Category Archives: Memori/Nostalgia

Memori ‘Diari’ Wangi…

MemoriDiaryWangi

( Kredit : Jimmy Art’s Drawing )

Pasti ada di kalangan pembaca/pelawat Generasi X-Y yang tersenyum-senyum sendiri melihat lukisan kartun di atas.

Memori tentang buku diari wangi tiba-tiba bermunculan ketika menghidu haruman Mekar Selasih dari Haruman Luqman. Baunya yang seperti gabungan wangian Morning Mist dan manis-manis buah agak hampir dengan bau buku diari yang dikeluarkan oleh Syarikat Golden Tiger dari Taiwan. Buku diari yang paling penulis minati dan ingati bukan hanya kerana harumannya semata-mata, tetapi rekaan grafiknya yang berciri classic naive art ala-ala kartun Peter Rabbit dan The Little House Of Prairie begitu.

Bukan syarikat Golden Tiger sahaja yang mengeluarkan buku diari wangi, malah ada beberapa buah syarikat dari Taiwan serta Jepun yang membuat dan mengedarkan buku yang sama. Syarikat lain yang penulis ingat adalah Shinn Jee Corporation, Flomo dan Kutsuwa.

Rekaan grafik buku diari harum tidak terhad kepada gambar kartun tetapi ada juga yang bergambar bunga-bungaan dan sebagainya. Wangian dari setiap buku adalah berbeza. Ada juga yang mempunyai kunci dan anak kunci.

journal-431912_640

Rekaan layout yang mungkin terdapat dalam buku diari wangi.

Kredit : Pixabay

Sepanjang ingatan penulis, walaupun ia disebut-sebut di kalangan rakan-kenalan zaman persekolahan dahulu sebagai buku dairi, buku ini tidak berfungsi sebagai buku diari yang sebenar. Tetapi ia berfungsi sebagai buku autograph dan buku yang menyimpan catatan biodata dan alamat rakan-rakan di sekolah dalam masa yang sama. Lazimnya, buku ini diisi oleh rakan-rakan dan kenalan sekelas atau setingkatan ketika tahun akhir persekolahan. Tanda kenang-kenangan sebelum berpisah arah. Biasanya ada gambar yang disertakan bersama catatan tersebut. Kadang-kadang ada pantun, sajak, lukisan doodle atau macam-macam lagi sesuai dengan daya kreativiti orang yang mengisi ‘buku diari’ tersebut.

ContohCatatanDiari

ContohCatatanDiari2

Contoh isi yang boleh anda jangkakan dari sebuah ‘buku diari’. Tapi sesuaikah kata nama ‘buku diari’ itu dengan apa yang tertulis di dalamnya ?

©2017 Suara JiwaHalus Graphic Designing

Mungkin ada kata nama yang lebih sesuai untuknya, tetapi tidak terlintas langsung di hati atau fikiran penulis pada masa tersebut. Dan hingga sekarang penulis tidak tahu kata nama apa yang lebih sesuai untuk buku itu.

Apapun, buku ‘diari’ sudah menjadi salah satu daripada kenangan zaman persekolahan golongan Generasi X dan Generasi Y.

Advertisements

Memori Nasi Bambong

nasibambong2

Kredit : Nasi Bambong Facebook

Sesedap dan seeksklusif mana pun hidangan KFC, MacD, Pizza Hut, Domino Pizza, Sushi King, Secret Recipe, Old Town dan segala macam jenama komersil mahupun celebrity chefs’ signature dishes yang sedap-sedap, Nasi Bambong yang berharga antara RM 1.50 ke RM 2.50 sepiring itu jugalah yang dirindu-rindukan.

Seperti masakan ibu yang selalu di hati, sedemikianlah Nasi Bambong selalu di hati. Kerana Nasi Bambong ada sejarah indah yang tersendiri.

Sewaktu penulis masih berpredikat pelajar sekolah menengah di sekitar dekad 90-an, Nasi Bambong sering menjadi menu makan tengah hari sewaktu keluar outing untuk belajar secara solo di Perpustakaan Awam Tawau. Ketika itu, harga Nasi Bambong yang paling asas cuma seringgit ! Dahulu, banyak manalah duit belanja yang ada untuk berbelanja mewah. Dikumpul-kumpul baki wang belanja sekolah yang ada dan sesekali dapat pula extra top-up dari ibu bapa, dapatlah membiayai kos tambang bas, kos makan dan kos berbelanja peralatan sekolah atau dandanan diri.

Kebetulan, lokasi makan Nasi Bambong yang popular dengan nama ‘Taman Tikus’ berdekatan pula dengan Perpustakaan Awam Tawau.

