Cirque Peak – Suatu Pengenalan Awal

lowsgully

Kredit : Teddy Raul 

Pengenalan/Mukadimah

Dalam artikel tentang Gunung Kinabalu dan Sundaland sebelum ini, penulis ada menyebutkan nama Cirque Peak sebagai salah satu kori yang paling menonjol di atas Gunung Kinabalu namun tidak disusuli dengan penjelasan yang lebih lanjut dan dalam. Banyak yang ingin penulis kongsikan dengan para pembaca tentang puncak ini, namun penulis memilih untuk kekal fokus kepada topik dan persoalan dalam artikel blog tersebut.

Mungkin satu artikel blog yang lain perlu ditulis untuk mengongsikannya.

Justeru, artikel blog ini ditulis untuk mengongsikan apa yang penulis tidak sempat kongsikan.

 

Terungkainya Misteri Nama Sebuah Puncak

Sejujurnya, selama hampir 19 tahun penulis mencari-cari nama puncak yang diberi nama Cirque Peak ini. Walaupun rupanya begitu unik dan amat mudah untuk dilihat dari atas Puncak Low, namun popularitinya tidak meluas sepertimana Puncak Low, Puncak Selatan, Puncak St. John, Puncak Donkey Ears dan yang lainnya. Puas penulis menggelintar di Google sejak tahun 2015, kalau-kalau penulis berjaya menemukan namanya. Tetapi masih gagal. Nama untuk puncak yang satu ini tidak berjaya penulis temui, sehinggalah pada tahun ini apabila penulis berpeluang untuk membaca sebuah buku bertajuk ‘Kinabalu’ karangan Anthony Van Der Ent.

KinabaluBooks

Gambar yang diambil ketika berada di Pusat Sumber Taman-Taman Sabah di KK Times Square, Kota Kinabalu. Buku yang dimaksudkan Penulis terletak di kiri atas.

Dalam buku tersebut setiap puncak ditandai dengan jelas. Dan puncak ini cuma dinamakan dengan nama Cirque.

Rasa lega dan puas memenuhi hati setelah mengetahui namanya. Hampir 20 tahun barulah misteri nama puncak ini terungkai.

Amat, amat sedikit maklumat yang penulis perolehi untuk puncak ini ketika menggelintar semula maklumat berkaitan di internet. Hasil carian di Google banyak dipenuhi maklumat tentang satu lagi puncak yang sama namanya tetapi terletak di benua Amerika Utara !

CirquePeakOnBackCover

Cirque Peak, dipercayai dari arah kawasan Puncak Utara/North Peak- Gambar Kulit Belakang Buku ‘Kinabalu’

Sumber : Natural History Publication Borneo

Cirque Peak dari Gunung Kinabalu disebut dengan jelas dan sahih hanya dalam dua sumber hasil carian. Pertama, dalam laman web rasmi Taman-Taman Sabah sebagai puncak yang ke 21 dalam senarai puncak gunung yang terdapat di Gunung Kinabalu. Dan ia jelas ditulis sebagai Cirque Peak. Kedua, dalam tulisan Steve Long, salah seorang dari ahli kumpulan ekspedisi menakluki Low’s Gully berasal dari United Kingdom. Tulisan tersebut telah diterbitkan dalam jurnal American Alpine Journal terbitan American Alpine Club pada tahun 2000 dan telah dibukukan dalam buku The Mountaineers Book. Selain itu, tiada lagi maklumat lain yang boleh penulis perolehi tentang Cirque Peak.

SabahParksList

Cirque Peak dalam senarai yang dikeluarkan oleh pihak Taman-Taman Sabah

Hasrat untuk menulis tentang Cirque Peak bermunculan apabila penulis mula membuat bacaan lanjutan untuk artikel blog tentang Gunung Kinabalu dan kewujudan litupan ais kemuncak purba serta perkaitannya dengan Sundaland/Benua Sunda.

Saat memesrai kembali topik proses hakisan dan luluhawa oleh glasier dalam subjek Geografi Fizikal serta Asas Geologi, perkataan cirque asyik bermunculan. Kebetulan ciri-ciri untuk sebuah cirque atau kori ada pada Cirque Peak. Mungkinkah di sini asal-muasal nama Cirque Peak ? Mungkin sudah sampaikah waktunya nama puncak ini perlu diketahui umum dengan meluas ?

CirquePeakMekadoValley

Cirque Peak dari Lembah Mekado

Sumber : Arkitrekker

Asal-Muasal Nama Puncak ?

Cirque Peak sebenarnya dibentuk oleh 4 rabung aret. Dan rabung aret boleh terbentuk apabila dua buah kori saling bersebelahan antara satu sama lain lalu membentuk puncak yang meruncing seakan-akan mata pisau. Video ini menjelaskan tentang pembentukan sebuah rabung aret dengan cara yang mudah difahami. Dan video yang sama memperlihatkan kemungkinan rupa bagi Cirque Peak sewaktu kemuncak Gunung Kinabalu masih dilitupi oleh litupan ais kemuncak.

Jika diteliti dengan baik gambar yang diambil dari Puncak King George ini, Cirque Peak mempunyai dua buah kori ( tidak termasuk yang boleh dilihat dari Puncak Utara ) dan ia saling membelakangi antara satu sama lain.

CirquePeakFrmKingGeorgePeak

Cirque Peak dari Puncak King George
Kredit : Ruhaizad Daud dari Beautiful Mount Kinabalu

Selain corrie dan cwm, cirque adalah satu lagi istilah geografi fizikal dan geologi di dalam Bahasa Inggeris untuk kori. Cirque adalah istilah yang dipinjamkan dari Bahasa Perancis.

Kori terbentuk apabila glasier menghakis secara ragutan di dasar bongkah ais pada cerun gunung. Hakisan ragutan tersebut membentuk lekukan atau lembah yang berbentuk seakan-akan panggung amphiteater.

Bagaimana proses pembentukan sebuah kori berlaku dapat dilihat di laman web ini :

http://www.landforms.eu/cairngorms/corrie%20formation.htm

Kori yang terdapat pada Cirque Peak adalah kori yang paling menonjol di Gunung Kinabalu.

Mungkinkah rupa bentuknya adalah asal-muasal nama Cirque Peak ?

Siapakah yang menamakannya dan bilakah ia dinamakan ?

Persoalan tersebut akan terjawab apabila sumber rujukan yang sahih dipertemukan suatu masa nanti…

 

Post-skrip :

Setakat ini maklumat tentang sejarah pendakian ke puncak ini belum dapat diperolehi. Steve Long, dalam artikelnya mencadangkan bahawa pendakian ke Cirque Peak mempunyai potensi untuk dilakukan, dengan langkah pendakian dimulakan dari Lone Tree dan sesudah itu meredah kawasan hutan gunung yang ada. Kemudian pendakian diteruskan dengan kaedah pendakian teknikal di mana pemasangan bolt (untuk mencangkukkan safety harness) diperlukan untuk 200 meter pertama di permukaan batuan yang curam.

http://publications.americanalpineclub.org/articles/12200039200/Asia-Malaysian-Borneo-Sabah-Mt-Kinabalu-Lows-Gully-East-Face-Attempt

 

 

Advertisements

Kongsikan Pendapat/Luahan Rasa Anda Di Sini...

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s