Ada Apa Dengan Orang Timah ?

tinmanofoz

Kredit : Pinterest 

Buku ‘Jalan Ke Bandar Zamrud’ dari Ladybird Books merupakan buku cerita pertama yang arwah bapa penulis belikan sewaktu kami pertama kali mengunjungi bangunan baharu Quong Ming Bookstore pada sekitar tahun 1987. Buku ini sebenarnya diterjemahkan ke Bahasa Melayu dari versi asalnya yang berjudul The Wizard Of Oz yang dikeluarkan oleh penerbit yang sama.

Antara banyak-banyak koleksi buku yang ada di Quong Ming Bookstore, buku ini menjadi pilihan hati.

wizardofozladybirdbook

Buku versi asal dijual di kedai buku atas talian.

Pada waktu itu penulis hanya mampu merasai keseronokan menghayati perjalanan Dorothy bersama tiga rakan yang ditemui di sepanjang perjalanan untuk mencari ahli silap mata di Bandar Zamrud alias Kota Oz demi menyelesaikan dilema yang mereka hadapi. Penulis masih tidak tahu akan adanya makna simbolik atau makna tersirat di sebalik kewujudan empat watak utama dalam cerita ini.

Lebih kurang 28 tahun berlalu, barulah penulis mengetahui makna tersirat di sebalik cerita kanak-kanak yang begitu ringkas tapi menghiburkan ini. Apabila mula berjinak-jinak dengan konsep kendiri dan ilmu pengetahuan tentang perwatakan manusia, penulis menyedari bahawa pembelian buku tersebut bukan lagi kebetulan tapi suatu suratan yang telah ditentukan untuk menyediakan diri mempelajari sesuatu yang berharga di masa akan datang.

Empat watak utama cerita ini- Dorothy, Singa Penakut, Orang Jerami dan Orang Timah- dikatakan mewakili 4 jenis watak manusia yang paling asas yang telah diperkenalkan oleh Hippocrates pada 400 tahun sebelum Masehi. Dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai The 4 Temperaments dan mempunyai 4 istilah- Sanguine, Phelgmatic, Choleric dan Melancholic.

The 4 Temperaments adalah asas kepada ilmu pengkajian watak manusia di dunia Barat. Bahkan ia masih dipakai oleh sebahagian dari pakar psikologi pada zaman ini. Yang paling terkenal adalah Dr. David Keirsey dan anak muridnya Dr. Linda Berens. Dr David Keirsey mengguna-pakai The 4 Temparaments namun menggunakan istilah Artisan, Guardian, Rational dan Idealist. Dr. Linda Berens yang mengarang buku Understanding Yourself and Others: An Introduction to the 4 Temperaments, juga menggunakan sistem kuno ini untuk mengkelaskan watak manusia dan menggunakan istilah Improviser, Catalyst, Theorist dan Stabilizer. Untuk yang selanjutnya, penulis akan menggunakan istilah dari Dr Linda Berens.

Kembali kepada cerita Jalan Ke Bandar Zamrud, empat watak dalam cerita ini dikatakan mewakili 4 watak manusia yang bergelut dengan kepincangan dalaman diri mereka. Mereka berasa tidak dapat berfungsi dalam masyarakat akibat kepincangan tersebut lalu mengembara untuk mencari kembali diri mereka yang sebenar demi mengatasi kepincangan yang mereka alami. Dorothy dikatakan mewakili manusia dalam kategori Stabiliser yang hilang rasa percaya, selamat dan kestabilan akibat institusi keluarga atau masyarakat yang musnah ( simboliknya terletak pada rumah keluarganya yang musnah akibat puting beliung dan terpisahnya Dorothy dari keluarganya dengan jarak yang sebegitu jauh selepas puting beliung menerbangkan dia dan anjing kecilnya, Toto yang sedang berada di dalam rumah ). Manakala Singa Penakut yang ketiadaan rasa berani dikatakan mewakili kategori Improviser yang hilang keberanian untuk bertindak dengan tindakan yang bermanfaat bagi diri mereka dan orang lain. Orang Jerami yang tiada otak pula pula mewakili golongan Theorist yang hilang daya intelek untuk memberi idea-idea bernas berupa teori-teori yang boleh menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dirinya dan masyarakat.