Menunya mudah tapi penuh khasiat dan menyelerakan, nasi putih berlaukkan ayam goreng, telur goreng atau ikan goreng. Lengkap seimbang dengan sayur ala-ala sayur lodeh Semenanjung ( atau sayur tumis ) dan tempe goreng. Ada semangkuk kecil sup yang harum berperisa menjadi pendamping hidangan yang begitu merakyat di kalangan warga Tawau.

nasibambong

Kredit : Jimmy Art Discover Tawau

Nasi Bambong mendapat namanya yang unik kerana harga mesra rakyatnya yang mampu dibeli oleh sesiapapun hatta seorang penganggur. Perkataan bambong ini dalam dialek Tawau bermaksud menganggur ( dari kata nama bambongan yang bermaksud penganggur ). Walaupun sedemikian namanya, Nasi Bambong merakyat di kalangan warga Tawau, hatta bagi mereka yang sudah bekerja kerana harganya yang tidak membebankan di setiap musim.

Dan Nasi Bambong terus berada di hati walaupun musim SPM berlalu. Ketika sudah keluar bekerja sementara menantikan keputusan SPM, Nasi Bambong setia mengalas perut pada waktu tengah hari. Sekali nasi ini mengisi perut, tidak perlu bimbang lagi akan rasa lapar atau inginkan kudap-kudapan petang sampailah habis waktu kerja.

Jika itu tanda berkat, berkatnya Nasi Bambong itu mungkin sekali pada harganya yang mesra rakyat.

Namun Nasi Bambong perlahan-lahan kabur kenangannya di hati apabila mula merasai hidup di perantauan dan penulis mula ada duit lebih dari dermasiswa serta pinjaman pendidikan yang membolehkan penulis sesekali melayani selera mewah yang mulai membesar. Sebelum merantau, sungguh penulis tidak pernah makan ayam KFC dengan belanja dari poket sendiri. Hidangan paling mewah hanya Roti Canai, Soto Ayam atau Bakso. Di manakah memori indah Nasi Bambong ketika lidah sudah mula merasa lazatnya ayam KFC dan burger MacD ? Ikatan Nasi Bambong dengan hati sudah mula terlerai ketika makan menu yang mewah-mewah bersama rakan-rakan baharu di perantauan. Ya Allah, kesannya pada hati hanya Engkau Yang Maha Mengetahui…

Walau memori indah terbenam begitu jauh di dalam minda bawah sedar, satu waktu dengan Izin Allah pasti merapung semula. Di saat diri penulis mula mengenal payah dalam kehidupan sebagai penulis yang bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu dan hutang pinjaman pengajian yang menggunung, penulis rindu amat pada memori masa lalu di mana dengan hanya mempunyai wang saku RM10 dan ke bawah (serta semua itu tidak diperolehi dengan jalan berhutang), penulis merasai makna kebebasan dan kekayaan sejati di sebuah bandar yang so humble dengan Nasi Bambong menjadi alas perut ketika keluar ke bandar. Sampai bergenangan air mata kadang-kadang. Di lokasi penulis sekarang ini, dengan emosi saat memenangi wang hadiah anugerah penulisan pun seumpama emosi orang yang memenangi tiket loteri, dan kos sara hidup pun kian melangit, mana mungkin rasa seindah itu dapat dinikmati.

Semoga Allah memberkati peniaga Nasi Bambong kerana mengekalkan legasi hidangan yang merakyat, lazat dan berzat ini. Mudah-mudahan terus dimurahkan rezeki dan diberkati hidup dunia akhirat kerana prihatin dengan semiskin-miskin warga. Semoga Nasi Bambong kekal menjadi salah satu ciri unik daerah Tawau sampai bila-bila. Dengan Izin Allah, memori bersama Nasi Bambong adalah salah satu perkara-perkara yang telah mengenalkan penulis pada erti dan makna merendah diri.

Antara Melodi Paling Merdu Di Alam Dunia…

Bunyi ini mengingatkan penulis kepada pengalaman indah di kampung halaman arwah ayah dulu-dulu. Banyak pokok kelapa di situ dan daun-daunnya akan berbunyi sebegini bila ditiup angin. Kedengaran jelas bila berada di tepi tingkap.

Bunyinya sangat menenangkan. Tidak perlu buka radio atau pemain kaset untuk memainkan lagu-lagu kegemaran.

Mesej Yang Mungkin Tersirat Di Sebalik Logo Klasik SMK Kuhara…

101120163558

Majoriti rakan-rakan Class Of 96 pasti tidak pernah lupa pada tanda nama ini.

