Luahan Spontan Yang Sebenarnya Tidak Spontan…

MEMANG dunia ini sengaja diciptakan bukan sebagai satu tempat yang baik lagi adil. Tapi Allah tidak zalim. Dia menciptakan keseimbangan dalam keadaan sedemikian dengan menjadikan doa-doa mereka yang teraniaya dan dizalimi begitu mustajab, tanpa sebarang hijab yang menghalanginya.

-infpmenulis

Ilham Spontan…

Apabila takdir mementukan kita bertembung dengan orang-orang narsissistik, dan ada gurisan2 berdarah lagi pedih berbisa yang mereka tinggalkan setelah berakhirnya sebuah episod perkenalan; yakinlah bahawa pertembungan itu hadir supaya kita belajar untuk memahami lantas membuat kesimpulan dengan penuh kerendahan hati bahawa dunia ini bukanlah sebuah tempat yang baik lagi adil. Hanya kepada Illahi tempat kita memohon perlindungan…”

( Nota: Setelah bersembang hati ke hati dengan seorang sahabat maya, si tukang catat sukar untuk melupakan ungkapan yang sahabat maya itu luahkan…

Ungkapan itu adalah ” Apa yang terjadi kepada Palestin adalah suatu bukti bahawa dunia ini bukanlah tempat yang baik lagi adil…”. Sebenarnya banyak bukti lain, dan salah satunya adalah perhubungan dengan mereka yang toksik atau narsissistik… Wallahu’alam. )

-infpmenulis

Di Sebalik Tajuk Novel ‘Mencabik Mendung Di Langit Kelabu’

Sumber

Novel ‘Mencabik Mendung Di Langit Kelabu‘ asalnya bermula dari sebuah cerpen dengan tajuk yang sama. Tapi apa yang menggerakkan hati seorang Ismi’ Nailofar untuk memilih tajuk tersebut ?

Sebuah peristiwa kecil, berlaku di ruang duduk penumpang di dalam kereta ketika dalam perjalanan dari Penampang ke Kota Kinabalu.

Ketika melihat ke arah pemandangan di luar kereta, hatinya tertarik lalu tersentuh dengan satu pemandangan fenomena unik di kaki langit yang jarang-jarang dilihat.

Dunia Sains menggelarkan fenomena ini sebagai Crepuscular Rays. Jaluran cahaya putih keperak-perakan yang mencelah keluar dari rekahan awan mendung dan jalur cahaya itu menyentuh permukaan bumi ibarat cahaya lampu sorot.

Begitu lama mencari-cari istilah untuk fenomena meteorologi ini, rezeki yang lama tertangguh atas suatu hikmah yang belum tersingkap hingga kini.

Sama seperti yang dinyatakan oleh seorang individu INFP di dalam keratan tangkap layar ini, mencari judul/tajuk untuk sebuah cerpen bagi seorang penulis kreatif jenis INFP memang memakan masa. Diksi dan kosa kata yang dipilih perlu sejalan dan harmoni dengan getar rasa di dalam jiwa/sukma. Akhirnya muncul ungkapan ‘Mencabik Mendung Di Langit Kelabu’ sebagai tajuk cerpen yang akhirnya menjadi sebuah tajuk novel.

Wallahu’alam.

-infpmenulis

Kau, Aku; Tanpa Kata Dan

( Ismi’ Nailofar dalam kenangan)

Pagi ini,
masih bersisa kelabu
semalam awan meranggas airmata meranai
tanah dan bantal tidurmu basah
oleh pendaman rindu terjelma
dari panasnya terik mentari dan hati berjauhan.
Terpancar dari anak matamu
sejelas titis air di hujung rumput, mencapai anak mataku
yang juga basah semalam.

Kau, aku
takpernah sekalipun berdoa dan berharap
agar kaki kau, aku berjejak lalu dirantai di sini
dengan perih tak terjangkau mata dan rasa
sesudah berteguh hati meninggalkan semua yang dikasihi
tapi bukankah ini semua suratan dari Dia
ar-Rabb dan ILlah, yang menyusun atur hidup kau, aku demi senyum tawa di hari muka ?
Dia yang Maha Tahu dan Maha Mendengar
suara hati yang ingin benar pulang pada yang dirindukan
namun dia sengaja menguji kau, aku
hamba-hambaNya
kerana Dia sungguh, Mahu Mendengar.

