Tag Archives:

Luah, Dedah Dan Bongkar ( Bahagian II )

watikah

Ini Kalilah ! Ketika ini, watikah ini sudah tiada harga lagi di sisiku. Serius. Andai yang kuterima berbentuk pingat, mungkin sudah kubuang sahaja ke laut; sepertimana Allahyarham Muhammad Ali membuang pingat olimpiknya dalam sungai dulu-dulu.

Sambung lagi…

Sungguhpun saya kembali menulis, namun untuk kembali bergiat dalam dunia sastera tidak sekali-kali, sampailah kaki ini kembali memijak bumi Tawau- tempat yang menyaksikan daya kreativiti ini tumbuh dan berkembang.

Biarlah whole creativity block habis pecah berderai dan daya kreativiti yang murni kembali bertumbuh dan berkembang di situ, kerana bumi Tawau lebih berhak menjadi saksinya.

Sepanjang tempoh persaraan itu -termasuk tempoh tidak rasmi sejak tahun 2012, banyak perkara yang saya renungkan. Salah satu dan yang paling utama adalah hakikat bahawa menulis kerana wang menghilangkan keikhlasan dalam berkarya. Sedar tak sedar berkarya kreatif menjadi sesuatu yang bersifat materialistic rat race. Ia menjadi hakikat dalam konteks saya sendiri, walaupun bagi pihak lain perkara tersebut tidak demikian.

gkinabaluguidehelping

porterwith70kgtable

( Sumber Imej )

Yang Lebih Kaya… Para pengangkat barang dan juga para malim gunung yang berulang-alik antara Pondok Timpohon dan Laban Rata/Puncak Low di Gunung Kinabalu memanglah tidak kaya-raya dengan bekerja sebegini, tapi sungguh mereka lebih kaya jika dibandingkan dengan saya sewaktu saya masih berkecimpung dalam dunia penulisan kreatif sastera. Bukan hanya kaya duit tetapi juga kaya dengan wajah ceria yang menutupi kepayahan hidup !

Selain itu, sejak berkecimpung dalam bidang sastera, segala sifat-sifat mahmudah yang sedaya-upaya dipupuk dan disuburkan telah semakin hilang dari dalam diri ini !

Hakikat itu tidaklah saya sedari betul-betul sehingga saya mengalami personal burnout. Sesudah mengalaminya, saya merenung kembali perjalanan saya sebagai penulis kreatif lantas mempercayai apa yang menimpa saya adalah sesuatu yang telah ditakdirkan, demi membuka mata saya untuk melihat hakikat itu dan membetulkan semula mind-setting yang telah diprogramkan. Justeru kembali kepada keadaan sewaktu masih di bangku sekolah-menulis sebagai medan perkongsian pendapat dan peluahan rasa adalah jalan terbaik. Kembali kepada cara menulis yang kasual dan sempoi. Menulis seumpama durian, manggis dan rambutan berbuah, ada musimnya tapi rasa dan keenakannya kekal terpahat pada jiwa orang yang memakannya.

Dan perkembalian itu sesuatu yang menenangkan dan menggembirakan. Ini kalilah, cukup sekadar satu perkongsian yang memuaskan kawan-kawan setia semata-mata.

compnai

2010 vs 2016 : Apa yang ada di dalam seringkali terzahir keluar di pandangan. Ada kebenarannya. Bila melihat gambar ini, anda pasti menyimpulkan bahawa keadaan saya menjadi lebih baik lagi setelah tidak lagi terlibat dalam dunia penulisan kreatif sastera. Betul ?

Luah, Dedah Dan Bongkar !

nailofar10

Tinggal kenangan… Gambar kandid yang diambil sewaktu salah satu acara sastera peringkat negeri pada tahun 2011.

Sudah sekian lama saya ingin menulis coretan ini, untuk kawan-kawan ‘Class Of 96’ yang mengetahui tentang saya sebagai penulis dan wujudnya novel pertama saya- dan bersuka gembira dengan pencapaian itu. Walaupun berat, saya tumpahkan jua semua yang saya pendam dan peram, berterus-terang tentang realiti sebenar lagi terkini saya di medan penulisan kreatif. Mudah-mudahan kaki kita kembali berpijak di bumi nyata dan minda kita membina kembali persepsi berdasarkan kebenaran realiti.

Biar pahit asalkan benar.