Banyak kenangan yang akan kembali menjenguk-jenguk sebaik sahaja tanda nama ini kembali berada dalam ruang pandangan. Manis dan pahit. Ada yang ditempuhi dan diraikan bersama rakan-rakan, ada pula yang disimpan sendiri-sendiri.

Dan semua kenangan itu terasa berpadu, indah dan bermakna bila kita melihat perkembangan diri kita sendiri serta rakan-rakan di alam matang ini.

Syukurlah begitu banyak yang positif berbanding yang sebaliknya.

Banyak tahun telah berlalu dan logo SMK Kuhara telah bertukar rupa. Namun logo klasik tetap kekal menggetarkan dada. Entah mengapa.

Sejak tahun lepas, fikiran ini tidak pernah lepas dari terfikirkan mesej-mesej tersirat pada logo klasik SMK Kuhara dan kaitannya dengan perkembangan positif dalam hidup kita. Sewaktu mempelajari kemahiran perekaan logo dahulu, diri ini didedahkan dengan pelbagai jenis logo dan pembongkaran mesej-mesej tersirat dalam logo-logo korporat terpilih. Dari logo FedEx sampailah logo-logo lainnya. Namun, tiada yang lebih menarik, indah dan mengharukan dari menyingkap rahsia-rahsia yang mungkin tersembunyi di sebalik logo bekas sekolah sendiri.

Biarlah saya kongsikan apa yang mungkin tersingkap di sebalik logo yang begitu ‘legend’ ini.

logosmkkt

Semasa masih bergelar pelajar, saya berasa agak pelik mengapa logo SMK Kuhara mempunyai pokok kelapa. Mengapa tidak pokok yang lain ? Namun selepas keluar dari sekolah dan menyelami sendiri sejarah Tawau serta peranan pokok kelapa dalam kehidupan seharian, baru saya faham mengapa.

Pokok kelapa itu sedalam makna pokok pinang bagi Pulau Pinang atau pokok melaka bagi negeri Melaka. Atau sebenarnya lebih dari itu. Pokok kelapa bukan hanya salah satu komoditi yang ditanam di Ladang Kuhara dan menjadi eksport utama Tawau pada zaman dahulu, tapi juga mempunyai kepelbagaian makna yang dapat dikaitkan secara harmoni dengan motto ‘Jasa Dan Bakti’.

Pokok kelapa adalah pokok yang banyak memberi manfaat kepada penanamnya- bahkan sampai menjadi perangkap kilat semulajadi ketika perangkap kilat moden belum lagi dicipta. Barangkali pereka logo ini menjadikan pokok kelapa sebagai simbol pelajar-pelajar SMK Kuhara yang banyak memberi manfaat apabila keluar ke tengah masyarakat sesudah menamatkan persekolahan.

Satu lagi dapatan yang paling menarik adalah mesej yang mungkin tersirat di sebalik pemisahan perisai logo kepada dua bahagian berbeza – kawasan kuning dan putih. Bahagian kuning yang mengandungi buku, tinta, pena dan lilin adalah bahagian ilmu pengetahuan. Kuning adalah warna kegembiraan dan keseronokan. Menimba ilmu pengetahuan sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bukannya sesuatu yang memberikan tekanan melampau hingga dikuasai penyakit-penyakit mental.

Manakala bahagian yang putih mencadangkan bahagian akhlak dan sahsiah.

Mengapa ? Kerana warna putih dikaitkan dengan kesucian dan kebersihan. Kesucian dan kebersihan hati. Hati yang ikhlas suci lebih mudah menerima ilmu pengetahuan berbanding hati yang kotor. Dan itu dikuatkan lagi dengan keberadaan pokok kelapa yang mencadangkan mesej dari Hadis Nabi bahawa orang yang paling baik adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Secara seluruh, perisai logo dan objek-objek di dalamnya mencadangkan mesej bahawa pelajar-pelajar SMK Kuhara dididik dan dibimbing untuk membantu negara mencapai kecemerlangan dan keagungan nusa bangsa. Hal itu boleh dicapai dengan gabungan kehebatan akhlak dan sahsiah serta ketinggian ilmu pengetahuan. Dan para pelajar SMK Kuhara menerima mesej tersebut di fikiran bawah sedar mereka.

