Tag Archives: Malim Gunung

Luah, Dedah Dan Bongkar ! ( Bahagian III )

fearofmirror

Kredit : brandedinthe80s.com

” Jika mereka (para malim gunung ) diibaratkan sebagai cermin hidup, saya tidak sanggup untuk melihat rupa saya sendiri pada cermin itu. Terlalu hodoh rasanya !”

Catatan ini adalah versi super panjang dari salah satu status di dinding FB yang ditulis secara super spontan dulu-dulu.

Dan catatan status tersebut hanya dilihat dan dibaca oleh rakan-rakan, kerana saya telahpun menghadkan dengan siapa saya berhubung di FB.

Kini, biarlah ia menempati ruangan yang lebih terbuka. Mudah-mudahan dengan itu lebih ramai yang membaca dengan hati nurani akan membacanya. Siapa tahu, yang membaca itu adalah mereka yang pernah bersama-samaku di medan penulisan kreatif, dan kini sedang kerap dihujani anugerah prestij, sanjung-sanjungan dan limpahan fulus.

Tersebut alkisah dari sebuah negeri di Wilayah Timur Jauh. Pada suatu hari, dua orang pramugari- yang sudah bersuami namun meneruskan tugasan mereka bertahun-tahun sesudah menikah dan mempunyai cahaya mata- memutuskan untuk berhenti sahaja dari kerja mereka. Dengan sebab yang paling tidak masuk akal !

Pada suatu hari dalam kesibukan mengejar waktu menuju lapangan terbang, mereka telah terlupa sesuatu yang penting lantas lekas-lekas berpatah balik ke rumah. Langkah-langkah mereka terhenti seketika, tatkala pandangan mata mereka disapa aksi seorang surirumah yang begitu tekun menjemur tilam di peranjungan salah sebuah rumah di bangunan pangsapuri berhampiran mereka. Hati mereka tersentuh dengan aura gelombang positif yang terpancar dari keikhlasan wanita itu menjalankan tugasnya.

Walaupun tugas itu tidak menjanjikan anugerah berprestij, sanjung-sanjungan mahupun limpahan fulus sama sekali !

Sekonyong-konyong, hati kedua-dua pramugari tersebut terdetik sesuatu…

Apakah yang aku cari dari hidupku sekarang yang asyik terkejar-kejar ke sana ke mari ? Aku tidak dapat apa yang aku cari kerana aku tak tahu apa yang aku cari… Sedangkan dia, jelas terpancar di wajahnya yang dia tahu dan sudah mendapat apa yang dia cari…

Aku pernah menikmati indahnya matahari terbit dan terbenam di Dubai, glamournya kota Paris dan segarnya udara hutan dara di Borneo. Tapi aku tidak pernah merasai terbitnya sesuatu dari dalam diriku seperti yang sedang tergambar di wajah wanita itu. Auranya sedang memenuhi udara atmosfera dan menakluki diriku saat ini, sedangkan aku terasa sesuatu seakan-akan semakin hilang jauh dari diriku sendiri !

Sekonyong-konyong, mereka memutuskan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Kerana ingin mencari apa yang diperolehi oleh wanita di peranjungan itu. Tanpa memikirkan implikasi yang bakal menyusul. Seorang ingin berunding-runding dengan pasangannya. Seorang lagi ? Terus membulatkan tekad tanpa berbincang-bincang lagi.

Mereka pasrahkan segalanya !

Sesudah itu dan setelah berapa lama, mereka memperolehi apa yang mereka cari dan mereka benar-benar berasa bahagia. Masalah dan masa susah tetap wujud dalam hidup mereka, tapi mereka dapat mengendalikannya dengan lebih tenang berbanding masa sebelumnya. Tabiat buruk yang sering mereka buat sebagai sejenis pelarian dari realiti hidup sudah semakin menjauh dari rutin peribadi. Hobi dan minat baharu yang memberi makna kepada diri sendiri dan orang lain semakin sebati dengan diri. Malah hobi dan minat baharu ini menjadi lubuk rezeki tanpa disangka-sangka atau dirancang-rancang. Wajah mereka pula semakin berseri-seri dan mendapat pujian dari pasangan dan anak-anak mereka.

Demikianlah tamatnya sebuah alkisah. Seperti kedua-dua pramugari tadi, saya tinggalkan dunia penulisan kreatif ( baca : sastera serius ) gitu-gitu sahaja. Walaupun satu catatan bersiri sudah ditulis sebagai wadah untuk berterus-terang kepada rakan-rakan Class Of 96, namun saya masih merasa ada sesuatu yang masih terpendam. Bahagian paling penting dan perlu diluahkan, agar boleh diambil iktibar oleh semua…

Dalam alkisah tadi, seorang surirumah menjadi pencetus kepada kedua-dua pramugari tersebut untuk meninggalkan kerja mereka. Dan dalam kes saya, para malim gunung pula menjadi pencetus utama kepada tindakan nekad saya meninggalkan dunia susastera.

malimhero

Kredit : sayangsabah.com

Bagaimana mereka jadi asbab terbukanya mata ini ?