Tidakkah kesamaan ini menjadikan patut
bagi kata ‘dan’
berada antara ungkapan ‘kau, aku’,
biar sama-sama berbahagi sakit, merawat luka
selama kaki masih berjejak, dirantai di sini ?

Namun jeling zondermu terus-terusan juga mencapai ruang pandangku
dan bibirmu berkata, “ Kau CUMA berbulan madu,
meniup seruling dan mereguk anggur di sini.”

dan tubuhmu terus berbahasa
dengan bahasa sunyi ‘ ‘kau, aku’; tanpa kata ‘dan’ ’.

Tidakkah laut biru di hadapan itu,
yang kau tatap saban hari mengajarmu
setiap titis gerimis semalam
asalnya dari situ
dan tetap kembali ke situ
sejauh manapun ia  jatuh ?

Seperti itulah apa yang mengikat kau, aku dan ar-Rabb
agar kau sedar lantas seikhlasnya meletakkan kata ‘dan’
antara ungkapan ‘kau, aku’.

Atau perlukah pergelangan tanganku menjadi batang pohon getah
dan kau memegang sebilah pisau
menorehnya, hingga susu merah kesumba hangat mengalir 
hadir sebagai bukti
kata ‘dan’
patut hadir antara ungkapan ‘kau, aku’ ?

SMExcel-Sri Kinarut
1997/98 -2011

Postskrip : Pernah tersiar dalam laman blog Bonda Rosmiaty Shaari pada tahun 2011.

http://miashaari.blogspot.com/2011/09/kau-aku-tanpa-kata-dan.html

Watak Lebai Pa : INFJ atau INFP ?

Lebai Pa atau nama penuhnya Tapa Bin Marwan adalah watak utama dalam novel klasik yang menjadi teks bacaan dan kajian subjek Kesusasteraan Malayu peringkat SPM sekitar tahun 1990an.

Perjalanan watak Lebai Pa dalam cerita ini amat menarik untuk dibincangkan, terutama dalam aspek kajian Jungian Typology/MBTI.
Kerana beliau merupakan seorang tokoh agama yang begitu dihormati di kampung tempat beliau bermukim, dan sebelum itu ibarat burung phoenix yang bangkit dari abu kemusnahan masa silam beliau bangkit dari kekecewaan cinta pertama yang hampir-hampir meragut nyawanya.

Berdasarkan pembacaan berkali2 sejak tahun 1997 ( buku ini peneman si tukang catat saat fasa hati luluh oleh peritnya apa yang bernama ‘ the first limerence‘. ), hanya ada dua jenis type preferences yang rasi dengan watak Lebai Pa – INFJ atau INFP. Kedua-duanya dalam kumpulan temperament Catalyst/Idealist/NF sistem Berens-Kiersey, dan individu dalam kumpulan ini dikenali dengan kecenderungan ke arah dunia spiritual dan jiwa yang halus sensitif, serta mereka banyak terlibat dalam bidang pembangunan insan.

Mula2nya memang si tukang catat mengatakan type preferences watak Lebai Pa adalah INFP, tetapi setelah diteliti satu aspek berdasarkan satu babak yang terjadi selepas Mak Bibah tidak merestui cinta kasih Tapa buat Mimah dan kemudian Mak Bibah menghina Tapa serta seisi keturunannya, si tukang catat berubah pendirian.

Semuanya selepas meneliti hasil kajian dari Dr. Eve Deluna, seorang pakar psikiatri/psikoterapis yang menjadi anak murid Prof. Kiersey. Berdasarkan isi buku ‘Survival Games Personalities Play‘.

Lebai Pa atau Tapa Bin Marwan adalah individu dengan INFJ preferences.

Apabila individu INFJ mengalami mental meltdown/breakdown, mereka akan mengalami keadaan catatonia, terbaring di katil sepanjang hari seolah-olah semangat mereka telah hilang jauh meninggalkan mereka. Yang paling parah situasinya adalah mereka langsung meninggalkan makan dan minum sepanjang terbujur di pembaringan.