Di hujung penyingkapan, diri ini mengagumi anugerah bakat kebijaksanaan yang dikurniakan Illahi kepada pencipta logo ini. Mesej-mesej yang terkandung di dalamnya menyerap masuk ke dalam minda bawah sedar para pelajarnya tanpa mengira pelajar cemerlang atau sebaliknya. Dan akhirnya menjadi sesuatu yang membentuk perjalanan mereka di alam dewasa. Pelajar-pelajar yang nakal-nakal mungkin kurang atau tidak mendengar pesan guru, tetapi mereka akhirnya terbimbing ke jalan yang positif. Bila bertemu semula, mereka hidup dalam kejayaan yang membuat mulut kita terlopong.

Sungguh, saya ingin bertemu dengan pereka logo ini yang saya anggap genius lalu berguru dengannya.

Bukit Sebuku Gula

sugar-loaf-pao-de-acucar

Kapsyen : Sugarloaf Mountain atau Pão de Açúcar, dipandang dari arah kawasan Aterro do Flamengo. Pemandangan dari arah Attero do Flamengo disifatkan sebagai sudut pemandangan terbaik dan tercantik serta menjadi sesuatu yang ikonik di peringkat antarabangsa.

 

Seingat saya, imej dalam gambar di atas pertama kali saya lihat pada muka depan buku teks Geografi Tingkatan 2. Buku teks Geografi zaman 70an-80an yang tebal gitu ! Ciptaan Allah Subhana Wa Taala yang begitu unik dan menarik membuat seorang kanak-kanak yang sedang belajar mengenal dunia terkesima dan kagum, biarpun hanya di dalam gambar. Sungguh, ketika itu dia tidak pernah mendengar nama Rio de Janeiro dan tidak tahu bukit di dalam gambar itu terletak di sana.

Semakin banyak hal-hal baharu yang menjadi tumpuan dalam hidup, detik-detik yang berlangsung beberapa ketika itu kian kabur dari ingatannya. Ia tidak pernah hilang, tersisip jauh di bawah perkara-perkara lain yang lebih utama.

Beberapa tahun berlalu, nama Rio de Janeiro mula kedengaran dan memasuki ruang ingatannya. Bermula dari laporan cuaca di Berita Dunia Jam 10, hingga Sidang Kemuncak Dunia Rio. Gambar kotaraya Rio de Janeiro yang terpampang di slot laporan cuaca, langsung tidak sepadan dengan imej di dalam ingatan. Segala itu dibiarkan melimpas begitu sahaja di ruang fikir, tanpa sebarang tindakan.

Lebih kurang inilah rupanya gambar Rio de Janeiro yang dipaparkan dalam slot Laporan Cuaca tersebut :

Sugar_loaf_from_Cristo_Redentor_2010b

Dan pada kerancakan musim Olimpik Rio ingatan itu kembali merapung, setelah sekian lama tenggelam dalam laut fikir bawah sedar. Zaman internet dan Google-mengugel memudahkan maklumat diperolehi berbanding sewaktu saya mencari maklumat untuk projek kajian sejarah tempatan peringkat PMR dahulu. Maklumat tentang kota ini digelintar, terutama tentang bukit yang bentuknya unik itu. Dan carian internet menjadi asbab terjawabnya misteri yang terpendam begitu lama. Semua ingatan tentang bukit di dalam gambar saling bertemu dan bersambungan dengan ingatan kecil tentang Rio de Janeiro. Bukit berbentuk kon dalam gambar yang saya lihat dahulu rupa-rupanya salah satu mercutanda kotaraya ini- yang begitu terkenal di seluruh dunia. Dan tahulah saya, namanya adalah Sugarloaf Mountain atau Pão de Açúcar.

Kerana Mirip Sebuku Gula…

Gunung Sebuku Gula ? Pelik bukan namanya ? Tapi itulah hakikat maksud nama Sugarloaf Mountain/ Pão de Açúcar bila dimelayukan.

Segalanya menjadi tidak pelik apabila diselusuri asal-usul namanya. Penjajah Portugis yang menguasai Brazil pada abad ke-16 Masehi menamakan bukit berupa unik ini dengan nama tersebut kerana rupanya yang menyerupai sebuku gula putih. Pada waktu tersebut, gula putih yang dijual di pasaran bukanlah dalam bentuk kiub atau kampit kecil gula pasir seperti di kedai-kedai atau supermarket sekarang. Ia dijual dalam bentuk berbuku. Seperti yang kita lihat dalam gandingan gambar di bawah :

SugarloafMountain2

Gula buku dalam pelbagai saiz boleh dilihat di sini :https://en.wikipedia.org/wiki/Sugarloaf#/media/File:Zuckerh%C3%BCte_Zucker-Museum.jpg

Kembali kepada bukit unik ini. Jika dilihat dari kawasan Lautan Atlantik atau kawasan Teluk Botafogo, memang macam rupa gula buku pun.

