Category Archives: INFP

Mengapa Blog Suara JiwaHalus Cenderung Pada ‘Self-Discovery’ ?

MogkodouLetinganYansSinggoi

Kredit : Yans Singgoi

Mengapa blog Suara JiwaHalus kini cenderung memaparkan tulisan-tulisan yang menjurus ke arah self-discovery ? Berkongsi pengalaman peribadi yang mempunyai sesuatu yang menjurus ke arah menggerakkan sesuatu untuk mencari sesuatu di dalam diri… Tentang pengalaman melalui proses self-discovery. Hatta tulisan-tulisan tentang Gunung Kinabalu pun terselit hal-hal sedemikian rupa.

Persoalan ini mungkin pernah terdetik di hati rakan kenalan dan para pelawat yang sudi mampir ke laman blog ini. Mungkin kerana itulah hati penulis berasa terpanggil untuk menulis. Mudah-mudahan tulisan kali ini memberikan jawapan kepada apa yang pernah terdetik di hati…

Sebelum meneruskan kata-kata, biarlah video ini berbicara…

Versi komik online boleh diperolehi di sini :

http://buasirotak.blogspot.com/2016/03/adakah-kehidupan-ini-sebuah-perlumbaan.html

Sebelum ini, penulis tidak pernah membaca komik online ini mahupun menonton versi videonya. Baru kelmarin penulis menjumpainya.

Menonton video ini, teringat akan nasihat seseorang bahawa manusia tidak ada yang pandai atau bodoh. Cuma berbeza kepandaian, lambat atau cepat naik rezekinya. Setiap individu adalah unik, dan keunikan itu membolehkan kita menjalankan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Dan yang menyatukan identiti unik itu adalah hakikat bahawa kita semua adalah hamba Allah.

Dan nasihat itu menjadi sesuatu yang penulis pegang hingga ke hari ini.

Dalam masa yang sama, menonton video ini menghadirkan rasa sedih dan terkilan kerana teringatkan unsur-unsur inferiority complex yang terbenam jauh dalam memori silam. Dikotomi mental ‘pelajar pandai vs pelajar bodoh’, yang di balik tabirnya adalah mentaliti ‘hidup ini suatu persaingan dan perlumbaan’; masih menghantui kenangan yang dibina bersama dan dikenang-kenangkan kembali. Sejujurnya, penulis berasa sedih dan kurang selesa untuk dikenali dan diingati sebagai pelajar pandai di sekolah oleh mana-mana individu yang pernah bersama-sama penulis suatu ketika dahulu. Sedangkan diri yang dikenali dan diingati itu langsung tidak layak diperbandingkan dengan sesiapapun, kerana dia bukanlah diri sebenar penulis.

Dalam video yang sama, terdapat salah satu jawapan utama mengapa penulis sering tergerak untuk menulis sesuatu tentang self-discovery dan apa sahaja yang berkaitan dengannya. Sejujurnya berada dalam mentaliti perbandingan, permainan dan persaingan itu meletihkan bahkan merosakkan ikatan kemanusiaan.

Dan penulis terpanggil untuk menulis sesuatu tentang self-discovery sejak sekian lama, dalam bentuk perkongsian pengalaman peribadi kerana tidak mahu sesiapapun melalui pengalaman yang perit dan menguras tenaga hayat itu. Dan penulis ingin memberikan peluang kepada rakan-rakan dan kenalan bebas sepenuhnya dari mentaliti sedemikian rupa, menghargai keunikan peribadi yang menjadi anugerah Illahi. Seterusnya, melakukan proses reframing kepada semua kenangan yang dilalui bersama, sepertimana yang penulis berusaha lakukan…

Comparing

Berdasarkan pengalaman peribadi penulis, keputusan peperiksaan cemerlang di sekolah atau di mana-manapun bukanlah segala-galanya. Kadangkala keputusan cemerlang dalam peperiksaan pun boleh jadikan seseorang tambah hilang arah dalam misi hidupnya hingga sukar untuk mencari jalan pulang bila sudah terlencong jauh dalam bidang yang jauh menyimpang dari bakat semulajadi yang dianugerahkan Allah Taala.

Hanya selepas terasa sentap berabis akibat peristiwa besar dalam hidup kita- diberhentikan kerja, matinya orang tersayang, jatuh muflis, sepuluh tahun berlalu tapi masih tidak punya kerja tetap dan macam-macam lagi takdir Allah Taala yang berlaku ke atas kita, barulah kita sedar yang kita sudah terlencong jauh.

