Buat Yang Masih Sudi Melimpas-limpas…

kinabalumalangkap

Sungai Panataran : Indah nian, asal mulanya dari Gunung Kinabalu di belakangnya. Di sinilah identiti penaku yang dahulu ‘mati hanyut’ lalu tenggelam berkubur tanpa nisan di Laut China Selatan. Kredit :CheKhalil Khalil

Buat yang pernah bersamaku di masa silam dan masih sudi melimpas-limpas merisik khabar,

Terima kasih kerana sudi melimpas dan mampir di sini. Mungkin ramai di kalangan kalian yang belum mengetahui akan wujudnya laman blog Suara JiwaHalus dan daku sendiri masih keberatan mewar-warkan kewujudannya pada kalian. Tapi tidak mustahil ada di kalangan kalian yang terlimpas dan sudi mampir, atau tahu dalam diam dan masih sudi melimpas-limpas sesekali. Dan suatu hari nanti keberadaan blog ini pasti akan ketahuan jua.

Makanya catatan panjang ini kudedikasikan buat kalian.

Inilah blogku, yang menjadi wadah menarik para pelanggan-pelanggan yang berpotensi memerlukan khidmatku selain dari tempat meluah cetusan idea dan rasa hati.

Tiada lain yang kuingin khabarkan selain daku kini berkarya dengan lebih bahagia, walaupun dalam dunia penulisan kreatif atau susastera wujudku seumpama hantu setelah identiti penaku kutenggelamkan dalam arus dingin Anak Panataran.

Selain itu, sebahagian catatan ini barangkali terlalu berat untuk kalian baca bahkan mengguris rasa sepedih-pedihnya. Kalian boleh sahaja berhenti membaca di perenggan ini. Ini cuma luahan jujur dari hati setelah sekian lama daku tidak bersemuka dan berbicara dengan kalian. Daku tidak akan menyimpan-yimpan atau menutup apa-apa mahupun bermanis mulut menyembunyikan kebenaran di ruangan terbuka ini. Mudah-mudahan segala kesakitan akan lega dan segala luka akan sembuh. Pada yang berani membaca hingga ke penghujung catatan, penghormatan kuberikan untukmu.

Ya daku kini umpama hantu kerana tiada nama sebagai pengesahan kewujudanku. Merelakan karya yang ditulis sendiri dengan penuh kasih sayang, diterbitkan atas nama orang lain. Bagaikan ibu tumpang yang berpayahan mengandung dan melahirkan anak tumpangnya tapi terpaksa menyerahkan anak itu kepada keluarga si anak atas dasar perjanjian imbalan yang telah dimeterai… Yang mahsyur dan mendapat segala sanjungan di kemudian adalah nama orang lain yang ditulis di atas karya sedangkan yang sebenar-benarnya menulis tinggal tidak dikenali sesiapapun melainkan dalam pengetahuan dan peliharaan Allah Taala.

Itulah nasib seorang penulis tanpa nama alias ghostwriter. Tapi itulah pilihan yang direlakan demi kelangsungan hidup.

Kerana sudah tertulis rezekiku lebih ke arah ini. Sesuatu yang tidakku ketahui ketika masih berada dalam dunia susastera. Mahu murah rezeki, sanggup berkarya tanpa nama. Ego yang menagih sanjungan dan masih menggunung lebih tinggi dari Gunung Kinabalu perlu dibenamkan serendah-rendahnya.

Lantaran realiti yang dilihat dan dialami sendiri telah menyanggah hujah yang mengatakan orang yang menulis sastera ( baca : semata-mata ) tidak hidup susah. Tidak dinafikan memang ada penulis yang sudah dapat RM puluhan ribu hasil dari menulis karya sastera secara pro, tapi bukankah bilangannya itu umpama antah di dalam beras ? Jika tidak hidup susah, mengapa masih ada penulis yang masih enggan melepaskan jawatan tetap dengan gaji berbayar yang disandangnya ? Dan mengapa masih ada yang tebalkan muka menerima bantuan BRIM tiap-tiap tahun ? Dan mengapa pula ada yang buat side income dengan berniaga dalam perusahaan sendiri atau ala MLM ?

Jadi apalah yang ada pada nama bila hidup terkapai-kapai dalam zaman di mana tersebarnya khabar Rupiah mula lebih berharga dari RM ?

Kuakui daku sendiri telah mengorbankan prinsip dengan ‘menggadai kemuliaan’ Kod 152, kerana sumber rezekiku kini sebenarnya banyak pada menulis dalam bahasa asing yang satu itu. Tapi sudah tidak mengapa kerana kini daku wujud umpama hantu, berkarya pun hanya dengan menumpang nama sesiapa sahaja.

Sungguhpun begitu, daku tetap bersyukur dan dengan bersyukur itu kebahagiaan menjadi rezeki.

Terima kasih kiranya kalian sudah sampai ke perenggan ini. Walau apapun, memori manis kita bersama masih tetap dalam ingatan sekalipun kita kini berbeza haluan.

Salam manis…

Advertisements

Kongsikan Pendapat/Luahan Rasa Anda Di Sini...

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s