Sugarloaf_Mountain_upsideriver

Kesimpulannya, memang logik nama yang diberikan kepada ciptaan Allah Subhana Wa Taala yang begitu unik ini.

Kenangan Meja Guru

MejaGuru

Meja Guru di Sebuah Bilik Kelas Sekolah. Sekadar Gambar Hiasan ( sumber asal )

Sebelum seorang kenalan ( yang saya anggap sebagai guru ) menyampaikan kepada saya tentang adab-adab murid kepada guru, saya tidak tahu sama sekalipun tentang tindakan duduk sahaja-sahaja di meja guru dan berlagak macam guru itu melanggar adab.

 

Bila adab-adab sudah dilanggar, hilanglah keberkatan dalam menuntut ilmu.

 

Apa yang disampaikan oleh beliau :

 

Kata Syeikh Abd Rauf al-Fansuri ( dalam kitab Jawi lama bertajuk Risalah Mukhtasarah fi Bayan Syuruth al-Sheikh wa al-Murid yang dikarang oleh Sheikh Abdul Rauf Singkel ):

“Bahawasanya ‘lagho’ itu sia-sia, maka WAJIB atas Syeikh bahawa jangan dibiarkannya sesorg daripada muridnya itu hadir pada tempatnya duduk itu (tempat syeikh duduk mengajar). Maka apabila dibiarkannya mereka itu di sana, maka-sanya telah DIJAHATKANNYA pada HAK mereka itu.”

 

Ada 2 maksud iaitu:

 

  1. Hendaklah dihalang murid-murid daripada berlegar-legar di tempat duduk syeikh itu mengajar seperti bermain-main syeikh (pura2 berlakon) di tempat duduknya itu, kerana perbuatan yg seperti itu benar-benar perbuatan yang sangat biadab murid terhadap gurunya. Maka hendaklah dihalau murid itu dengan hukuman denda tertentu dan jika degil dan mengejek-ejek akan murid itu maka hendaklah dihalau keluar dari zawiyah tersebut. “

(https://bvnyian.wordpress.com/adab/tazkirah-adab-guru-dan-murid-huraian-oleh-lebai-kampung/)

 

Ketika tiba di poin yang berkenaan, hati saya terdetik, teringatkan kenangan lama sewaktu masih belajar di SMK Kuhara dahulu. Di kelas Khas ( setara dengan kelas Bestari zaman sekarang ) dan kelas yang kedua sesudahnya, meja guru memang dianggap para pelajar sebagai zon larangan ketika guru tiada di kelas, tanpa perlu adanya satu peraturan yang dikuatkuasakan.

 

Bukan untuk menunjuk baik, memang tidak tergerak hati saya dan rakan-rakan ( yang saya ingati kerana rasa akrab yang mereka hulurkan ) untuk pergi sahaja-sahaja duduk di tempat guru dalam kelas, apatah lagi untuk berlagak macam cikgu di hadapan rakan-rakan lainnya.

 

Seingat saya, budaya yang sedemikian berterusan hingga kami tamat SPM.

 

Alhamdulillah… Keputusan peperiksaan PMR dan SPM kami baik. Kini, tiada satupun di antara kami yang menjadi sampah masyarakat, walaupun ada di antaranya yang hidup tidak semewah mana. Begitulah, bila ilmu ada keberkatan maka manfaatnya tidak hanya sekadar untuk diri sendiri semata-mata.

 

Apa yang saya fahami, bila kita menghormati guru ( sama ada kerana naluri semulajadi atau disampaikan kepentingannya melalui kelas pengajian ), ilmu akan menjadi berkat. Dan perkara-perkara yang kita anggap remeh sebenarnya memberi kesan besar kepada keberkatan ilmu yang kita tuntut.

 

Salam Jumaat…

 

NaiQRCodeLogoKecik

 

 

Pilihan Yang Diberkati…

jasadanbakti1

Logo dan lagu sekolah SMK Kuhara di zaman penulis masih bersekolah di sana

Nota : Dikemas kini dan disunting semula pada 20 Februari 2017.


‘SMK Kuhara’

Pandangan mata ini masih terhala pada himpunan aksara yang terpampang di surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Peralihan. Pelbagai rasa bercampur aduk dan berbaur jauh di dalam diri. Gembira ? Entahlah.

