Tag Archives: Digital Painting

Imanimex-Melukis Sambil Berdakwah

imanimex

Mungkin ada di kalangan para pengunjung laman blog Suara JiwaHalus yang terperasan adanya sebuah lukisan kartun dengan mesej dalam Bahasa Inggeris pada sidebar sebelah kanan. Dan tertera perkataan unik Imanimex sebagai kredit sumbernya.

Perkataan yang unik ini merupakan nama sebuah laman Facebook yang mempromosikan perkhidmatan melukis komik dakwah ala komik Jepun. Minat pada lukisan komik di laman Facebook Imanimex bermula apabila salah seorang kenalan Facebook penulis telah meletakkan salah satu lukisan komik ini pada status dindingnya. Gambar-gambar yang comel diiringi mesej yang menyentuh hati. Sejak itu, lukisan-lukisan dari laman Imanimex seringkali muncul di laman blog Suara JiwaHalus dalam slot Gambar Pilihan Minggu Ini.

Untuk tulisan siaran kali ini, kita akan sama-sama mengenali Siti Nur Syuhada Binti Mohd As’ri, pelukis grafik digital berusia 25 tahun yang berada di sebalik tabir kewujudan laman Imanimex. Untuk itu, mari kita ikuti ringkasan soal jawab hasil temuramah santai lewat aplikasi perbualan maya antara beliau dan penulis.

imanimexscreenshot

Laman Facebook Imanimex

S : Sejak bila minat melukis dan mula melukis ??

J : Oh, minat melukis ni ( bermula ) dari kecil, bermula dengan serius bila sudah ( meningkat ) remaja.

S : Siapakah dan apakah yang mempengaruhi Cikpuan untuk terlibat dalam melukis kartun ?

J : Hmm. Sebenarnya tiada siapapun yang mempengaruhi diri untuk melukis melainkan kerana menonton Kartun Anime (kartun animasi Jepun). Kartun Anime yg saya tonton (dan menjadi sumber inspirasi pada) masa tu adalah Gensomaden Saiyuki. Lama-kelamaan, minat (pun) datang bersama dengan kesedaran tentang berdakwah melalui kartun.

positive

Salah satu hasil kerja yang disiarkan di laman Imanimex

 

S : Ada mengikuti mana-mana latihan atau kursus formal yang berkaitan di mana-mana institusi pengajian atau latihan kemahiran ? Misalnya kursus Photoshop, Illustrator di mana-mana…

J : Tiada. Semuanya saya pelajari sendiri sebab saya pemalu untuk meminta bantuan dari orang. Dan saya tidak selesa berada di khalayak ramai walaupun dalam kelas.

S : Perisian apakah yang pernah Cikpuan cuba untuk kerja melukis ? Jika banyak, yang mana satukah yang paling disukai ? Kenapa suka ?

J : Buat sementara ni, saya hanya menggunakan Sai Paint Tool. Sebab saya selesa menggunakannya.

S : Apakah Cikpuan pernah menggunakan perisian lain sebelum ini ?

J : Photoshop, tapi melukis menggunakan Photoshop tidak sebaik melukis dengan perisian yang ada sekarang.

 

chatscreenshot

Sesi temuramah dibuat menerusi aplikasi sembang maya. Suasana temuramah yang begitu santai membuatkan penulis banyak melakukan proses penyuntingan dalam gaya bahasa rasmi agar lebih mudah difahami.

S : Jika anda diberi peluang untuk cuba melukis menggunakan perisian percuma dan sumber terbuka seperti Krita, adakah anda sudi mencuba ?

J : Hmm. Mungkin akan cuba, tetapi sekiranya tak selesa, saya akan berbalik semula kepada perisian lama yg biasa saya gunakan.

S : Apakah Cikpuan melukis menggunakan mouse atau tablet ?

J: Saya menggunakan tablet.

S : Apa tips yang boleh Cikpuan kongsikan dengan para pembaca blog ? Khusus untuk mereka yang suka melukis secara digital…

J : Belajar melukis anatomi dengan membuat lakaran kasar, supaya lukisan nampak lebih seimbang. Selain dari itu, banyakkan rujukan dan jangan terikat dengan satu gaya lukisan sahaja.