Itulah yang dialami Tapa Bin Marwan setelah mengalami tekanan mental yang begitu hebat.

Pun begitu, apa yang mengelirukan si tukang catat pada awalnya adalah keputusan Tapa untuk meninggalkan kampung Padi Setempat menuju ke satu arah yang belum pasti hala tujunya lebih kepada kecenderungan individu INFP setelah patah hati. Namun individu INFJ boleh juga melakukan hal sedemikian dengan menggunakan fungsi Introverted Intuition (Ni) yang menjadi fungsi dominan mereka.

Setakat ini, si tukang catat lebih cenderung untuk mengatakan watak Lebai Pa mempunyai kecenderungan individu INFJ.

Wallahu’alam.

-infpmenulis

Gadis Empath (Berhati Penuh Empati) Yang Tersakiti…

( Penafian : Tulisan ini sekadar sebuah pandangan peribadi semata-mata berdasarkan pembacaan dan proses pembelajaran yang si tukang catat lalui kini. Tulisan ini juga tidak boleh digunakan sebagai alat diagnostik untuk mendiagnosis individu lain di alam nyata sebagai sekian-sekian dan sekian-sekian. )


Kali pertama si tukang catat berkenalan dengan novel ini adalah pada tahun 2005. Kebetulan novel ini dihadiahkan sendiri oleh penulisnya sebagai tanda ingatan persahabatan di alam kampus. Namun novel ini hilang dari simpanan si tukang catat, sebelum sempat membuat sebuah resensi buku.

Yang tertinggal cuma energi yang datang kepada si tukang catat sewaktu pertama kali memesrai isi kandungan novel ini. Energi luka watak Nabila Amin Azhar, watak protagonis yang tersakiti yang disambut oleh fungsi Introverted Feelings si tukang catat. Datang ibarat seorang gadis yang berdiri di muka gerbang pagar rumah dan basah kuyup dalam lebat rinai hujan. Air mata yang berjujuhan di pipi bersatu dengan air hujan yang membasahi wajah. Si tukang catat berdiri di hadapannya, sama-sama basah kuyup. Akhirnya berdakapan dalam sendu tangis yang menyatu.

Dan setelah masa berlalu begitu lama, dan banyaknya ilmu pengetahuan dan pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan selang masa antara waktu menerima novel ini dan kekinian, si tukang catat terpanggil untuk melihat watak Nabila Amin dari satu sudut pandang lain.

Pada sudut pandangan literal, popular namun konservatif, watak yang tersakiti ini dipandang sebagai Si Tanggang Moden kerana tergamak meninggalkan keluarga di Malaysia jauh berpetualangan ke Kanada. Namun Si Tanggang Moden tidak menjadi batu. Ada sebabnya. Dan sebabnya begitu kontroversi.


Ciapan oleh salah seorang pemandiri penderaan narsissistik yang kini menjadi seorang life coach (gambar di atas), membuka sudut pandang baharu yang membuka peri pentingnya keharmonian keluarga bagi kesihatan mental seorang individu. Dan penderaan bukan hanya bernuansa kecederaan fizikal semata-mata. Dan itu mendedahkan satu lagi lapis makna yang melatari sisi tersembunyi seorang Nabila Amin. Suara hati tersakiti yang ingin didengari. Istilah hubungan toksik, orang toksik dan narsissistik mula menjadi trending sedunia sekitar tahun 2016, dan trending itu semakin kekal mendunia. Pihak yang meramaikan trending tersebut adalah mereka yang benar-benar didera secara mental-emosi mahupun pihak yang mendakwa didera secara mental-emosi oleh pasangan atau ahli keluarga mereka. Namun pengarang novel ini telah mendahului zaman dalam memerikan apa itu hubungan toksik, orang toksik dan penderaan narsissistik tanpa perlu mengungkapkan istilah-istilah tersebut di dalam karyanya.