Beberapa bulan yang lalu, penulis mengisi borang kemasukan ke sekolah menengah. Ada tiga pilihan perlu diisi di borang tersebut. Pilihan hati yang utama tentunya S. M. Konven St. Ursula, satu-satunya sekolah khusus untuk pelajar perempuan di daerah Tawau ini. Penulis sudah bosan melayan karenah budak-budak lelaki yang saban hari membuat hati merengsa selama 6 tahun lamanya. Kerengsaan itu perlu dinoktahkan. Sekolah khusus untuk para pelajar perempuan lebih aman untuk diri ini.

Namun tangan ini mencatat SMK Kuhara sebagai pilihan pertama. Pilihan yang berdasarkan kehendak mak ayah. Kerana SMK Kuhara ada sejarah kecemerlangan dalam bidang akademik dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah yang lain di daerah Tawau ketika itu. Mereka percaya anak mereka yang seorang ini boleh menggapai kecemerlangan di situ. Entah dari mana penulis mendapat kekuatan untuk berbuat begitu, walhal penulis boleh sahaja meletakkan pilihan hatiku di pilihan pertama tanpa pengetahuan mereka. Mungkin kerana aku masih mempunyai ‘ the innocence of an obedient young child’ dengan banyaknya. Tak sampai hati untuk membelakangkan mereka.

Dan pilihan hati ini diletakkan di pilihan ketiga.

Pilihan pertama yang bukan pilihan diterima pihak penilai di Jabatan Pendidikan dengan mudah. Seperti watak Hayati dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang perlu melupakan cinta hatinya, penulis melupakan hasrat untuk bersekolah di S. M. Konven St. Ursula. Kawan-kawan rapat saya pun saling berpisah arah, dan yang pasti ada yang telah mendapat tempat di sekolah yang menjadi pilihan hati ini.

Namun, penulis pasrahkan segalanya dan cuba bersikap ‘going with the flow’. Tidak mudah, namun akhirnya penulis dapat juga meneruskan pembelajaran. Biarpun diduga bermacam-macam dugaan, pelbagai anugerah yang mempermudah urusan sering datang dari jalan yang tak pernah disangka-sangka dan pada ketika ia amat diperlukan.

Tiga anugerah yang paling penulis ingati :

1. Dikurniakan nikmat anugerah diajar oleh guru-guru yang berempati dan tidak memilih kasih, biarpun guru tersebut kebanyakannya berlainan agama dan bangsa. Sesuatu yang belum tentu penulis dapati di tempat lain.

2. Dikurniakan kawan-kawan yang menerima diri seadanya dan tidak menyimpan sebarang agenda tersembunyi terhadap penulis, sekalipun bilangannya dikira sedikit. Mereka beradab dan berbudi pekerti mulia, tidak pernah mempersoalkan hal-hal yang bersifat aib peribadi, melainkan bila ada keperluan dan sedang dalam mod  one-to-one communications. Ada rasa selesa dan selamat yang penulis rasakan saat bersama-sama dengan mereka.

3. Ilmu pengetahuan yang diperolehi di sana kekal dalam ingatan ( malah hingga ke hari ini ), pastinya dengan izin Allah jua.

Hanya selepas hampir 20 tahun meninggalkan SMK Kuhara dan menempuhi pengalaman hidup yang berbeza-beza lagi penuh pancaroba, barulah penulis sedar akan hal ini. Dapatkah saya mengecapi anugerah tersebut apabila saya memilih pilihan hati saya ? Belum tentu !

Sudah banyak kali penulis mendengar tentang keberkatan pilihan ibu bapa ( pada perkara-perkara yang tidak dilarang Allah tentunya ), terutamanya dalam soal memilih jodoh. Dan dalam hal ini, penulis menaruh keyakinan bahawa ia juga berlaku dalam kes saya ini.

Mudah-mudahan hal yang positif ini akan dapat penulis ingati selalu, apabila berlakunya pertentangan antara pilihan hati dan pilihan ibu bapa.

Nota : al-Fatihah buat arwah ayah, Awang Mahmud Bin Abdullah, yang telah kembali ke rahmatullah pada bulan Ogos 2012. Mudah-mudahan Allah Subhanawataala mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin…

 

Inspirasi 1 ( sambungan )

startup-883575_640

 

Sambung kembali cerita sebelumnya. Selepas pertandingan kawad itu, para peserta berpecah dan kembali meneruskan aktiviti biasa sebagai pelajar di sekolah masing-masing. Namun sesekali bertemu bila masa ada aktiviti yang menggabungkan sekolah-sekolah di peringkat Daerah Tawau. Bila bertemu, pasti saya terkesan kelibat Brother Johan dan rakan-rakannya. Namun tiada komunikasi yang amat signifikan melainkan bila ada gerak kerja yang melibatkan beliau dan saya dalam satu kumpulan mahupun ketika ada keperluan. Watak beliau yang agak pendiam dan serius memang tidak mendorong beliau untuk memulakan suatu ‘small, casual talk’ dengan ahli perempuan yang begitu dikenalinya.