Lantas diri kita pun digerakkan untuk mencari kembali diri yang hilang agar kita mampu kembali meneruskan hidup. Dan dalam proses pencarian itu kita akan bertemu dengan bakat semulajadi yang kita ada dengan Izin Allah.

Itulah yang berlaku kepada penulis setelah arwah ayah kembali ke Rahmatullah. Penulis banyak tertarik kepada perkara-perkara yang ke arah pencarian diri sendiri, baik yang dari Timur mahupun Barat. Untuk tulisan kali ini, penulis akan menggunakan istilah oleh Dr. David Keirsey dan anak muridnya, Dr. Linda Berens kerana itulah yang penulis alami serta fahami. Dan ia mudah pula difahami oleh mereka yang bergiat dalam bidang bimbingan dan kaunseling.

Fairness

Dalam proses self-discovery yang turut melibatkan proses imbas-kembali, barulah penulis sedar penulis berada dalam kumpulan individu Catalyst/Idealist dan cenderung ke arah INFP. Sedangkan sistem pendidikan di sekolah dan institusi akademik lain begitu ketara membina pelajar untuk menjadi para Theorist/Rationalist atau para Stabiliser/Guardian. Pendidikan Vokasional pula untuk membina para Improviser/Artisan. Peranan Catalyst/Idealist menjadi begitu marginal kerana peluang kerja untuk mereka bekerja menggunakan bakat semulajadi dalam bidang industri sangat kecil. Malah dimomokkan dengan kata-kata, “ Seniman (majoritinya diisi Catalyst/Idealist) sering hidup melarat.” dan banyak macam lagi. Untuk teruskan hidup, individu Catalyst/Idealist seringkali cuba menjadi seseorang yang bukan dirinya sendiri. Melupakan diri yang sebenar dan membina persona atau diri yang palsu, agar dapat hidup dengan selesa (selesa yang sebenarnya tidak selesa), walaupun dalam keadaan tidak dapat memenangi perlumbaan/persaingan sekalipun. Maka penulis pun, memakai topeng Theorist/Rationalist semasa di sekolah dan institusi pengajian dan semasa di alam pekerjaan pula hidup memakai topeng Improviser/Artisan. Sedangkan ketika masih di sekolah lagi penulis mula tertarik kepada subjek atau topik yang memang menjadi makanan dan darah daging para Catalyst/Idealist.

Dan penulis belajar serta memahami bahawa menjadi orang lain itu membazir tenaga hayat, umur dan duit yang Allah pinjamkan. Bahkan membebankan kita dengan timbunan hutang yang tidak perlu.

Dalam proses yang sama juga, penulis belajar dan faham bahawa salah satu petanda kita berada dalam bidang yang menjadi lubuk rezeki dan memang bakat semulajadi kita adalah, kita sangat-sangat dipermudahkan untuk berada dalam bidang tersebut. Mudah, seperti ikan yang berenang dalam air kerana habitatnya di air. Atau burung yang terbang di udara kerana Allah jadikan ia untuk terbang. Tak payah pulun berhabis-habisan seolah-olah nyawa sudah tinggal separuh.

Dan salah satu petandanya lagi adalah hidup kita terasa lebih tenang dan tidak kosong kerana telah ada makna yang mengisinya.

Justeru, apabila kita melakukan pencarian diri kita sendiri dan menerima seadanya apa yang kita perolehi dari pencarian tersebut, kita akan hidup lebih tenang dan gembira kerana kita tidak lagi terbelit dalam kerangka mentaliti perbandingan dan persaingan/perlumbaan.

Dengan itu, mudah-mudahan perkongsian di laman blog Suara JiwaHalus ini dapat membantu sesama kita dalam mencari kembali haluan sebenar yang kesasar.

Nota : Untuk yang berminat untuk keluar dari perbandingan-persaingan dan mahu menghargai keunikan yang ada, terdapat dua buah ujian secara online yang boleh anda jawab dengan telus dan jujur. Sesuai untuk mereka yang mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik. Ujian dibuat berdasarkan modul yang dibangunkan oleh Dr. Linda Berens dan Dr. Dario Nardi.

1. http://www.keys2cognition.com/explore.htm
2. http://www.notjustapaycheck.com/careerstrength.html

Pada yang mahu menjawab, Selamat Maju Jaya penulis ucapkan.

