Tag Archives: Nasi Bambong

Memori Nasi Bambong

nasibambong2

Kredit : Nasi Bambong Facebook

Sesedap dan seeksklusif mana pun hidangan KFC, MacD, Pizza Hut, Domino Pizza, Sushi King, Secret Recipe, Old Town dan segala macam jenama komersil mahupun celebrity chefs’ signature dishes yang sedap-sedap, Nasi Bambong yang berharga antara RM 1.50 ke RM 2.50 sepiring itu jugalah yang dirindu-rindukan.

Seperti masakan ibu yang selalu di hati, sedemikianlah Nasi Bambong selalu di hati. Kerana Nasi Bambong ada sejarah indah yang tersendiri.

Sewaktu penulis masih berpredikat pelajar sekolah menengah di sekitar dekad 90-an, Nasi Bambong sering menjadi menu makan tengah hari sewaktu keluar outing untuk belajar secara solo di Perpustakaan Awam Tawau. Ketika itu, harga Nasi Bambong yang paling asas cuma seringgit ! Dahulu, banyak manalah duit belanja yang ada untuk berbelanja mewah. Dikumpul-kumpul baki wang belanja sekolah yang ada dan sesekali dapat pula extra top-up dari ibu bapa, dapatlah membiayai kos tambang bas, kos makan dan kos berbelanja peralatan sekolah atau dandanan diri.

Kebetulan, lokasi makan Nasi Bambong yang popular dengan nama ‘Taman Tikus’ berdekatan pula dengan Perpustakaan Awam Tawau.

Menunya mudah tapi penuh khasiat dan menyelerakan, nasi putih berlaukkan ayam goreng, telur goreng atau ikan goreng. Lengkap seimbang dengan sayur ala-ala sayur lodeh Semenanjung ( atau sayur tumis ) dan tempe goreng. Ada semangkuk kecil sup yang harum berperisa menjadi pendamping hidangan yang begitu merakyat di kalangan warga Tawau.

nasibambong

Kredit : Jimmy Art Discover Tawau

Nasi Bambong mendapat namanya yang unik kerana harga mesra rakyatnya yang mampu dibeli oleh sesiapapun hatta seorang penganggur. Perkataan bambong ini dalam dialek Tawau bermaksud menganggur ( dari kata nama bambongan yang bermaksud penganggur ). Walaupun sedemikian namanya, Nasi Bambong merakyat di kalangan warga Tawau, hatta bagi mereka yang sudah bekerja kerana harganya yang tidak membebankan di setiap musim.

Dan Nasi Bambong terus berada di hati walaupun musim SPM berlalu. Ketika sudah keluar bekerja sementara menantikan keputusan SPM, Nasi Bambong setia mengalas perut pada waktu tengah hari. Sekali nasi ini mengisi perut, tidak perlu bimbang lagi akan rasa lapar atau inginkan kudap-kudapan petang sampailah habis waktu kerja.

Jika itu tanda berkat, berkatnya Nasi Bambong itu mungkin sekali pada harganya yang mesra rakyat.

Namun Nasi Bambong perlahan-lahan kabur kenangannya di hati apabila mula merasai hidup di perantauan dan penulis mula ada duit lebih dari dermasiswa serta pinjaman pendidikan yang membolehkan penulis sesekali melayani selera mewah yang mulai membesar. Sebelum merantau, sungguh penulis tidak pernah makan ayam KFC dengan belanja dari poket sendiri. Hidangan paling mewah hanya Roti Canai, Soto Ayam atau Bakso. Di manakah memori indah Nasi Bambong ketika lidah sudah mula merasa lazatnya ayam KFC dan burger MacD ? Ikatan Nasi Bambong dengan hati sudah mula terlerai ketika makan menu yang mewah-mewah bersama rakan-rakan baharu di perantauan. Ya Allah, kesannya pada hati hanya Engkau Yang Maha Mengetahui…

Walau memori indah terbenam begitu jauh di dalam minda bawah sedar, satu waktu dengan Izin Allah pasti merapung semula. Di saat diri penulis mula mengenal payah dalam kehidupan sebagai penulis yang bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu dan hutang pinjaman pengajian yang menggunung, penulis rindu amat pada memori masa lalu di mana dengan hanya mempunyai wang saku RM10 dan ke bawah (serta semua itu tidak diperolehi dengan jalan berhutang), penulis merasai makna kebebasan dan kekayaan sejati di sebuah bandar yang so humble dengan Nasi Bambong menjadi alas perut ketika keluar ke bandar. Sampai bergenangan air mata kadang-kadang. Di lokasi penulis sekarang ini, dengan emosi saat memenangi wang hadiah anugerah penulisan pun seumpama emosi orang yang memenangi tiket loteri, dan kos sara hidup pun kian melangit, mana mungkin rasa seindah itu dapat dinikmati.

Semoga Allah memberkati peniaga Nasi Bambong kerana mengekalkan legasi hidangan yang merakyat, lazat dan berzat ini. Mudah-mudahan terus dimurahkan rezeki dan diberkati hidup dunia akhirat kerana prihatin dengan semiskin-miskin warga. Semoga Nasi Bambong kekal menjadi salah satu ciri unik daerah Tawau sampai bila-bila. Dengan Izin Allah, memori bersama Nasi Bambong adalah salah satu perkara-perkara yang telah mengenalkan penulis pada erti dan makna merendah diri.