Terlebih dahulu saya berterus terang yang saya sememangnya begitu lewat mengikuti apa yang telah berlaku. Selepas merasai kuatnya impak dari Tragedi Seri Menanti di Tawau pada 15 September 1995, tragedi dua bas berlanggar di Merapoh pada Hari Raya Aidilfitri tahun 2003 serta tragedi Tsunami 2004 ke atas dalaman saya (Dr Elaine Aron menyenaraikan keadaan ini sebagai sesuatu yang lazim berlaku kepada Highly Sensitive Person), saya menjadi agak kaku dan kurang berdaya untuk mengikuti tragedi gempa bumi Sabah dengan lebih lanjut. Maka selepas lebih setahun berlalu barulah saya dapat off guard dan ada kekuatan untuk mengetahui apa yang berlaku di Gunung Kinabalu sewaktu dan sesudah tragedi gempa bumi itu berlaku.

Itupun masih terlalu melukakan !

Dan ada perkara yang terpaksa di’red tape‘ sampai ke hari ini.

Yang membuka mata ini adalah kisah para malim gunung yang telah berusaha menyelamatkan para pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu akibat tragedi gempa bumi 2015 dengan gigih tanpa pamrih. Membuat keputusan yang sukar sesukar keputusan yang diambil oleh para pekerja pelantar minyak yang terselamat dalam tragedi Piper Alpha 1988. Apa yang penting adalah memelihara nyawa para pendaki yang berada dalam pertanggungjawaban mereka. Ada di kalangan mereka yang telah terkorban nyawa, dan ada pula yang tercedera. Yang sudah tercedera pula perlu menyelamatkan pendaki yang tercedera !

Kerana mereka menganggap para pendaki ini seolah-olah bersaudara dengan mereka. Saudara dalam konteks kemanusiaan.

“ SAYA ANGGAP BUDAK ITU SEPERTI ADIK SAYA ”

Itu kata Mohd Rizuan Kauhinin, malim gunung yang menjadi ikonik hingga ke peringkat antarabangsa kerana aksinya menggendong seorang kanak-kanak yang tercedera.

mrizuankauhinin

Kredit : The Star

Memang kita semua bersaudara dalam kemanusiaan kerana kita sememangnya anak cucu Nabi Adam Alahissalam !

Sudahnya, publisiti, penghargaan dan sanjungan datang sendiri. Untaian kasih terbina antara mereka yang sebelum ini tidak begitu saling mengenali. Rezeki untuk diri dan keluarga mencurah-curah dari segenap pelusuk walaupun mata pencarian hilang buat seketika akibat bencana.

Jika mereka diibaratkan sebagai cermin hidup, saya tidak sanggup untuk melihat rupa saya sendiri pada cermin itu. Terlalu hodoh rasanya !

Apa tidaknya, perjalanan saya dalam dunia susastera sudah terlalu dicemari dengan sandaran kepada anugerah prestij, sanjung-sanjungan dan limpahan fulus sebagai penanda aras kehebatan dalam dunia penulisan sastera dan sasaran untuk dikejar-kejar. Tanda fulus mula menari-nari di ruang mata. Tulisan-tulisan saya tidak lagi setulus ketika masih di sekolah dahulu. Kalau di sekolah dahulu ayatnya lintang pukang lari ke laut pada skala para elitis, tapi setelah bergiat dalam susastera ayatnya memanglah lebih indah tapi sudah hilang ruh dan makna lantaran mengejar perhatian mereka.

Walaupun sudah diperbaiki mutu penulisan, tapi tetap tak berdaya juga diri ke puncak yang lebih dahsyat dari Gunung Everest. Jalan yang disangka mendaki naik ke puncak rupanya laluan menuruni jurang yang lebih kelam dari Low’s Gully. Kesihatan kian menurun dan perjalanan masih dibayangi oleh penulis junior seangkatan yang sedang dihujani anugerah demi anugerah. Dan saya terbiar tenggelam seorang diri di saat saya amat memerlukan sokongan untuk membina kembali prestasi yang kian ambruk, walhal inilah medan yang dicanang-canang sebagai medan yang memanusiakan manusia !

Sebelum mendalami sendiri tragedi gempa bumi Sabah 2015, masih bersisa juga keinginan untuk kembali ke dunia susastera…

Namun, selepas membaca sendiri kisah Mohd. Rizuan Kauhinin dan detik-detik akhir Mendiang Robbi Sapinggi yang begitu memilukan, hati saya yang sudah tersungkur dek rasa aib dan malu ini membulat tekad untuk membenamkan nama Ismi’ Nailofar ke dasar Low’s Gully. Biarlah nama itu serta puisi-puisi dan ayat-ayat manis hanyut dibawa arus Sungai Panataran. Hanyut jauh meninggalkan Kampung Melangkap Kapa hingga bertemu Laut China Selatan. Biarlah tugu ke’poyo’an itu bersemadi menjadi tukun di dasar laut yang tidak dikenang-kenang.

Pun begitu, pena saya masih kekal berlari mencoret catatan biar hanya di jalanan, sepertimana para malim gunung yang tidak akan meninggalkan Gunung Kinabalu selagi kudrat dan hayat masih ada.

Advertisements