Penjelasan untuk setiap istilah yang penulis gunakan boleh diperolehi di sini :

1. http://paei.wikidot.com/berens-linda-the-four-temperament-patterns
2. http://lindaberens.com/resources/methodology-articles/temperament-theory/

 

 

Advertisements

Ada Apa Dengan Orang Timah ?

tinmanofoz

Kredit : Pinterest 

Buku ‘Jalan Ke Bandar Zamrud’ dari Ladybird Books merupakan buku cerita pertama yang arwah bapa penulis belikan sewaktu kami pertama kali mengunjungi bangunan baharu Quong Ming Bookstore pada sekitar tahun 1987. Buku ini sebenarnya diterjemahkan ke Bahasa Melayu dari versi asalnya yang berjudul The Wizard Of Oz yang dikeluarkan oleh penerbit yang sama.

Antara banyak-banyak koleksi buku yang ada di Quong Ming Bookstore, buku ini menjadi pilihan hati.

wizardofozladybirdbook

Buku versi asal dijual di kedai buku atas talian.

Pada waktu itu penulis hanya mampu merasai keseronokan menghayati perjalanan Dorothy bersama tiga rakan yang ditemui di sepanjang perjalanan untuk mencari ahli silap mata di Bandar Zamrud alias Kota Oz demi menyelesaikan dilema yang mereka hadapi. Penulis masih tidak tahu akan adanya makna simbolik atau makna tersirat di sebalik kewujudan empat watak utama dalam cerita ini.

Lebih kurang 28 tahun berlalu, barulah penulis mengetahui makna tersirat di sebalik cerita kanak-kanak yang begitu ringkas tapi menghiburkan ini. Apabila mula berjinak-jinak dengan konsep kendiri dan ilmu pengetahuan tentang perwatakan manusia, penulis menyedari bahawa pembelian buku tersebut bukan lagi kebetulan tapi suatu suratan yang telah ditentukan untuk menyediakan diri mempelajari sesuatu yang berharga di masa akan datang.

Empat watak utama cerita ini- Dorothy, Singa Penakut, Orang Jerami dan Orang Timah- dikatakan mewakili 4 jenis watak manusia yang paling asas yang telah diperkenalkan oleh Hippocrates pada 400 tahun sebelum Masehi. Dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai The 4 Temperaments dan mempunyai 4 istilah- Sanguine, Phelgmatic, Choleric dan Melancholic.

The 4 Temperaments adalah asas kepada ilmu pengkajian watak manusia di dunia Barat. Bahkan ia masih dipakai oleh sebahagian dari pakar psikologi pada zaman ini. Yang paling terkenal adalah Dr. David Keirsey dan anak muridnya Dr. Linda Berens. Dr David Keirsey mengguna-pakai The 4 Temparaments namun menggunakan istilah Artisan, Guardian, Rational dan Idealist. Dr. Linda Berens yang mengarang buku Understanding Yourself and Others: An Introduction to the 4 Temperaments, juga menggunakan sistem kuno ini untuk mengkelaskan watak manusia dan menggunakan istilah Improviser, Catalyst, Theorist dan Stabilizer. Untuk yang selanjutnya, penulis akan menggunakan istilah dari Dr Linda Berens.

Kembali kepada cerita Jalan Ke Bandar Zamrud, empat watak dalam cerita ini dikatakan mewakili 4 watak manusia yang bergelut dengan kepincangan dalaman diri mereka. Mereka berasa tidak dapat berfungsi dalam masyarakat akibat kepincangan tersebut lalu mengembara untuk mencari kembali diri mereka yang sebenar demi mengatasi kepincangan yang mereka alami. Dorothy dikatakan mewakili manusia dalam kategori Stabiliser yang hilang rasa percaya, selamat dan kestabilan akibat institusi keluarga atau masyarakat yang musnah ( simboliknya terletak pada rumah keluarganya yang musnah akibat puting beliung dan terpisahnya Dorothy dari keluarganya dengan jarak yang sebegitu jauh selepas puting beliung menerbangkan dia dan anjing kecilnya, Toto yang sedang berada di dalam rumah ). Manakala Singa Penakut yang ketiadaan rasa berani dikatakan mewakili kategori Improviser yang hilang keberanian untuk bertindak dengan tindakan yang bermanfaat bagi diri mereka dan orang lain. Orang Jerami yang tiada otak pula pula mewakili golongan Theorist yang hilang daya intelek untuk memberi idea-idea bernas berupa teori-teori yang boleh menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dirinya dan masyarakat.