” Seperti pohon kemboja yang tegar, dia bersendirian mengharungi cabaran hidup di perantauan. Sebagaimana batang kemboja yang keras menahan setiap gores dan calar, begitu hatinya dikeraskan untuk menerima segala kemungkinan. Namun setegar kuntum kemboja, kelopaknya lembut mewangi. Begitulah dia yang jika dikenali dan didekati, membahagiakan dan penuh dengan cinta yang membara, pada keluarga, pada negara, pada agama dan pada suaminya. Jika kemboja bunga pusara, sampai berkuburkah dia di sana?”, secara simbolik, sinopsis novel ini berkisah tentang personaliti Nabila Amin. Dia hanya seorang anak dan gadis empath (individu dengan sensitiviti dan empati tinggi) yang didera emosinya dan mendapat pendedahan kepada persekitaran toksik dalam keluarganya sejak kecil. Dan mental-emosi yang tercedera ini menjadi pencetus keinginan untuk menjauhkan diri sejauh-jauhnya dari lingkungan keluarga yang mendera hati dan jiwanya secara berterusan. Energi toksik di situ terlalu berat untuk jiwa halus seorang gadis empath menanggungnya dalam jangka masa panjang. Nabila Amin hanya menuruti respons normal dari naluri seorang manusia dalam keadaan ibarat medan peperangan- fight or flight, dan dia memilih flight setelah tembok emosi yang dibina untuk menahan deraan tidak lagi berdaya tahan.

Begitu teliti Nabila Amin merancang pertualangannya ke Kanada. Agar energi watak ibu akhir zaman dari ibu kandungnya serta adiknya Nouri tidak terus-terusan menerobos sempadan medan energi dirinya. Kanada dipilih kerana perbezaan zon waktu yang ketara dengan Malaysia. Ketika ibu kandungnya sedang nyenyak tidur, Nabila Amin akan berjaga untuk melalui kehidupan seharian di siang hari, dan begitu jua sebaliknya. Begitulah. Kerana pengaruh energi seseorang menjadi kecil kepada individu empath, ketika orang lain sedang nyenyak tidur dan individu empath berjaga dalam masa yang serentak. Kerana individu empath dilahirkan tanpa perisai energi yang sekuat individu normal. Dan individu empath seringkali menjadi sasaran empuk orang-orang toksik.

Sesungguhnya, tanpa kesedaran akan wujudnya golongan manusia toksik dan penderaan narsissistik yang menjejaskan kesihatan mental seorang individu, dasar luka seorang Nabila Amin mungkin tidak akan terungkap untuk selamanya.

Wallahu’alam.

-infpmenulis

ANTARA DUA TANJUNG*

(Ismi’ Nailofar dalam kenangan…)

Rindu
adalah kuda putih bersayap pelangi
membawa perantau melangit tinggi
terbang ke Tanjung sana
pada setiap mimpi
dan kembali ke Tanjung ini
di penghujung dinihari.

Sepi
adalah tinta birunila
pena menumpahkan isi jiwa
kala rasa diuja puncak ombak atau disayat belati.
Tak kering-kering
selagi jasad, kudrat dan ruh tinggal di Tanjung ini
dan hati tertinggal di Tanjung sana.

Air mata
adalah titis hujan
menumbuhkan benih dari Tanjung sana
hingga subur meninggi dan merimbun
sebagai pohon lalu berbunga menghiasi Tanjung ini
dan menghantar buahnya kembali ke Tanjung sana.

Doa
adalah jendela yang menghalakan
limpahan cahaya ke kamar jiwa
dan
udara pagi buat nafas nurani
selagi hayat perjuangan di Tanjung ini belum bernoktah.

( Memori 7 Disember 2004
Lapangan Terbang Tawau-Lembah Minden )

22hb September 2011 pukul 1.04 pagi.

(*Tanjung adalah nama panggilan buat Bandar Tawau dan juga Pulau Pinang )

Resensi Novel Mencabik Mendung Di Langit Kelabu

( Ismi’ Nailofar dalam Kenangan…
Artikel resensi ini adalah hasil ulasan yang dibuat oleh Tuan Djazlam Zainal, seorang pengkaji dan pengulas sastera yang tidak asing lagi di Malaysia dan ia diterbitkan secara dalam talian di Laman FB Institut Terjemahan Dan Buku Negara pada 4 Januari 2015.)