Sebagai ahli remaja berpangkat Sarjan Mejar, Brother Johan sering menjadi orang penting yang menggerakkan aktiviti kesukarelaan di peringkat daerah. Namanya selalu muncul dalam minit-minit mesyuarat peringkat daerah sejak sekian lama sebagai salah satu tonggak utama dalam unit ahli remaja.

 

Sungguhpun peluang bergerak-kerja dengan Brother Johan begitu terhad, saya masih ‘nampak’ keistimewaan yang menyebabkan aura beliau lebih besar dari tubuh fizikalnya. Antaranya :

 

  • Matang. Brother Johan tetap seorang lanang jati yang benar-benar matang. Beliau tidak tergugat biarpun adakalanya idea-ideanya dicabar seseorang yang lebih rendah pangkat atau junior darinya.
  • Berkeyakinan. Secara tersirat, Brother Johan menzahirkan keyakinan bahawa beliau tidak perlu menjadi Encik Sotong untuk menzahirkan jiwa halus beliau.
  • Ikhlas. Bila ada keikhlasan, maka pengharapan agar orang yang disampaikan kebaikan itu membalas kembali dengan yang setara tidak lagi timbul; kerana adanya keyakinan bahawa beliau tetap akan menerimanya kembali- namun sering bukan dari orang yang sama mahupun bentuk yang dijangka-harapkan. Keikhlasan beliau dirasai oleh hati-hati yang menghargai keikhlasan, dan membentuk lingkaran kasih sayang yang menyentuh begitu banyak jiwa.
  • Kejujuran. Brother Johan tidak perlu berpura-pura untuk membuat orang lain suka padanya. Beliau lebih senang melukis garis-garis sempadan yang sihat dalam pergaulan berbanding melakonkan watak-watak yang bukan dirinya sendiri. Pilihan yang sebeginilah akan menarik orang-orang yang jujur jua- lantas membentuk ikatan persahabatan/kasih sayang yang murni dan tulen.
  • Sikap merendah diri. Pangkat sarjan mejar yang beliau ada tidak mewujudkan sense of entitlement dalam diri beliau. Beliau tidak menjarakkan diri dari orang bawahannya mahupun menindas mereka dengan sikap kuku besi atau pilih bulu.

 

Apa yang saya senaraikan ini diakui sendiri oleh mereka yang pernah sama-sama bergerak kerja dengannya di sekolah yang sama- senior dan junior. Beliau turut diakui sebagai seseorang yang menjadi inspirasi bagi orang-orang di sekelilingnya untuk berubah ke arah yang lebih baik di peringkat individu dan menggerakkan organisasi yang dipimpinnya menjadi organisasi yang disegani.

Mudah-mudahan Allah Taala merahmati Brother Johan dan mengampunkan dosa-dosa serta kesalahannya. Pertemuan bukanlah milik kita, dan setiap pertemuan menjanjikan iktibar yang boleh kita pelajari dan amalkan dalam kehidupan.

 

Selebihnya, hanya Allah Taala yang Maha Mengetahui…

 

Inspirasi 1

leadership_penguin-23590

Coretan ini tidak bermaksud untuk mengkultuskan mahupun mengaibkan individu yang saya paparkan dalam catatan ini. Sekadar ingin berkongsi pengalaman dan pengajaran positif yang saya perolehi sepanjang mengenali beliau dalam arena Ko-K pada zaman persekolahan dahulu. Beliau saya anggap sebagai tokoh individu ‘Lelaki Beta‘ yang cenderung ke arah sifat introvert dan HSP/Empath serta benar-benar wujud dalam kehidupan saya sendiri. Mudah-mudahan dengan perkongsian ini, kita beroleh pengajaran bahawa anggapan lemah serta tidak maskulin tidak semestinya benar untuk seorang lelaki yang mengutamakan cara yang lembut dalam urusan kehidupannya. Lembut tidak bermakna kebapuk-bapukan atau Encik Sotong.