Dan ada apa dengan Orang Timah ?

can-170837_1280

Jawapan kepada soalan ini menjadi titik fokus tulisan hari ini, kerana ia sesuatu yang berkaitan dengan individu INFP sekaligus diri penulis sendiri serta beberapa individu di persekitaran penulis. Kerana Dr David Keirsey dan Dr Linda Berens telah memasukkan INFP dalam kategori Catalyst.

Untuk mengetahui makna simbolik yang dibawa oleh Orang Timah, kita perlu mengetahui peranan semulajadi yang dimainkan oleh kategori Catalyst dalam masyarakat dan apa yang menjadi penghalang kepada mereka untuk memainkan peranan tersebut.

Bakat utama individu dalam kumpulan Catalyst adalah pada pembangunan insan atau ‘memanusiakan manusia’. Mereka membantu individu yang lain mencari identiti diri dan misi hidup masing-masing dengan memulakan sendiri misi pencarian diri mereka sendiri, dan kejayaan mereka dalam misi pencarian tersebut menjadi sumber inspirasi kepada orang lain untuk membangunkan diri sendiri dan memenuhi potensi diri yang ada sejak azali. Kekuatan mereka terletak pada intuisi dan emosi.

Mereka cenderung kepada keharmonian dalam hubungan sesama manusia dan mereka manusia yang mahu mengerti orang-orang yang berada di sekitarnya. Mereka telus dan jujur serta bencikan kepura-puraan. Mereka juga bukan individu materialistik. Mereka lebih mementingkan hal-hal yang bersifat maknawi berbanding yang bersifat materi mahupun harfiah. Bahasa yang mereka gunakan dihiasi dengan unsur-unsur perlambangan yang perlukan pentakwilan dan mereka juga suka mentakwil simbol-simbol dan makna di sekeliling mereka demi memperolehi pemahaman dan pengertian.

Individu dalam kumpulan Catalyst sangat terganggu dengan konflik dalam perhubungan dan sesuatu yang mendera emosi mereka.

Jika anda memperhatikan Orang Timah dengan teliti, anda mungkin dapat melihat yang tubuh Orang Timah ini terbina dari logam yang lebih keras dan kebal, bukannya gabungan tulang, kulit dan otot yang mudah luka bila ditusuk benda tajam.

Apa maknanya itu ?

Orang Timah adalah perlambangan kepada individu dari kumpulan Catalyst yang pincang dalaman. Orang Timah mencari Ahli Silap Mata Bandar Zamrud kerana mahukan hatinya dikembalikan semula.

Apabila individu dalam kumpulan Catalyst terluka hatinya ( baca : emosi ), mereka membina tembok sempadan antara diri mereka dengan orang lain demi mengelakkan hatinya dari terus terluka. Namun tembok yang sama juga menghalang mereka untuk mengasihi dan dikasihi- keperluan emosi yang mereka amat perlukan.

Bila keperluan emosi mereka tidak terpenuhkan, perkembangan potensi dan sumbangan bakat semulajadi mereka kepada masyarakat juga terbantut. Segala rajuk, luka lara, hampa kecewa dan pelbagai lagi berpadu menjadi kebencian dan dendam kesumat yang meracun hati. Akhirnya, jauh di dalam mereka pun mati walaupun kelihatan masih hidup di mata orang.

Penulis menyedari sesuatu dan mempelajari sesuatu. Jangan pernah takut untuk terluka atau kecewa, tetapi orang yang bijaksana tidak akan dipatuk dua kali dari lubang yang sama.

Sesungguhnya selepas 28 tahun berlalu, baru penulis menyedari bahawa pembelian buku ‘Jalan Ke Bandar Zamrud’ pada waktu itu ternyata suatu suratan yang telah tertulis untuk menyediakan penulis mempelajari sesuatu yang bermakna di hari muka. Di dunia ini, sebenarnya tiada satupun yang terjadi secara kebetulan.

Bacaan Lanjut :

1. http://www.infj.com/The_Tin_Man.htm
2. http://www.infj.com/INFJ_Temperament.htm
3. http://goodlifezen.com/what-is-your-temperament/
4.https://www.psychologytoday.com/blog/mindful-musings/201611/3-reasons-let-yourself-feel-your-emotions