Dan ada apa dengan Orang Timah ?

can-170837_1280

Jawapan kepada soalan ini menjadi titik fokus tulisan hari ini, kerana ia sesuatu yang berkaitan dengan individu INFP sekaligus diri penulis sendiri serta beberapa individu di persekitaran penulis. Kerana Dr David Keirsey dan Dr Linda Berens telah memasukkan INFP dalam kategori Catalyst.

Untuk mengetahui makna simbolik yang dibawa oleh Orang Timah, kita perlu mengetahui peranan semulajadi yang dimainkan oleh kategori Catalyst dalam masyarakat dan apa yang menjadi penghalang kepada mereka untuk memainkan peranan tersebut.

Bakat utama individu dalam kumpulan Catalyst adalah pada pembangunan insan atau ‘memanusiakan manusia’. Mereka membantu individu yang lain mencari identiti diri dan misi hidup masing-masing dengan memulakan sendiri misi pencarian diri mereka sendiri, dan kejayaan mereka dalam misi pencarian tersebut menjadi sumber inspirasi kepada orang lain untuk membangunkan diri sendiri dan memenuhi potensi diri yang ada sejak azali. Kekuatan mereka terletak pada intuisi dan emosi.

Mereka cenderung kepada keharmonian dalam hubungan sesama manusia dan mereka manusia yang mahu mengerti orang-orang yang berada di sekitarnya. Mereka telus dan jujur serta bencikan kepura-puraan. Mereka juga bukan individu materialistik. Mereka lebih mementingkan hal-hal yang bersifat maknawi berbanding yang bersifat materi mahupun harfiah. Bahasa yang mereka gunakan dihiasi dengan unsur-unsur perlambangan yang perlukan pentakwilan dan mereka juga suka mentakwil simbol-simbol dan makna di sekeliling mereka demi memperolehi pemahaman dan pengertian.

Individu dalam kumpulan Catalyst sangat terganggu dengan konflik dalam perhubungan dan sesuatu yang mendera emosi mereka.

Jika anda memperhatikan Orang Timah dengan teliti, anda mungkin dapat melihat yang tubuh Orang Timah ini terbina dari logam yang lebih keras dan kebal, bukannya gabungan tulang, kulit dan otot yang mudah luka bila ditusuk benda tajam.

Apa maknanya itu ?

Orang Timah adalah perlambangan kepada individu dari kumpulan Catalyst yang pincang dalaman. Orang Timah mencari Ahli Silap Mata Bandar Zamrud kerana mahukan hatinya dikembalikan semula.

Apabila individu dalam kumpulan Catalyst terluka hatinya ( baca : emosi ), mereka membina tembok sempadan antara diri mereka dengan orang lain demi mengelakkan hatinya dari terus terluka. Namun tembok yang sama juga menghalang mereka untuk mengasihi dan dikasihi- keperluan emosi yang mereka amat perlukan.

Bila keperluan emosi mereka tidak terpenuhkan, perkembangan potensi dan sumbangan bakat semulajadi mereka kepada masyarakat juga terbantut. Segala rajuk, luka lara, hampa kecewa dan pelbagai lagi berpadu menjadi kebencian dan dendam kesumat yang meracun hati. Akhirnya, jauh di dalam mereka pun mati walaupun kelihatan masih hidup di mata orang.

Penulis menyedari sesuatu dan mempelajari sesuatu. Jangan pernah takut untuk terluka atau kecewa, tetapi orang yang bijaksana tidak akan dipatuk dua kali dari lubang yang sama.

Sesungguhnya selepas 28 tahun berlalu, baru penulis menyedari bahawa pembelian buku ‘Jalan Ke Bandar Zamrud’ pada waktu itu ternyata suatu suratan yang telah tertulis untuk menyediakan penulis mempelajari sesuatu yang bermakna di hari muka. Di dunia ini, sebenarnya tiada satupun yang terjadi secara kebetulan.

Bacaan Lanjut :

1. http://www.infj.com/The_Tin_Man.htm
2. http://www.infj.com/INFJ_Temperament.htm
3. http://goodlifezen.com/what-is-your-temperament/
4.https://www.psychologytoday.com/blog/mindful-musings/201611/3-reasons-let-yourself-feel-your-emotions

Advertisements

Kongsikan Pendapat/Luahan Rasa Anda Di Sini...

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s