 
Segalanya bermula pada pertengahan September awal 1990-an, apabila saya menyertai acara pertandingan kawad kaki antara unit beruniform kategori sekolah menengah peringkat daerah- sempena Hari Ulangtahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri. Menyertai salah satu badan unit beruniform di sekolah bermakna tidak hanya membabitkan diri dengan aktiviti dalaman peringkat sekolah, malahan turut sama turun padang menjayakan beberapa akitiviti yang menggabungkan kesemua cawangan di setiap sekolah di daerah Tawau. Dan pertandingan kawad kaki ini hanyalah salah satu dari aktiviti tersebut.

 
Pihak atasan peringkat daerah bagi unit beruniform yang saya sertai ini mengutamakan pembentukan satu skuad kawad kaki yang menghimpunkan wakil-wakil terpilih dari setiap sekolah berbanding membuat suatu pertandingan kawad kaki antara skuad sekolah-sekolah bagi memilih wakil ke pertandingan ini. Wakil-wakil yang terpilih akan menjalani latihan intensif selama seminggu- untuk membentuk keserasian dan kerjasama dalam satu skuad. Lima orang dari kelas saya telah terpilih sebagai wakil  dan hadir lebih awal dari saya. Saya hanya hadir pada hari ke-3.

 

Sebelum menyertai sesi latihan, rakan-rakan yang terdahulu ini ada bercerita kepada saya tentang komander yang memimpin dan melatih mereka. Mereka beria-ia menceritakan tentang beliau, dan semua cerita yang saya dengar positif belaka. Pasti komander ini seorang yang istimewa. Benarkah ? Tidakkah ada sesuatu yang akan membuat kita bermimpi ngeri di malam hari ? Saya akui saya memang tertekan dan kurang berkeyakinan apabila menjalani latihan kawad kaki. Dan saya akui sesi latihan kawad kaki di sekolah begitu berat untuk saya tanggung-berkat anugerah berupa kesabaran saya dapat bertahan. Apakah sesi latihan peringkat daerah ini juga begitu?

 
Pada hari pertama sesi latihan saya, saya dapati hanya saya yang cemas dan bimbang sendirian. Realiti sebenar dan cerita dari rakan-rakan sama sahaja. Sesi latihan ini merubah persepsi saya tentang latihan kawad kaki serta kepemimpinan untuk selama-lamanya.
Brother Johan ( bukan nama sebenar ) menjadi komander sekaligus mengetuai skuad kawad kaki ini. Secara fizikalnya, beliau bukanlah seseorang yang berimej ‘Abang Sado’. Dan tiada pula sebarang petanda ataupun petunjuk yang menunjukkan Brother Johan itu manusia gila kuasa dan pangkat. Meskipun bukan berimej ‘Abang Sado’ malah dikira lebih kecil dari saiz purata untuk lelaki, Brother Johan dihormati dan disegani oleh mereka. Bukan ditakuti dan digeruni. Kalau ikut logik biasa, lelaki bersaiz sepertinya selalu menjadi sasaran orang yang gila kuasa mahupun yang suka ‘melawan tauke’.

 

Dalam masa beberapa hari, saya belajar untuk memahami mengapa orang bawahan segan dan hormat padanya. Padanya ada sikap tenang dan bersahaja. Beliau seorang yang terbuka, dan tidak berasa tergugat bila mana idea-ideanya dicabar oleh perbezaan perdapat. Contohnya, cara untuk berpatah balik semasa berjalan mengikut arahan kawad. Ada perbezaan yang jelas antara cara yang diajar di sekolah dan di sesi latihan ini. Entah bagaimana kesilapan yang saya lakukan berulangkali mengundang perhatian Brother Johan. Saya sangat bernasib baik kerana beliau memilih untuk memaafkan sahaja berbanding menghukum saya dengan keras. Sewaktu masa rehat, beliau memberi keadilan kepada saya- dengan bertanya masalah serta mendengar dengan sabar tentang perbezaan cara yang mengundang cognitive dissonance dalam mental set-up saya. Saya berasa lega kerana tidak mudah bagi saya untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

 
Sepanjang baki sesi latihan, beliau tidak pernah kelihatan sedang memasukkan tangan ke dalam saku seluar pada waktu di luar lingkungan kawad kaki. Dan beliau tidak pernah meninggikan suara, melainkan ketika sedang menyampaikan arahan kawad. Dan beliau mudah memaafkan mereka yang terlanjur ketika bergurau-senda dengannya.

 

Namun, yang paling menyentuh hati adalah semangat kesukanan yang ditunjukkan ketika skuad kami tidak berjaya menjadi juara. Komandan skuad Boy’s Brigade ( skuad juara ) datang bersalaman dengannya, dan Brother Johan menyambutnya seolah-olah beliau sendiri memimpin pasukannya menjadi juara.

 

( Bersambung… )