MENCABIK MENDUNG LANGIT KELABU KARYA ISMI’ NAILOFAR

Mencabik Mendung di Langit Kelabu karya Ismi’ Nailofar ( Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2015, 251 halaman ) mengisahkan dilema pelajar bernama Asmira menerima pelawaan dari guru sasteranya, Cikgu Mat Nor. Ini semua bermula daripada draf novel dalam proses penulisan Asmira yang dibaca oleh Cikgu Mat Nor yang berhadapan dengan kekeringan tunas sastera di sekolahnya yang berorientasikan pelajaran sains dan matematik. Asmira seakan bunga harapan yang berkembang dalam harapan cikgu Mat Nor. Berjayakah cikgu Mat Nor mempengaruhi Asmira dan bagaimanakah jawapan Asmira ? Konflik inilah yang dimainkan oleh Ismi’ dengan baik sekali sehingga pembaca ingin meneruskan pembacaannya.

Novel sebanyak 11 bab ini dimulakan dengan pemandangan dan kegiatan pelajar di asrama Aspuri. Cikgu Mahanum dan Cikgu Mat Nor menjadi fokus di awal bab ini dengan Ayn Ratnasari dan Mira dijadikan liabilitinya. Menjelajah lebih jauh barulah pembaca mengetahui Ayn Ratnasari itu hanya nama pena milik Asmira binti Razalijaya. Ini mencetuskan dilema kepada cikgu Mat Nor yang sedang mencari, siapakah yang layak menjadi editor majalah Lentera di sekolah tersebut.

Sebagai sebuah cerita remaja, Ismi’ telah meletakkan watak-wataknya setanding dengan usia pembacanya. Ini menyebabkan novel ini tidak terlalu didaktik sehingga terasa ia sebuah buku sivik sosial. Karya remaja yang menceritakan tentang perjuangan dan alam persekolahan yang sangat jarang diungkap oleh kebanyakan penulis. Saya sangat kehilangan penulis Khairudin Ayip, penulis yang paling banyak menyingkap dunia cinta persekolahan. Kalau mahu dilihat dari tren ini, Aziz Afkar telah merintisnya melalui novel Hartini. Hartini mengisahkan liku-liku cinta pelajar maktab perguruan dengan seorang seniman yang banyak mempengaruhi patern penulisan ketika itu. Malah, Maktab Perguruan Perempuan Melayu Pasir Panjang di Terengganu merupakan tempat yang harus dilawati bagi para pembaca novel tersebut. Namun ia seakan berhenti begitu saja kerana kisah yang menarik itu telah bertukar menjadi karya remaja yang lebih kepada asyik maksyuk pengarangnya.

Saya perturunkan satu babak yang menarik untuk renungan pembaca ( hal. 185 )

” Biasanya ada dua tafsiran yang boleh dibuat apabila keladi bunting atau kiambang muncul di dalam sebuah puisi atau sajak. Pertama, kedua-duanya ditafsirkan sebagai idea atau pemikiran yang hebat serta ideal di atas kertas, tetapi kurang atau tidak berkesan sama sekali apabila digunakan untuk menyelesaikan masalah yang dilakukan dalam dunia sebenar. Kedua, kedua-duanya ditafsirkan sebagai manusia yang bergelut dengan realiti hidup di dunia moden, tetapi tidak menghadapinya dengan cara sebenar dan mutlak dalam tiga aspek hidup yang menjadi asas kepada setiap tindak-tanduk manusia. Aspek yang pertama itu ialah kepercayaan. Aspek yang kedua ialah cara memandang dunia dan aspek yang ketiga ialah sistem nilai. “

Karya ini baik untuk bacaan remaja kerana di dalamnya ada nilai yang mendidik secara tidak langsung. Mempelajari kaedah puisi secara langsung melalui kuliah dan pembelajaran dalam bilik darjah ada kalanya membosankan tetapi Ismi’ telah menyelitkannya ke dalam karya sastera. Sejalur dengan novel sebuah bacaan, menyelitkan pendidikannya secara halus seperti ini adalah kelebihan pengarangnya bagi menyalurkan matlamatnya.

Banyak yang dapat dipelajari dalam novel sulung Ismi’ Nailofar ini…”

Sumber Artikel :