Tag Archives: Lelaki Beta

Inspirasi 1

leadership_penguin-23590

Coretan ini tidak bermaksud untuk mengkultuskan mahupun mengaibkan individu yang saya paparkan dalam catatan ini. Sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pengajaran positif yang saya perolehi sepanjang mengenali beliau dalam arena Ko-K pada zaman persekolahan dahulu. Beliau saya anggap sebagai tokoh individu ‘Lelaki Beta‘ yang cenderung ke arah sifat introvert dan HSP/Empath serta benar-benar wujud dalam kehidupan saya sendiri. Mudah-mudahan dengan perkongsian ini, kita beroleh pengajaran bahawa anggapan lemah serta tidak maskulin tidak semestinya benar untuk seorang lelaki yang mengutamakan cara yang lembut dalam urusan kehidupannya. Lembut tidak bermakna kebapuk-bapukan atau Encik Sotong.

 
Segalanya bermula pada pertengahan September awal 1990-an, apabila saya menyertai acara pertandingan kawad kaki antara unit beruniform kategori sekolah menengah peringkat daerah- sempena Hari Ulangtahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri. Menyertai salah satu badan unit beruniform di sekolah bermakna tidak hanya membabitkan diri dengan aktiviti dalaman peringkat sekolah, malahan turut sama turun padang menjayakan beberapa akitiviti yang menggabungkan kesemua cawangan di setiap sekolah di daerah Tawau. Dan pertandingan kawad kaki ini hanyalah salah satu dari aktiviti tersebut.

 
Pihak atasan peringkat daerah bagi unit beruniform yang saya sertai ini mengutamakan pembentukan satu skuad kawad kaki yang menghimpunkan wakil-wakil terpilih dari setiap sekolah berbanding membuat suatu pertandingan kawad kaki antara skuad sekolah-sekolah bagi memilih wakil ke pertandingan ini. Wakil-wakil yang terpilih akan menjalani latihan intensif selama seminggu- untuk membentuk keserasian dan kerjasama dalam satu skuad. Lima orang dari kelas saya telah terpilih sebagai wakil  dan hadir lebih awal dari saya. Saya hanya hadir pada hari ke-3.

 

Sebelum menyertai sesi latihan, rakan-rakan yang terdahulu ini ada bercerita kepada saya tentang komander yang memimpin dan melatih mereka. Mereka beria-ia menceritakan tentang beliau, dan semua cerita yang saya dengar positif belaka. Pasti komander ini seorang yang istimewa. Benarkah ? Tidakkah ada sesuatu yang akan membuat kita bermimpi ngeri di malam hari ? Saya akui saya memang tertekan dan kurang berkeyakinan apabila menjalani latihan kawad kaki. Dan saya akui sesi latihan kawad kaki di sekolah begitu berat untuk saya tanggung-berkat anugerah berupa kesabaran saya dapat bertahan. Apakah sesi latihan peringkat daerah ini juga begitu?

 
Pada hari pertama sesi latihan saya, saya dapati hanya saya yang cemas dan bimbang sendirian. Realiti sebenar dan cerita dari rakan-rakan sama sahaja. Sesi latihan ini merubah persepsi saya tentang latihan kawad kaki serta kepemimpinan untuk selama-lamanya.
Brother Johan ( bukan nama sebenar ) menjadi komander sekaligus mengetuai skuad kawad kaki ini. Secara fizikalnya, beliau bukanlah seseorang yang berimej ‘Abang Sado’. Dan tiada pula sebarang petanda ataupun petunjuk yang menunjukkan Brother Johan itu manusia gila kuasa dan pangkat. Meskipun bukan berimej ‘Abang Sado’ malah dikira lebih kecil dari saiz purata untuk lelaki, Brother Johan dihormati dan disegani oleh mereka. Bukan ditakuti dan digeruni. Kalau ikut logik biasa, lelaki bersaiz sepertinya selalu menjadi sasaran orang yang gila kuasa mahupun yang suka ‘melawan tauke’.

 

Dalam masa beberapa hari, saya belajar untuk memahami mengapa orang bawahan segan dan hormat padanya. Padanya ada sikap tenang dan bersahaja. Beliau seorang yang terbuka, dan tidak berasa tergugat bila mana idea-ideanya dicabar oleh perbezaan perdapat. Contohnya, cara untuk berpatah balik semasa berjalan mengikut arahan kawad. Ada perbezaan yang jelas antara cara yang diajar di sekolah dan di sesi latihan ini. Entah bagaimana kesilapan yang saya lakukan berulangkali mengundang perhatian Brother Johan. Saya sangat bernasib baik kerana beliau memilih untuk memaafkan sahaja berbanding menghukum saya dengan keras. Sewaktu masa rehat, beliau memberi keadilan kepada saya- dengan bertanya masalah serta mendengar dengan sabar tentang perbezaan cara yang mengundang cognitive dissonance dalam mental set-up saya. Saya berasa lega kerana tidak mudah bagi saya untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

 
Sepanjang baki sesi latihan, beliau tidak pernah kelihatan sedang memasukkan tangan ke dalam saku seluar pada waktu di luar lingkungan kawad kaki. Dan beliau tidak pernah meninggikan suara, melainkan ketika sedang menyampaikan arahan kawad. Dan beliau mudah memaafkan mereka yang terlanjur ketika bergurau-senda dengannya.

 

Namun, yang paling menyentuh hati adalah semangat kesukanan yang ditunjukkan ketika skuad kami tidak berjaya menjadi juara. Komandan skuad Boy’s Brigade ( skuad juara ) datang bersalaman dengannya, dan Brother Johan menyambutnya seolah-olah beliau sendiri memimpin pasukannya menjadi juara.

 

( Bersambung… )

Advertisements