Tag Archives: Orkid Kinabalu

Belajar Dari Kejadian Alam 4

kinabaluorchidscombos

Kredit : Refflisia Putih

Tumbuhan orkid, atau sesetengah dari kita memanggilnya dengan nama romantiknya anggerek, terkenal kerana kecantikan dan daya tarikan yang tersendiri. Sejenis tumbuhan yang bunganya mengingatkan kita kepada kehalusan, kelembutan dan kecantikan yang jarang-jarang dapat dinikmati kerana harganya yang mahal. Lantaran kerana harganya itu, tumbuhan orkid hidup terpelihara, disiram dan dibajai di bawah teduhan binaan berbumbung atau rumah kaca; kerana pendedahan kepada keadaan cuaca yang tidak serasi dengannya mengakibatkan kecantikannya itu terjejas atau mungkin tidak dapat hidup sama sekali.

Lantaran sifat tumbuhan orkid inilah Dr. Bruce J. Ellis dan Dr. W. Thomas Boyce, dua orang pakar pembangunan kanak-kanak dari universiti di Amerika Syarikat mengkias-ibaratkan kanak-kanak sensitif/berjiwa halus dengan simbol tumbuhan orkid. Mereka meminjam kata orkidebarn, yang bermaksud anak-anak orkid dalam Bahasa Sweden sebagai istilah kepada kanak-kanak yang begitu sensitif terhadap persekitaran mereka, lebih-lebih lagi terhadap kualiti pendidikan dari ibu bapa yang mereka terima. Dan apabila orkidebarn atau anak-anak orkid ini diabaikan, mereka akan hidup melarat luar dan dalam. Dan jika mereka diberi suasana/persekitaran yang kondusif serta pendidikan yang sewajarnya oleh ibu bapa, penjaga dan guru, mereka bukan hanya dapat hidup dengan baik sebagai individu bahkan memberi manfaat kepada orang lain hingga ke tahap menjadi aset negara yang amat berharga.

kinabaluorchids2

Kredit : Ona Lara Rose Hidayah

Gunung Kinabalu merupakan rumah pelindung kepada banyak jenis spesis orkid, ada di antaranya ditemui hanya di sekitar pergunungan ini. Di sini, orkid hidup sebebasnya di kawasan terbuka, seolah-olah tidak berkehendak kepada rumah kaca atau tempat teduhan. Bahkan tidak berkehendak kepada siraman air dan taburan baja secara berkala. Sungguhpun hanya disiram air hujan dan hidup menumpang pada pokok dan tanah serta dicabar dengan cuaca sejuk berkabus, kecantikan bunga orkid di sini bahkan sama, malah lebih cantik dan segar dari orkid yang hidup terpelihara dalam rumah kaca !

Orkid Kinabalu seakan-akan memberitahu kita sesuatu tentang simbol orkidebarn yang mungkin tak terjangkau oleh kita selama ini. Dan hanya dapat dirungkai jika ada kemahuan untuk belajar dari kejadian alam melalui proses perenungan.

kinabaluorchids5

Kredit : Refflisia Putih

Suasana/persekitaran kondusif yang diperlukan oleh kanak-kanak sensitif/berjiwa halus bukanlah limpahan kemewahan materi/kebendaan tetapi curahan kasih sayang yang sesuai dengan jiwa halus yang dianugerahkan kepada mereka.

Dan curahan kasih sayang sebegini datang dari orang dewasa yang kaya jiwa.

Walaupun datang dari keluarga yang tidak berharta, kanak-kanak sensitif/berjiwa halus masih boleh membesar menjadi orang dewasa yang sihat spiritual-mental-emosinya. Asalkan keperluan spiritual-mental-emosinya terpenuhkan, kemiskinan bukanlah penghalang untuk kanak-kanak sensitif/berjiwa halus berjaya dalam hidupnya.

Kemewahan materi bukanlah segala-galanya…

kinabaluorchids4b

kinabaluorchids1

Kredit : 1. Refflisia Putih 2. Ona Lara Rose Hidayah

Nota hujung :

1. https://www.scientificamerican.com/article/on-the-trail-of-the-orchid-child/
2. http://www.alive.com/family/helping-orchid-kids-blossom/

3. https://healdove.com/mental-health/10-Types-of-Highly-Sensitive-People-And-Their-Characteristics-Which-Best-Suits-You

4. Kartun L’héritage en Couleur oleh David Revoy.

http://www.peppercarrot.com/en/article117/l-heritage-en-couleur

Advertisements