Seiring dengan arus gerak masa, saya kian menyedari bahawa dunia sastera- cuma satu bahagian daripada dunia penulisan kreatif yang luas itu sendiri- bukanlah untuk saya. Sejak arwah ayah kembali ke rahmatullah pada tahun 2012, hati saya jadi tawar dan terasa begitu berat untuk bergiat lagi di situ. Ada a whole creativity block yang tiba-tiba merintangi, dan menjadi lebih tinggi dari Puncak Kinabalu seiring dengan pergerakan masa. Pengalaman saya tidak jauh beza dengan pengalaman peribadi seorang penulis Sastera dari Kedah bernama Che Soo Ismail sewaktu pemergian arwah ayah beliau, atau mungkin sebenarnya lebih teruk dari itu ?

Semakin masa berjalan, estim kendiri saya makin merudum. Penulis muda yang senegeri-sebatch dengan saya makin memahat nama dengan penuh gah, terutamanya Ruhaini Matdarin & Co, sedangkan saya bagai terperangkap hidup-hidup dalam runtuhan gempa tanpa diselamatkan sesiapa.

Sejujurnya saya mengalami personal burnout paling teruk sepanjang hidup saya !

Menyedari hal itu, satu keputusan diambil. Saya bersara dari menulis secara rasmi pada hujung tahun 2014. Tiada lagi cerpen dan sajak tersiar di majalah seperti dahulu. Cukuplah novel Mencabik Mendung Di Langit Kelabu menjadi buah tangan yang memuaskan hati dan selera kelompok elitis. Titik.

Dalam tempoh persaraan saya mengintai ruang-ruang lain untuk mencapai kejayaan, juga untuk mencari wang kos sara hidup. Namun, pada 1 Muharram 1437H, saya mengambil keputusan untuk kembali menulis. Kerana pena ini tidak bisa berhenti dari menulis…

Cukuplah sampai di situ dahulu. Tunggu !

1998marchabokeh4web

Berjejak di atas Puncak Low. Puncak Low merupakan puncak tertinggi dan antara yang paling popular di Gunung Kinabalu. Gunung Kinabalu hanya ada satu sahaja di atas muka bumi ini, tetapi masih ada lebih kurang 20 puncak di situ sedang menunggu untuk didaki. Sebegitulah ibaratnya ruang rezeki dan kejayaan dalam hidup kita. Dunia penulisan hanyalah satu dari sekian banyak ruang yang telah disediakan Allah Taala untuk umat manusia dan ia sendiri berpecah kepada banyak cabang. Meskipun bidang penulisan kreatif sastera ternyata bukanlah lubuk emas mahupun medan untuk saya menggapai kejayaan serupa ini, tidak bermakna peluang saya untuk berjaya dalam hidup tertutup sudah.

Jangan Ketawa ! ( Dikemaskini )

Pesan untuk diri : Bila timbul keinginan untuk berdengki, tengok-tengoklah cermin, bimbang nanti bertukar rupa pula…

 

KeldaiGila
Mari ikuti cerita yang tak berapa logik ini…

 
Rasa jengkel masih belum hilang-hilang dari hati Tipah, walaupun sudah tiga hari perkara itu berlalu. Selama tiga hari itu jugalah tidur Tipah asyik terganggu. Kalaupun dia dapat tidur, badan dan kakinya seakan-akan dirantai pada batu sebesar Gunung Everest pada waktu bangun pagi. Dia juga tidak lalu makan. Wajahnya menjadi cekung dan muram. Lingkaran gelap di kawasan matanya semakin ketara.
Sebagai sahabat dan teman serumah, Leha terperasan akan perkara itu. Ketika mereka sedang bersantai-santai mengambil angin di taman permainan, Leha mengambil kesempatan untuk bertanyakan sebabnya.

 
Tipah : Leha… Leha… Takkan kau tak tahu yang aku masih tak puas hati bila bos kita lebih utamakan Si Peah dari aku. Si Peah tu baru berapa lama kerja tempat kita, dah naik pangkat dan naik gaji. Aku yang dah bertahun-tahun bekerja di bawah bos, masih tak naik-naik pangkat atau gaji. Mentang-mentanglah dia tu awek cun !

 
Leha : Sudahlah tu. Dah bukan rezeki kau, Tipah. Bawa-bawalah bersabar.

 
Tipah : ( Meninggikan sedikit suaranya ) Sabar apa lagi ?

 
Leha : Hmm… Apa kata kau ambil cermin dan tengok muka kau. Tengoklah sekarang dan selama mana rasa tak senang hati kau pada si Peah tak hilang-hilang.

 
Tipah : Kenapa pula?

 
Leha : Sebab aku risau, takut-takut muka kau tiba-tiba bertukar jadi keldai.

