Tag Archives: AMD Radeon Legacy

Tahun 2017 Dan Dilema Seorang Pengguna OS GNU/Linux

amd-ati_fglrx-legacy_006

Contoh perisian driver bagi AMD Radeon Legacy di sistem GNU/Linux

Pejam celik, pejam celik… Sudah hampir sebulan kita berada dalam tahun 2017.

Sedar tak sedar, tahun ini merupakan tahun terakhir untuk OS Ubuntu versi 12.04 Precise Pangolin mendapat sokongan dari Canonical Inc.

Khidmat sokongan untuk Ubuntu 12.04 Precise Pangolin akan ditamatkan pada penghujung April tahun ini. Ini bermakna hayat perkhidmatan Ubuntu 12.04 untuk para pengguna Linux berakhir tidak lama lagi.

Ini juga merupakan sesuatu yang menjadi salah satu dilemma yang menghantui diri penulis saat ini.

Komputer riba penulis saat ini menggunakan OS yang berasaskan Ubuntu 12.04, dan Ubuntu 12.04 merupakan satu-satunya sistem Ubuntu yang sangat serasi dengan komputer riba penulis saat ini.

Komputer riba penulis menggunakan kad grafik jenis AMD Radeon Mobility 4200 HD. Kad grafik yang dikira sudah lama sebenarnya. Untuk kad grafik jenis ini beraksi dengan baik dalam OS GNU/Linux tanpa diganggu masalah kepanasan melampau pada CPU dan kad grafik, ia memerlukan pemasangan perisian AMD Legacy Driver.

Dan perisian AMD Legacy Driver hanya boleh dipasang apabila komputer penulis menggunakan Ubuntu 12.04.

Penulis pernah cuba memasang OS berasaskan Ubuntu dengan versi lebih tinggi pada komputer riba penulis- Linux Mint 17.3 Rosa KDE ( yang berasaskan Ubuntu 14.04 LTS ) serta Linux Lite 3.0 ‘Citrine’ ( yang berasaskan Ubuntu 16.04 LTS ) dan komputer penulis berdepan dengan risiko kepanasan melampau. Kepanasan melampau boleh menyebabkan jangka hayat sesuatu komputer riba menjadi lebih singkat dari yang sepatutnya serta menyebabkan sokongan bateri yang lebih singkat berbanding normal.

Justeru, tamatnya khidmat Ubuntu 12.04 seumpama suatu mimpi ngeri buat penulis.

Solusi yang ada selepas April 2017 adalah:

1. Kembali kepada Windows 7 yang sememangnya wujud secara dual-booting dengan Linux Lite.
2. Beli sebuah komputer riba baharu dengan kad grafik Nvidia yang lebih advance dan serasi dengan sistem Linux.

Kedua-dua pilihan mempunyai kelebihan dan rintangannya yang tersendiri. Setelah terbiasa dengan kelajuan iMac sewaktu menjalani latihan rekagrafik dan juga lajunya GNU/Linux yang berasaskan sistem Unix-like, menggunakan Windows 7 terasa bagaikan berkuda di atas tuntul. Dan menggunakan kembali sistem Windows bermakna sekali lagi perlu berdepan dengan isu virus, malware dan macam-macam lagi yang biasanya menjadi keluh-kesah pengguna Windows.

Ujian hidup berupa kekangan kewangan memaksa penulis terus kekal dengan komputer riba sedia ada buat masa ini.

Kedua-dua pilihan ada pro dan kontra yang tersendiri. Kedua-duanya tidak dapat menjadi pilihan selesa penulis.

Untuk seketika pernah juga wujud opsyen ketiga, iaitu menggunakan Debian ‘Wheezy’, tetapi pembahagian kawasan pada cakera keras komputer riba penulis tidak dapat dikenalpasti dengan baik oleh Debian ‘Wheezy’ sewaktu proses pemasangan. Lantas opsyen ketiga pun ditiadakan.

Maka buat masa ini, selama mana hayat Ubuntu 12.04 dapat dipertahankan; penulis akan terus setia hingga terpaksa kembali tanpa rela ke sistem Windows.

Glosari :

Tuntul– nama untuk Siput Sedut dalam dialek Sabah.