Advertisements

Melukis Secara Digital Dengan Microsoft PowerPoint ?

eddysophianpullewithazlanlaudinmartin

Encik Eddy Sophian Pulle ( kanan ) ketika berziarah ke rumah Encik Azlan Lauddin Martin- salah seorang orang kuat dalam laman Facebook Discover Tawau.

Apabila para ahli komuniti senireka grafik berdiskusi tentang perisian yang digunakan oleh para pelukis digital, nama-nama besar seperti Adobe Photoshop, Adobe Illustrator, CorelDraw, Paint Shop Pro, Manga Studio, SAI Paint Tool dan banyak lagi pasti akan terlintas di fikiran. Atau sekurang-kurangnya Krita, GIMP, Inkscape atau Paint.NET yang mampu dimiliki sesiapa kerana kegratisannya. Namun, apabila disebut Microsoft PowerPoint, mungkin ramai yang akan terkesima dan terlopong seketika.

Itulah yang terjadi kepada saya ketika bertanya kepada Encik Eddy Sophian Pulle, seorang pelukis digital yang telah melukis sebahagian dari lukisan-lukisan yang terpampang di laman facebook Discover Tawau. Saya menyangka lukisan digital yang dilukis oleh beliau telah dilukis menggunakan CorelDraw X7, namun jawapan yang saya terima langsung tidak saya duga sama sekali.

eddysophianpullepowerpointcanvas

Menambah lagi rasa kejut yang sedia ada, lukisan yang dilukis beliau hanya dilukis dengan menggunakan tetikus ! Saya menyangka beliau melukisnya dengan bantuan tablet, seperti lazimnya para pelukis digital, kerana kualiti kerja yang membuat saya terkesima buat berapa ketika.

Masih bekerja di Syarikat Sawit Kinabalu Sendirian Berhad, Encik Eddy mula melukis secara digital secara sambilan sejak tujuh bulan lalu, ketika menyediakan imej illustrasi yang bakal menghiasi buku karangan beliau sendiri. Beliau kurang berpuas hati dengan lukisan illustrasi konvensional yang beliau lukis dengan pensel, lalu mencuba untuk melukis secara digital dengan apa yang ada dalam komputer beliau. Setelah begitu lama berlatih, akhirnya terhasil hasil kerja seperti yang kita lihat di bawah :

eddysophianpullepainting

Hasil kerja beliau turut menarik perhatian pemilik kedai percetakan tempat beliau mencetak buku karangan beliau, lalu beliau dihadiahkan dengan hasil cetakan salah satu dari lukisan illustrasi yang terdapat pada buku berkenaan.

masjiddaengahmadmappata

Lukisan illustrasi yang telah meraih perhatian pemilik kedai percetakan.

Dari satu aspek, beliau memiliki sesuatu yang lazim dimiliki oleh pelukis digital/illustrator profesional, iaitu :

1. Bakat dan kemahiran semulajadi kurniaan Allah Subhanawataala
2. Kesungguhan dalam melatih bakat dan kemahiran yang ada

Dengan adanya hal ini, seorang pelukis digital boleh berjaya di mana-mana peringkat, tak kira perisian apapun yang pelukis tersebut gunakan. Tak kira sama ada menggunakan tetikus atau tablet.

Pada masa akan datang, mudah-mudahan akan ada temuramah secara formal yang bakal menyelami proses kreatif dan aliran kerja beliau, sama ada secara bersemuka atau secara online. Sesungguhnya pengalaman yang saya perolehi ini telah mengubah persepsi saya dan menambahluaskan lagi pengetahuan saya tentang senireka digital.

Banyak lagi lukisan illustrasi Encik Eddy Sophian Pulle boleh disaksikan dalam buku The ESP Story. Anda boleh menghubungi beliau di laman facebook Discover Tawau berkenaan buku tersebut.

eddysophianpulleatprintingshop

Sumber untuk kesemua imej : Discover Tawau