Tag Archives: Ranau Trail

Belajar Dari Kejadian Alam 2

ranautrail

Laluan Ranau/Ranau Trail

Laluan ini wujud ekoran dari tragedi gempa bumi yang melanda pada 5 Jun tahun lepas. Dalam tragedi tersebut, laluan asal di sepanjang kawasan The Rockface telah musnah akibat runtuhan batu bermula dari Km 6.1 hingga Km 7.0. Selepas perbincangan dengan pakar-pakar dari luar negara, laluan asal diisytiharkan tidak lagi selamat untuk dibina semula.

Maka, dua laluan baharu telah dibina sebagai pengganti. Dan laluan ini merupakan salah satu daripada dua laluan tersebut.

ranautrailinbuilding

Laluan Ranau Dalam Pembinaan.

Laluan ini dinamakan Laluan Ranau atau Ranau Trail. Setelah laluan ini siap sepenuhnya pada awal Disember tahun lepas, aktiviti pendakian ke Puncak Low dijalankan kembali. Keindahan alam semulajadi di laluan ini, terutama di kawasan anjung tinjau begitu menyentuh hati walaupun hanya gambar yang ditatap. Apa yang telah ditakdirkan sesungguhnya bukan suatu kesia-siaan. Tentunya proses pembinaan laluan ini tidak dapat lari dari perkaitanan dan makna simbolik dalam kehidupan kita.

Sebagai manusia, kita tidak lari dari membuat kesilapan. Baik dalam membuat keputusan penting dalam hidup kita mahupun ketika kita berhubung dengan orang lain di sekeliling kita. Ada kegagalan yang melukakan. Ada hajat yang tak sampai. Ada hati-hati yang luka berdarah. Semua itu mungkin telah memusnahkan keyakinan kita untuk meraih kejayaan di laluan hidup mahupun menjadi sebab terputusnya hubungan kasih sayang.

Namun, tidak mustahil untuk kita membina kembali laluan yang sudah terputus. Suatu kebangkitan dari sebuah kegagalan tidak semestinya memerlukan kita membina kembali laluan di tempat yang sama. Pada kebanyakan kes, membina kembali laluan yang terputus di medan yang lain adalah jauh lebih baik dari membina semula laluan asal yang sudah musnah. Kita boleh sahaja menerokai bidang baharu, mempelajari kemahiran baharu, bertemu dengan suasana dan cabaran yang baharu; yang mungkin jauh lebih bermanfaat untuk membina perwatakan dan sahsiah kita.

Dalam kes membina kembali hubungan kasih sayang yang terputus, memang mudah untuk berkata-kata berbanding melaksanakannya kerana ia membabitkan hati dan perasaan individu yang terbabit. Tidak semua luka sembuh pada jangkamasa yang sama, justeru doa serta tempoh bertenang adalah doktor yang terbaik.

Walau apapun, dari kejadian alam yang Allah Taala sudah takdirkan, kita boleh belajar sesuatu, mengambil iktibar dan jadikan motivasi.

Nota Kredit : Sekalung penghargaan penulis ungkapkan buat pentadbir laman Facebook rasmi Persatuan Porter Gunung Kinabalu kerana telah sudi meminjamkan gambar-gambar yang terpampang di sana untuk menjadi hiasan iringan dalam artikel ini.