 
Tipah : Hishhhh… Kenapa pula?

 
Leha : Orang Noghori sebut dengki sebagai dongki. Perkataan Bahasa Inggeris yang sama bunyinya bermaksud Keldai. Dengki Dongki Dongki Donkey Donkey Keldai.

 
( Tipah terdiam beberapa lama. Entah apa yang sedang difikirkan oleh Tipah, Leha sendiri kurang pasti. )
( Dengan tiba-tiba sahaja Tipah kembali bersuara. )

 
Tipah : Leha, rasa-rasanya ini semua engkau punya permainan kata-kata semata-mata kan ?  Keldai pun tak nak disamakan dengan orang yang berdengki. Buat malu mereka dan keluarga mereka !

 
Leha : Hah, tahu tak apa ! Kesimpulannya, jangan ada dengki  ataupun jadi lebih teruk dari keldai. Titik.

 

KeldaiLucu

Kembali Menulis…

still-life-851328_640

Bismillahirrahmannirrahim…
Dengan kalimah nan mulia ini, saya memulakan kembali langkah pertama dalam dunia penulisan.
Setelah mengambil keputusan untuk bersara dari dunia penulisan kreatif pada penghujung tahun 2014, saya kembali lagi ke dunia penulisan seiring dengan kedatangan tahun baharu Hijrah 1437.
Perkembalian ini tidak mudah sebenarnya. Pada bulan-bulan akhir sebelum bersara, saya mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang Rekagrafik & Periklanan dan mengambil kursus insentif selama 6 bulan. Setelah 6 bulan berlalu, saya masih terasa terkontang-kanting dan tertanya-tanya sendirian. Jauh di sudut hati, saya merasa adanya sesuatu yang tidak kena dengan diri sendiri. Tidak dapat memutuskan sama ada untuk meneruskan perjalanan dalam dunia Rekagrafik & Periklanan- sama ada bekerja sepenuh masa dengan majikan mahupun memulakan perniagaan sendiri secara penuh masa. Dalam pada itu, saya bertemu dengan satu laman web luar Malaysia yang menyebut-yebut tentang ujian MBTI dan Highly Sensitive Person/Empath pada sekitar September 2015. Siapa sangka, inilah yang akan memulakan perjalanan kembali saya kepada apa yang saya telah tinggalkan. Saya berasa terpanggil untuk mencuba meskipun terasa gentar dengan apa yang akan saya perolehi nanti.

Saya mencari maklumat tentang ujian MBTI, dan langkah saya bermula di laman web 16personalities.com. Ujian percuma yang disediakan saya ambil dan keputusannya ? Saya mendapat personaliti INFP (Introvert iNtuition Feelings Perception). Keputusan yang sama saya perolehi berulang-ulang kali, ketika saya mengambil ujian MBTI dari laman-laman web yang lain pula.

Sebenarnya saya pernah mengambil ujian yang sama pada tahun 2013, namun saya kurang mengambil berat akan signifikannya ujian tersebut. Keputusan yang saya perolehi sekarang masih sama dengan yang saya perolehi pada tahun 2013.
Selain ujian MBTI, saya turut mengambil ujian Highly Sensitive Person (HSP), dan Ujian Empath Keputusannya : Positif ujian HSP dan Empath.

Selepas membuat pembacaan demi pembacaan, saya membuat kesimpulan bahawa keputusan untuk bersara dari dunia penulisan lalu menceburi bidang Rekagrafik dan Periklanan adalah keputusan yang kurang bijaksana. ‘Sentap’ yang paling ‘sentap’ saya rasakan sewaktu membaca satu blog post yang bertajuk, ‘ Worst Jobs for INFP‘. Padanlah hati saya terdetik rasa keberatan dan gagal memutuskan sama ada bekerja untuk majikan mahupun bekerja sendiri dalam bidang ini sekalipun sudah lebih 6 bulan berlalu. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri ini. Setelah mengetahui yang saya seorang INFP/HSP/Empath, saya mengambil keputusan untuk kembali menyuburkan anugerah Allah dan perlu menerima hakikat yang saya perlu belajar untuk hidup dengan wang pendapatan yang sedikit dalam dunia material ini, di samping bijak mengintai-gintai peluang untuk menambah pendapatan bagi mengurangkan hambatan kos sara hidup yang kian meningkat.
In Sha Allah pasti ada jalannya. Dan saya masih tidak keberatan untuk mengambil tempahan banner/bunting, papan tanda, kad jemputan, kad nama atau apa sahaja yang termampu saya lakukan.