Puncak Utara dan Puncak King George, dalam kawasan penara timur (Eastern Plateau). Puncak-puncak gunung yang meruncing, nunatak dan kori adalah bukti keberadaan glasier di atas Gunung Kinabalu suatu ketika dahulu.

SacrificingPool

Kolam Bernazar dan Puncak St. John- Dua bukti jelas kesan hakisan dan pemendapan glasier purba di atas Gunung Kinabalu.
( Kredit : Refflisia Putih )

Kawasan cerun laluan pendaki selepas Pondok Sayat-Sayat hingga Km 8.5 pula menjadi salah satu laluan pergerakan turun bagi glasier purba ini. Glasier purba menjadi agen proses hakisan dan luluhawa yang menyebabkan cerun yang terlibat menjadi kurang curam dan mudah untuk dilalui.

Icy

Satu lagi kesan peninggalan glasier purba…
( Kredit : Refflisia Putih )

Gua Paka dan persekitarannya pula menjadi salah satu titik penghujung pergerakan glasier purba ini. Sisa batuan yang dihakis dan diluluhawakan oleh glasier dibawa turun bersama-sama ais yang bergerak perlahan dan tertinggal di sini setelah ais tersebut mencair.

Jurang bertebing curam dan sedalam 1,524 meter yang dinamakan Low’s Gully juga merupakan salah satu bukti aktiviti hakisan dan luluhawa oleh glasier purba.

Pencairan litupan ais kemuncak di atas Gunung Kinabalu berlaku seiring dengan menghilangnya Benua Sunda/Sundaland akibat kenaikan paras aras laut sekitar 3000 tahun yang lalu. Litupan ais yang cair itu mengalir membawa mendakan berupa lumpur bercampur dengan batu pelbagai saiz hanyut jauh dari Gunung Kinabalu. Buktinya boleh dilihat jelas di Kundasang- berupa batu-batu tongkol atau eratik pelbagai saiz yang berselerakan di sekitar kawasan Desa Dairy Farm- sebuah ladang lembu dan kambing susu yang terletak di Dataran Tinggi Pinosuk. Sebahagian lagi menjadi batu-batu yang berada di sekitar Sungai Panataran.

Sungguhpun Gunung Kinabalu kini tidak lagi mempunyai litupan ais kemuncak, kewujudan litupan ais di zaman purba masih dapat dibuktikan menerusi pandangan darat unik yang terbentuk akibat proses hakisan dan luluhawa oleh glasier.

 

Rujukan yang telah digunakan sepanjang penulisan catatan blog ini :

http://mnskuching.blogspot.my/2010/03/natural-sculptures-white-apilite.html
http://www.theborneopost.com/2013/12/22/the-sculpturing-of-mount-kinabalu/
https://atlantisjavasea.com/2015/09/29/sundaland/
https://www.nationalgeographic.org/encyclopedia/glacier/
http://www.onegeology.org/extra/kids/earthprocesses/glaciers.html
http://www.onegeology.org/extra/kids/earthprocesses/alpineglaciers.html
http://www.sabah.edu.my/mrc030.wcdd/glasier.html